Skip to main content

Kursus SISPAA mantapkan pengurusan aduan universiti

KUANTAN, 31 Mac 2021 – Penganjuran Kursus Pemantapan Pengurusan Aduan dan Bengkel Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dilihat mampu menjadi platform dalam memberi pendedahan dan kefahaman dalam mengendalikan serta menguruskan sistem aduan universiti dengan baik kepada pegawai yang dilantik di pusat tanggungjawab. 
 
Program anjuran Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC) itu berlangsung di Swiss-Belhotel, Kuantan yang dihadiri seramai 40 orang pegawai dalam kalangan pegawai tadbir gred N41 dan ke atas.

Hadir merasmikan program adalah Timbalan Pendaftar Kanan, PNC, Zainuddin Mat Hussin.
 
Menurut Zainuddin, SISPAA merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam memperbaiki mutu perkhidmatan dan penyampaian dari masa ke semasa yang telah dimudah cara dengan penggunaan teknologi terkini.
 
“UMP telah menggunakan sepenuhnya Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) bermula 1 Januari 2020 bagi menggantikan UMP Helpdesk yang telah digunakan sejak April 2013,” katanya.
 
“SISPAA dapat mempercepatkan dan memudahkan proses penyampaian maklum balas kepada agensi kerajaan kerana ia boleh dicapai oleh para pengguna pada bila-bila masa dengan capaian internet.
 
“Menerusi platform ini, pengadu boleh menyemak status tindakan dan menerima maklum balas dalam tempoh yang telah ditetapkan,” katanya. 
 
Turut berlangsung sesi perkongsian berkaitan sistem SISPAA daripada Penolong Pengarah, Biro Pengaduan Awam Negeri Pahang, Ahmad Nasrullah Abdul Halim.

Disediakan Oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim