Skip to main content

3 pasangan kembar kongsi kegembiraan terpilih masuk UMP

PEKAN, 9 Oktober 2021 – Tiga pasangan kembar berkongsi kegembiraan apabila terpilih menyambung pengajian bagi pendaftaran pelajar baharu sesi 2021/2022 di Universiti Malaysia Pahang (UMP).  

Kehadiran pasangan kembar itu telah mencuri perhatian semasa sesi Minggu Induksi Siswa (MIND’S) yang diadakan secara dalam talian menerusi Facebook UMPMalaysia baru-baru ini.  

Bagi dua pasangan itu, mereka dapat mengikuti pengajian dalam jurusan yang sama iaitu  Emberlyn Chia Hui Woan dan Sharelyn Chia Hui Xin, 20, yang mengambil program Ijazah Sarjana Muda Sains  Gunaan Bioteknologi Industri manakala pasangan kembar Nurul Anisa Suhaimi dan Nurul Ariana Suhaimi, 19 pula mengikuti pengajian di peringkat Sarjana Muda Sains Komputer Teknologi Multimedia dan Grafik.

Berlainan pula bagi pasangan kembar Nur Amira Aina Halim yang mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan Bioteknologi Industri dan pasangan kembarnya Nur Amirah Aida Halim pula mengambil jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal. 

Menurut Nur Amira Aina, 21, beliau amat terkejut dan bersyukur ketika menerima tawaran menyambung pengajian bersama kakak kembarnya di UMP.

“Memandangkan kami meminati bidang yang berbeza jadi tidak menyangka dapat menuntut di universiti yang sama.

“Tambahan pula, sebelum ini kami pernah terpisah ketika mengikuti program diploma, saya di Politeknik Nilai, Negeri Sembilan dan kakak di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Kedah.

“Walaupun kami berlainan jurusan, namun masih boleh berjumpa ketika pulang ke kampus nanti,” katanya yang berasal dari Selangor itu.

Manakala menurut Nurul Anisa pula, alhamdulillah impiannya untuk menyambung pengajian bersama adik kembarnya dalam jurusan yang sama tercapai.

“Sejak kecil lagi kami tidak pernah terpisah dan kami juga mempunyai minat yang sama dan diharapkan impian untuk menjadi pemaju permainan (game developer) akan tercapai suatu hari nanti,” katanya.

Pengalamannya mengikuti Minggu Induksi Siswa (MIND’S) secara norma baharu juga amat menyeronokkan. 
Sejak awal pagi, mereka berdua membuat persediaan untuk tidak terlepas mengikuti setiap slot sesi. 

Menerusi MIND’S banyak maklumat yang diperoleh seperti mengenai akademik, e-Pembelajaran (KALAM) dan lain-lain lagi.   

Manakala menurut Sharelyn Chia Hui Xin yang berasal dari Sarawak pula tidak sabar untuk dapat datang ke UMP kerana belum pernah berpeluang menjejakkan kaki ke Pahang.

Walaupun nanti mereka akan berjauhan dengan ibu bapa, namun lebih rasa selamat kerana kakaknya Emberlyn Chia Hui Woan ada bersama. 

Beliau berharap nanti semasa di UMP dapat ditempatkan di residen yang sama.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor berkata, seramai 1,528 pelajar mendaftar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda menerusi 41 program yang ditawarkan pada tahun ini.

Beliau mengucapkan selamat datang kepada semua pelajar baharu dan selamat menjalani Minggu Induksi Siswa (MIND’S). 

Walaupun semua pelajar baharu masih berada di kediaman masing-masing namun pelajar perlu sentiasa cakna dengan proses pembelajaran secara dalam talian agar tidak ketinggalan memandangkan semester 2021/2022  bermula pada 11 Oktober 2021.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd. Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)  

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris