Skip to main content

Kesang Tua, Melaka: Dari Selat Melaka ke Pentas Dunia?

Mungkin tidak ramai yang mengetahui tentang kewujudan kampung yang bernama Kesang Tua di daerah Jasin, Melaka. Tetapi, nama Kesang Tua tiba-tiba dikenali apabila jaguh angkat berat Filipina, Hidilyn Diaz bakal membina sebuah pusat latihan di Kampung Kesang Tua, Jasin sebagai tanda penghargaan serta terima kasih kepada Melaka. Pada asasnya, nama Kampung Kesang Tua menjadi tumpuan ekoran kemenangan atlet berusia 30 tahun itu di temasya Olimpik Tokyo. Hidilyn dikatakan terkandas dan menjalani latihan di Malaysia sejak Januari 2020 berikutan sekatan pergerakan akibat penularan COVID-19. Di sini beliau telah tinggal dengan keluarga angkatnya di Kampung Kesang Tua dan menghabiskan masa bersama lebih setahun di rumah berkenaan. 

Untuk pengetahuan umum, Melaka hanya terdiri dari tiga daerah sahaja iaitu Jasin, Alor Gajah dan Melaka Tengah. Apa yang ingin diperkatakan melalui penulisan ini adalah tentang sebuah kampung kecil iaitu Kesang Tua yang terletak dalam daerah Jasin. Sedar atau tidak, kampung kecil yang bernama Kesang Tua sebenarnya menyimpan seribu satu rahsia yang mungkin tidak diketahui umum iaitu ia berjaya melahirkan para cendekiawan, ilmuwan, golongan profesional, ahli politik, dan pakar. Ia dikatakan luar biasa kerana ia sebuah kampung kecil, manakala penduduknya majoriti bekerja sebagai petani, penoreh getah dan bekerja kampung tetapi mampu melahirkan begitu ramai golongan intelektual. Mereka ini bukan sahaja menjadi juara kampung malahan sampai ke pentas antarabangsa apabila ada yang bekerja di Bank Dunia. Kejayaan kampung Kesang Tua melahirkan para cendekiawan yang terlalu ramai seharusnya diangkat untuk tatapan masyarakat moden hari ini. Ini bagi menepis tanggapan bahawa Melaka hanya tinggal sejarah dalam buku sejarah sebagai Kesultanan Melayu Melaka yang gemilang pada abad ke-15.  

Asal Usul Kampung Kesang Tua

Berdasarkan tinjaun yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu secara tidak rasmi dengan beberapa orang tua di kampung berkenaan, kampung ini dipercayai sudah dibuka sejak 200 tahun yang lampau semenjak kerajaan Belanda menakluki Melaka dari tangan Portugis sekitar tahun 1641 hingga 1795.  Antara cerita legenda yang dikaitkan dengan asal usul nama Kesang Tua adalah kisah tentang sepasang suami isteri dari Pulau Sebang, Tampin yang telah berkahwin dan telah berselisih faham dengan keluarga mereka lalu keluar merantau mencuba nasib di tempat baharu. Tiba di suatu tempat, mereka telah membina sebuah pondok dan menetap di tepi tebing sungai Bertarah iaitu Simpang Kemendor, sekarang ini. Dinyatakan lagi, pada suatu hari, si isteri telah pergi membasuh kain dan tiba-tiba kerongsang emas yang dipakai telah jatuh dan dihanyutkan air. Bagi mengenang kesedihan atas kehilangan kerongsang emas di situ lalu mereka menamakan tempat itu dengan panggilan ‘Kosang Tua’ yang kekal hingga ke hari ini dengan panggilan Kesang Tua. Setakat ini hanya itu sahaja cerita yang diceritakan berkaitan asal usul Kesang Tua. Kajian lanjut tentang perkara ini perlu diusahakan oleh pihak berwajib dan orang perseorangan bagi memperkayakan lagi cerita legenda tentang perkampungan ini. 

Senarai individu Kesang Tua yang telah berjaya
1.    Anak Kesang Tua pertama bekerja di Bank Dunia dan mantan Presiden Institut Audit Dalaman Malaysia, Haji Azhari Haji Mohamed. 
2.    Almarhum Ir. Dr. Ramlee Karim, anak Melayu pertama di Malaysia memperoleh PhD dalam bidang Kejuruteraan Kimia, Universiti Birmingham, England (1972).
3.    Pemilik Shah Beach Motel di Tanjung Kling Melaka dan di Petaling Jaya, Almarhum Tan Sri H. M. Shah Ali Shah Khan. 
4.    Mantan Ketua Menteri Melaka, mantan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan mantan Menteri Penerangan, Datuk Seri Haji Mohd Adib Mohamad Adam.
5.    Mantan Pendaftar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan mantan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Wira Haji Omar Haji Jaafar.
6.    Mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Wira Mazlan Ahmad.
7.    Mantan Timbalan Menteri Industri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.
8.    CEO RHB Islamik Bank Berhad, Datuk Adissadikin Ali.
9.    Mantan Pengarah Pelajaran Negeri Melaka, Almarhum Datuk Haji Zainal Abidin Ahmad.
10.    Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Ketua Pengarah Risda, Almarhum Datuk Hassan Ibrahim.
11.    Mantan Pengurus Besar Lembaga Urusan Tabung Haji, Datuk Ustaz Haji Kamal Haji Muhammad.
12.    Ts. Dr. Norazmawati Md Sani@Abd Rahim, Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau memperoleh PhD pada usia 28 tahun. 
13.    Mantan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka dan Mantan Presiden Pegawai-pegawai Lembaga Letrik Negara (LLN), Almarhum Ir. Ahmad Mohd Said.
14.    Mantan Presiden Renang Malaysia, Ir. Ghazali Bujang.
15.    Pakar Jantung Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Dr. Imran Datuk Haji Zainal Abidin.
16.    Pensyarah Fakulti Sains Sukan, Universiti Malaya (UM), Profesor Dr. Mohd Salleh Aman.
17.    Mantan pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Gas Asli, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Almarhum Profesor Madya Abd Aziz Hussin.
18.    Pensyarah Razak School of Engineering, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr. Robiah Ahmad.
19.    Mantan pensyarah Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Almarhum Profesor Madya Dr. Anuar Din.
20.    Mantan pensyarah Sains Politik, Fakulti Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Ghazali Mahyudin.
21.    Pensyarah Fakulti Ekonomi Pemasaran, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Azhar Ahmad. 
22.    Dr. Kassim Bahali - Universiti Kebangsaan Malaysia - ahli falak.
23.    Mantan Timbalan Setiausaha Suruhanjaya Pilihan raya Malaysia, Almarhum Haji Noh Haji Jaafar. 
24.    Pemenang pingat emas Sukan SEA 2001, Suzanna Ghazali Bujang. 
 (Sekadar menyebutkan di sini, ada lagi yang tidak disebutkan namanya kerana ruang yang terhad)

Haji Azhari Haji Mohamed

Antara pencapaian pada peringkat antarabangsa adalah dilantik sebagai Internal Auditor, Consultative Group for International Agricultural Research (CGIAR) (2000-2002), ibu pejabat di The World Bank, Washington D.C., Amerika Syarikat dan pejabat serantau di Manila, Filipina, Nairobi, Kenya, Rome, Itali, Delhi, India, dan Aleppo, Syria. Antara jawatan dalam negara tertinggi yang pernah disandang beliau adalah mantan Presiden Institut Audit Dalaman Malaysia.
 
 

 Azhari Mohamed bekerja di Bank Dunia (2000 - 2002)
Azhari Mohamed bekerja di Bank Dunia (2000 - 2002)
Antara keratan akhbar tulisan Azhari
Antara keratan akhbar tulisan Azhari
Suzanna Ghazali Bujang, pemenang pingat emas Sukan SEA 2001
Suzanna Ghazali Bujang, pemenang pingat emas Sukan SEA 2001

Ir. Dr. Ramlee Karim
Almarhum Ir. Dr. Ramlee Karim adalah anak Melayu yang pertama di Malaysia memperoleh PhD dalam bidang Kejuruteraan Kimia, Universiti Birmingham, 1972 ketika berusia 27 tahun. Pencapaian merupakan kebanggaan bukan sahaja buat penduduk Kesang Tua malahan perlu menjadi kebanggaan seluruh orang Melayu kerana kehebatannya mendapat PhD dalam bidang Kejuruteraan Kimia yang bukan calang-calang mampu diperoleh orang Melayu. 

 

 Dari kanan berdiri nombor 2, Ir. Dr. Ramlee Karim di United Kingdom


Dari kanan berdiri nombor 2, Ir. Dr. Ramlee Karim di United Kingdom

Ada pendapat yang mengatakan kejayaan anak-anak Kesang Tua adalah disebabkan ibu bapa Kesang Tua menghantar anak-anak mereka ke sekolah rendah dan menengah Inggeris di Jasin. Kebanyakan mereka yang cerdik pandai akan ke Sekolah Malay College di Kuala Kangsar, Royal Military Colleage (RMC), Sekolah Alam Shah, Sekolah High School Melaka (STAR) di Ipoh, Sekolah Aminudin Baki, Sekolah Munsyi Abdullah di Melaka, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Sekolah Sains Penuh, Sekolah Tun Fatimah, Johor. Selain itu, ibu bapa pada zaman itu sangat mementingkan pelajaran di samping menerap ilmu agama dan adab.

Jika disingkap dari aspek sejarah, sekolah yang pertama telah dibina di Kesang Tua sejak tahun 1880 iaitu darjah tertinggi pada waktu itu adalah setakat darjah empat sahaja dan sekolah ini menggunakan papan batu sahaja untuk menulis. Hanya sekitar tahun 1910 sehingga 1927, pengajaran ditingkatkan sehingga darjah lima. Catatan lain juga ada menyatakan sekolah seterusnya yang dibina di Kesang Tua adalah pada tahun 1963. Ketua Menteri Melaka, Yang Amat Berhormat Abd. Ghafar Baba telah merasmikan bangunan tambahan pada 6 Julai 1963. 

 

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

Daripada analisis tidak rasmi yang telah dilakukan, dapatlah disimpulkan individu yang telah berjaya mengharumkan nama Kesang Tua ini telah memberi sumbangan dalam pelbagai aspek seperti politik, sukan, ahli akademik, pentadbir, ahli perniagaan, dan kakitangan profesional di seluruh Malaysia. Sememangnya setiap tempat ada cerita dan keunikan yang tersendiri. Kajian lebih lanjut perlu dilakukan bagi meneliti kebarangkalian Kesang Tua ada kaitan dengan individu tertentu semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15. 

Dr. Hasnah Hussiin, Azhar Husain
Dr. Hasnah Hussiin, Azhar Husain

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang (UMP)
e-mel:  hasnah@ump.edu.my

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News