Skip to main content
Memperkasa Keusahawanan Mahasiswa melalui Perniagaan Francais

Memperkasa Keusahawanan Mahasiswa melalui Perniagaan Francais

Perniagaan francais tidak asing lagi di Malaysia terutamanya dalam kalangan usahawan muda yang ingin memulakan usaha perniagaan sendiri.  

Francais adalah strategi pemasaran dan pengedaran yang bergantung pada hubungan dua pihak: pemegang francais (penerima hak) dan francaisor (pemilik dan pemberi hak). Perniagaan francais telah mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 1963.
 
Merujuk Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Nor Azmie Diron dalam masa 25 tahun lepas, perniagaan francais di Malaysia telah berkembang pesat dan semakin popular dalam kalangan usahawan kecil dan sederhana. 

Program Pembangunan Francais yang dilancarkan oleh kerajaan pada tahun 1992 memberi tumpuan kepada memperkenalkan francais perniagaan sebagai salah satu cara untuk membangunkan ekonomi negara. Ini telah membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk membuka perniagaan dengan modal yang lebih rendah dan mendapat sokongan dari kumpulan francais yang telah terbukti berjaya.
 
Seiring dengan itu, banyak jenama antarabangsa terkenal seperti McDonald's, KFC, Subway, dan Pizza Hut telah membuka cawangannya di seluruh Malaysia melalui perniagaan francais. Ini memberi peluang kepada pelabur tempatan untuk menyertai rangkaian francais global yang telah terbukti berjaya di seluruh dunia.                                  
 
Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Nur Nabila Huda Sabaran yang merupakan pelajar Sarjana Sains UMP dalam bidang francais, perniagaan francais di institusi pengajian tinggi (IPT) juga semakin popular di Malaysia. 

Banyak jenis perniagaan francais yang berpotensi untuk dijalankan di IPT, seperti restoran makanan segera, kedai dobi, kedai gunting rambut, dan banyak lagi. Biasanya, institusi pengajian tinggi akan bekerjasama dengan syarikat francais yang berpengalaman untuk menyediakan sokongan dalam pelaksanaan perniagaan ini. Tiada perbezaan akan menjadi jurang antara francaisor dan francaisi yang dimiliki oleh IPT. Perniagaan francais di IPT juga tetap akan diberi sokongan daripada francaisi atau francaisor, termasuk bimbingan, latihan dan sokongan pemasaran. Perniagaan francais di IPT juga dapat memberikan faedah kewangan yang menarik. Dengan memiliki perniagaan yang telah diuji dan terbukti berjaya, ianya boleh menarik pelabur berpotensi untuk melabur dalam perniagaan francais yang dijalankan.
 
Jika dilihat kepada Belanjawan 2023, Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) memberi tumpuan kepada strategi dua hala bagi meningkatkan pendapatan golongan miskin dan keluarga B40 malahan mereka juga cuba menyelesaikan masalah ekonomi harian melalui strategi  IPR ini. IPR turut memberi tumpuan kepada pembasmian kemiskinan dan meningkatkan pendapatan rakyat melalui tiga inisiatif termasuklah Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN). 

Sasaran penggerak IPR untuk membantu golongan INSAN antaranya operator mesin layan diri (vending machine), syarikat yang ingin menyediakan makanan kepada pekerja mereka dan institusi pendidikan seperti kolej dan universiti yang berhasrat menggunakan mesin layan diri untuk menghidangkan makanan kepada pelajar, kakitangan dan pelawat. Hal ini dapat dikaitkan dengan perniagaan yang dijalankan oleh usahawan siswa di IPT seperti mesin layan diri (vending machine), dobi layan diri, kedai gajet, kedai serbaneka seperti 7-Eleven, dan kedai membaiki telefon yang semestinya mendapat penjanaan yang menguntungkan.
 
Universiti berperanan untuk menyediakan ekosistem keusahawan yang lebih kondusif seperti menyediakan latihan pembangunan keusahawanan, fasiliti perniagaan, dana untuk memulakan perniagaan dan jaringan usahawan dalam pelbagai industri untuk mengembangkan lagi syarikat usahawan siswa.  

Sokongan dan bantuan dana yang diberikan agensi kerajaan dan swasta kepada kategori B40 dan asnaf turut merancakkan lagi pemerkasaan usahawan siswa di universiti awam.  Pelajar universiti seharusnya mengambil peluang ini kerana makan gaji bukanlah satu-satunya jalan bagi pelajar untuk memulakan karier malah menjadi usahawan juga dapat menjana pendapatan yang lumayan. 
 
UMP kini berbangga apabila berjaya melahirkan usahawan siswa yang berjaya seperti Mohamad Mohsin Ismail yang mengusahakan Mahiran Digital Sdn. Bhd., Muhammad Nazhif  Mohd Azan (JMerch Exclusive), Christiara Marqueza Besam (Christiara Enterprise), Zul Adli Izzuddin  Zalimin (Finemade Enterprise), Nurfarah Syazni  Norsazali (Nailah Secret Empire), Muhamad Alif Ikhmal Wahab (Alep G Enterprise), Muhamad Faiz  Fauzi (Star Faam Global), Nur Farah Nuha  Umav Majid (NFN Groups Enterprise), Mohamad Samsulsairi Saidi (Samsha Food Venture), Noor Arina Ayuni Fairul Azahar (Lavish Star) dan Tunku Nur Shafiqah  Tunku Shahrul Zaini (TNS Future Enterprise).
 

Dr. Suhaidah Hussain

Penulis ialah Pengarah, Pusat Pembangunan Usahawan Kreatif

Arshada Nadia

Arshada Nadia Abdullah, Exco Keusahawanan, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP)

Nabila Huda

Nur Nabila Huda Sabaran, Pelajar Sarjana Sains (Francais). 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News