Skip to main content

400 pelajar UMP terima manfaat sumbangan Yayasan Taqwa

PEKAN, 7 Jun 2023 - Seramai 400 pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) terima manfaat sumbangan pendidikan yang disalurkan oleh Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan kepada UMP dengan jumlah keseluruhan bernilai RM200,000 yang merangkumi bantuan elaun sara hidup, bantuan zakat pelajar, kupon makanan serta Insentif Bantuan Latihan Profesional melalui kepakaran Universiti. 
 
Melalui Program SISWA + Bantuan Komputer Riba pula, seramai 20 orang pelajar terpilih menerima sumbangan berbentuk komputer riba dan data internet  dengan nilai sumbangan sebanyak RM66,596.00. 

Majlis menyaksikan Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato' Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman yang juga Pengerusi Yayasan UMP menerima replika sumbangan daripada Pengerusi Yayasan Taqwa, Profesor Mohd Roslan Mohd Nor. 
 
Turut sama dalam majlis, Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa, Haji Zabidi Nasan. 
 
Menurut Tan Sri Dato' Sri Dr. Abdul Aziz, pihaknya menghargai sumbangan pihak Yayasan Taqwa dalam memastikan para pelajar dari keluarga asnaf dan yang berkeperluan ini menerima bantuan dalam meningkatkan pembelajaran dan pendidikan.

400 pelajar UMP terima manfaat sumbangan Yayasan Taqwa

 
“Yayasan UMP ditubuhkan bertujuan mengumpul dan mengurus dana daripada orang ramai, syarikat dan institusi bagi kegunaan kebajikan mahasiswa UMP serta membiayai program pendidikan, kemasyarakatan dan menyediakan kemudahan pembelajaran tambahan yang digunakan oleh pelajar dan universiti.

“Yayasan UMP telah mengagihkan bantuan sebanyak RM3.3 juta kepada 2,500 pelajar pada tahun 2022. 

“Malahan pada tahun ini, Yayasan UMP telah mengagihkan bantuan sebanyak RM1.1 juta kepada 1,300 pelajar melalui penajaan biasiswa, bantuan zakat, bantuan insentif pendidikan, program pembangunan mahasiswa serta program kesukarelawanan,” katanya.

Beliau turut mengharapkan agar semua pelajar dapat bersungguh-sungguh dalam pengajian dan mudah-mudahan mereka memperoleh kecemerlangan. 

Bagi Muhammad Shahril Mohamad, 22 yang merupakan pelajar Fakulti Teknologi  Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) amat bersyukur apabila terpilih untuk menerima komputer riba ini. 

Beliau terharu apabila UMP sentiasa  prihatin dengan kebajikan pelajar dan  mendorongnya untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh.  
 
Manakala, Nurul Fatihah Nurul Akmar Nizam, 20 tahun pula menzahirkan rasa terkejut apabila namanya terpilih menerima komputer riba tersebut namun bersyukur memandangkan sebelum ini beliau terpaksa menggunakan komputer ibu saudaranya dan kadang kala meminjam dengan rakan-rakan.  

400 pelajar UMP terima manfaat sumbangan Yayasan Taqwa

 
Melalui majlis ini juga, Yayasan Taqwa turut menyampaikan sumbangan set persekolahan lengkap kepada 278 orang pelajar sekolah rendah di sekitar kawasan Pekan melalui Program Jom Ke Sekolah (JKS) 2023 hasil kerjasama  Pejabat Pendidikan Daerah (PPI), Pekan.

Disediakan oleh: Mimi  Rabita  Haji  Abdul  Wahit,  Bahagian  Komunikasi   Korporat, Jabatan Canseleri.

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit