Skip to main content

Tahukah anda sejarah bunga emas?

Mungkin sesetengah generasi muda Malaysia pada hari ini tidak kenal atau tidak pernah mendengar apakah bunga emas dalam sejarah negara Malaysia. Melihat dari aspek sejarah, bunga emas merupakan salah satu mekanisme yang digunakan oleh kerajaan-kerajaan Melayu tradisional dalam mewujudkan hubungan persahabatan dan pengukuhan kuasa dengan negara luar. Sebenarnya, pemberian bunga emas ini adalah antara pemberian atau bantuan yang diberikan kepada negara luar selain bantuan ekonomi, ketenteraan dan keselamatan. Dalam hal ini, pada abad ke-19, empat negeri di Tanah Melayu telah menghadiahkan bunga mas atau bunga emas kepada kerajaan Siam. Negeri-negeri tersebut adalah Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Pemberian ini merupakan hadiah istimewa sebagai tanda persahabatan dan pengukuhan kuasa kerajaan Siam bagi melindungi negeri-negeri tersebut. Pada waktu itu, bunga emas dihantar melalui jalan darat atau laut ke Siam atau Thailand. 

Sumber: https://www.muziumnegara.gov.my/ms/bunga-mas
Sumber: https://www.muziumnegara.gov.my/ms/bunga-mas

Kelantan dan bunga emas

Kelantan suatu masa dahulu mempunyai sistem pentadbiran yang agak unik kerana setiap daerah diperintah oleh beberapa orang raja dan setiap daerah juga ditadbir oleh pembesar-pembesar yang dilantik khas oleh raja. Pada tahun 1800, perang saudara berlaku antara dua kerabat diraja iaitu Tengku Muhammad dan Long Muhammad bagi merebut takhta. Dalam pergolakan itu, Tengku Muhammad tewas dan berundur ke Terengganu. Pembesar Kelantan menabalkan Long Muhammad sebagai sultan dengan gelaran Sultan Muhammad I. Untuk mengelakkan serangan ke atas negeri Kelantan berulang, Sultan Muhammad I mendapatkan bantuan Siam pada 1832. Satu perjanjian dimeterai iaitu Kelantan akan menghantar ufti kepada Siam sebagai balasan perlindungan. Oleh itu, Kelantan mula menghantar bunga emas tiga tahun sekali kepada Siam dan Siam juga membalas dengan memberikan hadiah istimewa. Ekoran daripada ini, Terengganu dikatakan tidak lagi bermusuh dengan negeri Kelantan. Kelantan terus menghantar ufti bunga emas dan Perak kepada Siam sehingga ke pemerintahan Raja Siam Rama III. Ada sarjana berpendapat penghantaran bunga emas oleh Kelantan ini bukan sahaja sebagai tanda persahabatan malahan menunjukkan Kelantan bernaung di bawah kerajaan Siam. Setelah kemangkatan Long Muhammad, tradisi ini diteruskan lagi oleh Tuan Long Senik yang dilantik menjadi Sultan Kelantan. 

Replika bunga emas yang terdapat di muzium
Replika bunga emas yang terdapat di muzium

Terengganu dan bunga emas

Pemberian bunga emas oleh Terengganu kepada Siam berlaku semasa pemerintahan Sultan Mansur I.  Berbeza dengan negeri lain, pemberian bunga emas itu bukanlah sebagai ufti tetapi sebagai simbolik membalas jasa Terengganu kerana negeri tersebut pernah membantu Siam menewaskan Ligor pada tahun 1766. Sultan Zainal Abidin III (1881-1918) menjelaskan sendiri perkara ini kepada Gabenor Frederick Weld yang datang ke Terengganu pada tahun 1886. Bermula daripada situ, maka terjalin hubungan persahabatan di antara Terengganu dengan Siam. Hubungan persahabatan ini bertambah utuh lagi apabila Terengganu menghantar bunga emas kepada Raja Siam setiap tiga tahun.

Replika bunga emas dari Muzium Negeri Kedah  (Kredit: BERITAmediacorp dan Muzium Negeri Kedah)
Replika bunga emas dari Muzium Negeri Kedah 

(Kredit: BERITAmediacorp dan Muzium Negeri Kedah)

Kedah dan bunga emas 

Selain Terengganu, Kedah juga adalah antara negeri yang terpaksa menghantar bunga emas kepada kerajaan Siam itu pada setiap tahun. Hubungan Kedah-Siam dikatakan bermula sejak abad ke-12 ketika Kedah ditakluki Siam. Hubungan diplomatik Kedah-Siam diteruskan ketika zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II. Kajian oleh Nor Atiqah Sukri (2022), terdapat dua versi cerita tentang sejarah asal usul permulaan penghantaran bunga emas oleh Kedah kepada Siam iaitu melalui At-Tarikh Salasilah dan Hikayat Merong Mahawangsa. Kedua-dua naskhah mempunyai penceritaan yang berbeza. At-Tarikh Salasilah mencatatkan bahawa penghantaran bunga emas kepada Raja Legor (Siam) adalah sebagai simbol ucapan terima kasih atas bantuan ketika peperangan dan sebagai memulakan perhubungan di antara kerajaan Raja Legor dengan Kerajaan Kedah. At-Tarikh Salasilah juga mencatatkan Kerajaan Kedah yang mula melakukan penghantaran bunga emas dan kemudiannya Raja Legor membalas dengan pemberian hadiah balasan kepada Raja Kedah. Dalam Hikayat Merong Mahawangsa pula, penghantaran bunga emas adalah simbol hubungan persaudaraan yang mesra dan kegembiraan menyambut kelahiran putera baharu dalam Kerajaan Siam. Dalam hal ini, Hikayat Merong Mahawangsa mencatatkan Raja Siam yang terlebih dahulu menghantar pemberian hadiah kepada Raja Kedah. Kemudian, baharulah Raja Kedah membalas dengan penghantaran bunga emas kepada Raja Siam. 

Replika bunga emas dari Muzium Negeri Kedah  (Kredit: BERITAmediacorp dan Muzium Negeri Kedah)
Replika bunga emas dari Muzium Negeri Kedah 

(Kredit: BERITAmediacorp dan Muzium Negeri Kedah)

Dinyatakan sebanyak 18 bunga mas sudah dihadiahkan Kedah kepada Siam. Menurut Pengarah Muzium Negeri Kedah, Suhaidi Shukri, cara bunga emas dihantar ke Siam adalah melalui laluan darat atau laut. Sebanyak 100 ekor gajah digunakan untuk mengangkut hadiah-hadiah tersebut dari satu pusat pemeriksaan ke satu pusat pemeriksaan secara berganti-ganti. Ini mengambil masa setahun untuk dibawa dari Kedah ke Bangkok, Thailand. Manakala jalan laut biasanya mengambil masa selama sehingga enam bulan untuk sampai.

Perlis dan bunga emas Replika bunga emas di negeri Perlis Indera Kayangan
Perlis dan bunga emas

Replika bunga emas di negeri Perlis Indera Kayangan

Dalam kes negeri Perlis, Perlis pada asalnya adalah sebahagian daripada negeri Kedah. Perlis menjadi negeri berdaulat dengan pelantikan Syed Hussein sebagai Raja Perlis dan beliau pernah ke Bangkok pada tahun 1840 bagi menerima pelantikan Raja Rama III. Perlis pernah mengalami masalah kewangan yang teruk sehingga terpaksa meminta bantuan Siam. Dikatakan masalah ini timbul kerana penghantaran bunga emas dan Perak ke Siam. Keluaran hasil negeri tidak mampu menampung ekonomi negeri Perlis. Keadaan ini menyebabkan Raja Perlis iaitu Raja Syed Alwi meminjam duit daripada Siam. Penghantaran bunga emas dan Perak kepada Siam adalah bukti Perlis negeri yang berasingan daripada Kedah. Dilaporkan terdapat lebih kurang 20 bunga emas dan perak telah dihantar ke Siam sepanjang tahun1841 hingga 1909. Walau bagaimanapun, amalan ini berakhir dengan Perjanjian Inggeris-Siam 1909, iaitu tiga negeri di bawah Siam diserahkan kepada Inggeris.

Apa yang dapat kita kutip daripada peristiwa pemberian bunga emas oleh beberapa buah negeri yang disebutkan di atas kepada Siam pada abad ke-19 merupakan satu keunikan dalam sejarah hubungan antarabangsa negeri-negeri Melayu pada waktu itu. Ia melambangkan kekayaan, kekuasaan, penghormatan dan naungan yang tidak terdapat dalam mana-mana sejarah hubungan antarabangsa di negara lain. 

Dr. Hasnah Hussiin
Dr. Hasnah Hussiin

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
E-mel: hasnah@umpsa.edu.my

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News