Skip to main content

Tip mudah menulis rencana

Antara penulisan yang santai dan mudah adalah penulisan rencana. Ini memandangkan rencana tidak memerlukan anda mencari sampel untuk diuji kaji dan responden untuk ditemu bual bagi mendapatkan maklumat. 

Walau bagaimanapun, anda tetap perlu mempunyai ilmu sebelum menulis. Ia mungkin berdasarkan kepada pengalaman, pengamatan, pembacaan dan boleh juga ditarik daripada kajian anda sebelum ini. Menulis merupakan satu langkah untuk menyebarkan ilmu untuk dikongsi dengan pembaca di luar sana. 

Penulisan rencana yang baik akan dibaca oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat umur dan taraf pendidikan. Di samping berkongsi ilmu, menulis juga boleh dijadikan sebagai hobi dan dalam situasi yang lain boleh membantu pencapaian Sasaran Kerja Utama (SKU) para ahli akademik. Manakala bagi para pelajar pula ini merupakan perkongsian yang baik untuk menilai kebolehan diri menyebarkan ilmu melalui penulisan. Kebiasaannya, penulisan rencana adalah dalam lingkungan 3 hingga 4 muka surat dengan 800 patah perkataan. 

Mungkin ramai orang yang minat untuk menulis, tetapi tidak tahu bagaimana untuk memulakannya dan hendak menulis tentang apa? Bagaimana formatnya dan ke mana rencana itu perlu dihantar? Selain itu, ada juga yang tidak berkesempatan untuk menulis walaupun mereka mempunyai sesuatu yang hendak dikongsi disebabkan kesibukan masa bekerja dan belajar. 

Tip ringkas penulisan sesebuah rencana. 

Sebelum kita memulakan penulisan, semestinya kita telah mengumpul maklumat yang diperlukan. Maklumat-maklumat biasanya diperoleh tanpa disedari seperti semasa kita berbincang dengan rakan-rakan, kita mendapat idea untuk menulis. Selain itu, menghadiri sesuatu majlis ilmu seperti kuliah, seminar, kolokium, persidangan juga biasanya memberi idea secara tidak langsung kepada kita. Lain-lain seperti mendengar berita semasa, pengamatan dan pengalaman kita sehari-hari juga banyak menyumbang idea untuk kita menulis. 

Apabila kita mendapat idea, jangan dibiarkan begitu sahaja. Ia perlu dicatat secara spontan dan meletakannya di tempat yang sesuai. Kegagalan anda mencatat idea yang diperoleh akan menyebabkan anda lupa idea yang ingin disampaikan. Harus diingat bahawa jika anda meminati bidang penulisan, idea akan datang kepada anda walau di mana sahaja anda berada sama ada semasa memandu ke tempat kerja, mandi, memasak, kayuh basikal dan sebagainya. Tidak salah rasanya membawa buku nota kecil ke mana-mana sahaja untuk memudahkan anda mencatat idea yang datang. 

Cari tempat yang sesuai untuk menulis
Cari tempat yang sesuai untuk menulis

Langkah pertama adalah dengan melakar apakah yang ingin kita sampaikan. Jangan fikir tajuk lagi. Tulis dahulu baharu fikir tajuk. Biasanya dalam penulisan rencana perlu ada empat hingga lima isi atau idea utama. Jika ada lebih, lagi baik tetapi perlu disampaikan secara ringkas, santai dan mudah difahami oleh pembaca. 

Ini adalah kerana penulisan rencana tidak memerlukan info yang berat atau sukar difahami oleh pembaca. Elakkan menulis tentang teori, falsafah dan formula. Tidak perlu menyampaikan formula Matematik atau teori-teori tertentu dalam Kejuruteraan atau Sains kerana rencana merupakan bacaan ringan yang tidak terlalu akademik. Antara contoh bacaan ringan untuk pembaca di luar sana seperti ‘Cara untuk mengelakkan berlakunya pembaziran tenaga’, ‘Pantang larang dalam masyarakat Cina’, ‘Kesan gajet kepada mahasiswa’ dan ‘Bagaimana menjadi mahasiswa cemerlang’ dan sebagainya. 

Seterusnya, jangan fikir bagaimana mahu mulakan pengenalan, sebaliknya teruskan kepada perbincangan dan kesimpulan. Tidak perlu mengikut tertib seperti ini, hanya perlu tulis atau mulakan dengan apa yang mudah untuk dibincangkan dan isi apa yang kita rasa minat nak tulis. 

Dalam hal ini, ada orang yang tulis kesimpulan terlebih dahulu kemudian diikuti dengan isi dan pengenalan. Terpulang kepada keselesaan masing-masing. Kadang kala sesetengah dari kita terlalu mengikut tertib iaitu perlu memulakan dengan pengenalan, sedangkan kita belum ada idea untuk itu. Bila rasa tiada idea, terus rasa tiada motivasi untuk menulis. Inilah antara faktor yang menyebabkan seseorang itu hilang motivasi untuk menulis kerana memaksa diri sedangkan idea belum datang. 

Oleh itu, tulislah apa yang terlintas di fikiran kita terlebih dahulu iaitu tulis sahaja idea apa yang datang terlebih dahulu. Mungkin yang terlintas di fikiran kita isi yang keempat, pengenalan di akhir penulisan. Dari segi isi kandungan penulisan, pengenalan mesti mencerminkan apa yang ingin kita sampaikan. Setiap isi utama perlu ada huraian dan contoh jika perlu. Akhir sekali sudah pasti penutup atau kesimpulan. Biasanya tajuk boleh lahir sebelum penulisan atau siap penulisan barulah diletakkan tajuk.  

Jangan sesekali memaksa diri untuk menyiapkan penulisan itu dalam satu hari atau sesuatu masa tertentu. Tulislah mengikut mood dan kerajinan. Mungkin hari ini anda mampu menulis tentang pengenalan sahaja dan esoknya pula penutup. Mungkin juga hari ini anda hanya mampu membuat draf penulisan atau mampu menulis satu idea sahaja. Ini adalah langkah yang baik dan di akhirnya anda akan mengumpulkan kesemua idea yang terpisah tersebut bagi membentuk sebuah rencana. 

Menulis merupakan kaedah berkesan untuk menyebarkan ilmu
Menulis merupakan kaedah berkesan untuk menyebarkan ilmu

 

Penulisan yang baik adalah penulisan yang dekat dengan masyarakat dan pilihlah isu yang masih panas diperkatakan agar kita tidak syok sendiri. Syok sendiri maksudnya kita sahaja yang seronok dengan isu tersebut, sedangkan pembaca di luar sana sukar untuk fahami dan merasakan perkara tersebut tiada kaitan dengan mereka. Adalah lebih baik menulis isu yang dekat dengan semua lapisan masyarakat dan tidak terarah kepada sesebuah organisasi sahaja. 

Penulisan perlulah berdasarkan bidang atau kepakaran masing-masing. Jangan sekali-kali membincangkan perkara di luar kepakaran kita kerana dikhuatiri akan memberikan maklumat yang salah dan tidak tepat. Perlu jaga kredibiliti semasa menulis sesuatu isu apabila yang menulis adalah dalam kalangan ahli akademik. 

Kesilapan mengulas sesuatu isu akan menjatuhkan kredibiliti dan reputasi anda di sesebuah institusi. Dewasa kini terlihat ramai yang cuba mengulas atau menulis sesuatu yang di luar bidang kepakaran masing-masing. Mungkin juga sebabnya adalah untuk memperlihatkan kebolehan seseorang melakukan multitugas. Perkara ini bagus jika dilihat dari sudut positif tetapi tidak semua perkara sesuai apabila ia melibatkan kepakaran. Kepakaran bermaksud anda benar-benar menguasai perkara tersebut dari pelbagai aspek bermula dari A sampai Z. 

Akhir sekali sedar atau tidak, jika anda serius dalam bidang penulisan, anda mampu menjana pendapatan. Ini memandangkan ada penulisan rencana yang mendapat bayaran. Penulisan cerpen, novel, sajak dan buku-buku akademik atau bukan akademik (penulisan kreatif) semuanya boleh memberikan sumber pendapatan tambahan jika anda minat menulis. Tidak semua orang dikurniakan bakat menulis, tetapi jika anda minat menulis, terdapat banyak kursus-kursus penulisan yang boleh anda ikuti bagi memantapkan lagi penulisan anda. 

Antara contoh buku-buku akademik untuk rujukan pelajar IPT

Antara contoh buku-buku akademik untuk rujukan pelajar IPT
Antara contoh buku-buku akademik untuk rujukan pelajar IPT

Secara amnya, tidak banyak peraturan atau syarat yang perlu ada di dalam penulisan rencana. Apa yang penting isu yang disampaikan itu perlu santai dan ringkas serta mudah difahami oleh pembaca dan tidak menyentuh sensitiviti agama atau kaum tertentu. 

Hasnah Hussiin
Dr. Hasnah Hussiin

Penulis adalah pensyarah kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 
e-mel: hasnah@umpsa.edu.my

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News