Skip to main content

Bangunkan Pelayaran Mudik Sungai Pahang sebagai Produk Pelancongan

Menjunjung kasih Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana mencemar duli ketika mengetuai Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang 2024.

Ekspedisi tersebut telah berlangsung dari 3 hingga 6 Mac 2024 yang melibatkan jarak kira-kira 400 kilometer.

Dengan menggunakan bot atau perahu kajang, ekspedisi tersebut bermula dari Pekan Riverfront hingga Tanjung Gahai, Lipis dan melibatkan enam daerah di sepanjang jajaran Sungai Pahang iaitu Pekan, Maran, Bera, Temerloh, Jerantut dan Lipis.

Salah satu tujuan utama ekspedisi tersebut ialah untuk mengembalikan kegemilangan Sungai Pahang sebagai pengangkutan utama sejak zaman dahulu.

Persoalannya adalah bagaimana ekspedisi ini dapat dimanfaatkan untuk jangka masa panjang untuk rakyat Pahang dan Malaysia?

Mungkin ekspedisi ini dapat digunakan untuk merintis jalan bagi mewujudkan pelayaran mudik Sungai Pahang di masa akan datang.

Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang 2024 mengimbau kenangan apabila saya menyertai pelayaran mudik tasik-tasik Utara Savonia di Finland.

Lawatan penulis ke Istana Savonlinna, salah satu istana tercantik di Finland yang terkenal menjadi hos kepada Festival Opera Savonlinna yang diadakan setiap tahun.
Lawatan penulis ke Istana Savonlinna, salah satu istana tercantik di Finland yang terkenal menjadi hos kepada Festival Opera Savonlinna yang diadakan setiap tahun.

Pada Julai 2019 yang lalu, saya turut menyertai pelayaran menggunakan kapal wap air di negara yang dikenali sebagai tanah seribu tasik itu.

Pelayaran sejauh 400 kilometer bermula dari bandar Kuopio hingga ke Savonlinna itu melalui empat tasik itu dihubungkan oleh dua pintu air dan dua terusan.

Pelayaran selama lapan jam tersebut sangat menarik kerana kita disajikan dengan pemandangan luar bandar Finland yang dikelilingi oleh pokok-pokok pain berselang-seli dengan pekan-pekan kecil yang terletak di sepanjang perjalanan.

Walaupun pelayaran tersebut mengambil lapan jam untuk sampai ke destinasi terakhir, kapal wap air tersebut singgah di lapan pekan kecil sepanjang perjalanan untuk membolehkan penumpang untuk naik dan turun dari kapal.

  Pelabuhan kecil di Kuopio yang menjadi tempat permulaan pelayaran penulis mudik tasik-tasik Utara Savo.
Pelabuhan kecil di Kuopio yang menjadi tempat permulaan pelayaran penulis mudik tasik-tasik Utara Savo.

Apa yang menarik ialah kapal tersebut dilengkapi dengan restoran dan kabin, untuk membolehkan penumpang untuk bermalam di pelabuhan sebelum berlepas pulang ke Kuopio pada hari berikutnya.

Konsep pelayaran menelusuri tasik mungkin sesuatu yang baharu namun pelayaran mudik sungai tidak asing lagi di benua Eropah.

Pengendali pelayaran di Eropah menawarkan pakej pelayaran menarik menyelusuri Sungai Danube, sungai kedua terpanjang di Eropah iaitu sepanjang 2,415 kilometer.
 
 

Laluan air yang menghubungkan pelbagai bandar di Finland melalui tasik-tasik, terusan-terusan dan pintu-pintu air.
Laluan air yang menghubungkan pelbagai bandar di Finland melalui tasik-tasik, terusan-terusan dan pintu-pintu air.

Terdapat pelbagai pakej pelayaran ditawarkan oleh pelbagai pengendali syarikat pelancongan memandangkan sungai tersebut bermula di Jerman, dan berakhir di Ukraine.

Pengendali syarikat pelancongan domestik seharusnya mengambil kesempatan ini dengan menawarkan pakej pelayaran mudik Sungai Pahang.

Ini selaras dengan kempen Tahun Melawat Pahang 2024 anjuran Kerajaan negeri Pahang yang menyasarkan 13.5 juta pelancong untuk melawat Pahang.

Pelayaran Mudik Sungai Pahang membolehkan daerah-daerah yang kurang dikenali dalam kalangan pelancong dalam dan luar negara dapat dipopularkan.

Tengku Mahkota Pahang pada hari kedua ekspedisi berkenaan telah bertitah agar sejarah tempatan di daerah-daerah sepanjang Sungai Pahang agar dirakamkan oleh Muzium Pahang.

Pembukuan sejarah di daerah-daerah sepanjang Sungai Pahang boleh memberi nilai tambah untuk memberi tarikan tambahan kepada pelancong untuk memudiki Sungai Pahang. 

Selain itu, kehadiran pelancong ke daerah-daerah yang kurang dikenali ini membolehkan penduduk tempatan menerima impak langsung ekonomi akibat aktiviti ekonomi yang dijalankan.

Oleh yang demikian, pihak berwajib sama ada kerajaan negeri, persekutuan, dan pengendali syarikat pelancongan harus menggembleng usaha dan tenaga untuk menjayakan usaha ini.

Tahun Melawat Malaysia telah diisytiharkan pada Belanjawan 2024 untuk disambut pada tahun 2026.

Penawaran pelayaran mudik Sungai Pahang boleh dijadikan projek perintis kepada pelayaran mudik sungai-sungai lain di Malaysia, sekali gus menambah lagi kehadiran pelancong dalam dan luar negeri ke Pahang Darul Makmur dan Malaysia.

Dr. Ahmad Mahfuz Gazali
Dr. Ahmad Mahfuz Gazali

 
Penulis ialah (Pensyarah Kanan, Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

E-mel: mahfuz@umpsa.edu.my

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri