Skip to main content
PENGUMUMAN RASMI PELAKSANAAN PEPERIKSAAN AKHIR SEMESTER DAN AKTIVITI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

PENGUMUMAN RASMI PELAKSANAAN PEPERIKSAAN AKHIR SEMESTER DAN AKTIVITI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

1.    Pandemik Covid-19 yang melanda dunia dan negara kita telah memberi impak besar kepada kita semua dan warga Universiti Malaysia Pahang (UMP) tidak terkecuali daripada menghadapi kesan daripada krisis ini. Pihak UMP dari semasa ke semasa perlu membuat keputusan bagi menjamin aktiviti akademik menepati hasil pembelajaran dan kualiti yang telah ditetapkan.

2.    Sejak Pandemik Covid-19 melanda negara kita, UMP sentiasa akur dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam usaha membendung penularan Covid-19. Antara tindakan yang telah diambil oleh UMP selaras dengan keputusan Kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac 2020 yang lalu ialah:

a.    UMP telah menangguhkan aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP). Pelajar telah dibantu dari aspek kebajikan sepanjang tempoh  Perintah Tempoh Kawalan Pergerakan tersebut;  

b.    Membuat pindaan terhadap Kalendar Akademik bagi  Semester II dan Semester Pendek, Sesi Akademik 2019/2020 dengan membawa ke hadapan Cuti Pertengahan Semester supaya tidak menjejaskan tempoh pelajar berijazah. Semasa tempoh pelajar bercuti, pensyarah UMP telah diarahkan menggunakan peluang ini bagi menyediakan bahan-bahan PdP untuk keperluan pengajaran dalam talian selaras dengan normal baharu;

c.    UMP telah melaksanakan sepenuhnya PdP secara dalam talian bagi program pengajian prasiswazah dan pascasiswazah apabila sambungan Semester II, Sesi Akademik 2019/2020 bermula pada 1 Jun 2020;

d.    Berdasarkan kepada kelulusan MKN dan KPT dari semasa ke semasa, UMP telah membenarkan para pelajar yang mempunyai masalah capaian internet, berkeperluan khas dan  yang mempunyai kerja-kerja makmal untuk kembali ke kampus. Dengan kebenaran ini, para pelajar berkenaan telah berjaya meneruskan penyelidikan mereka dan seterusnya melengkapkan keperluan akademik untuk bergraduat.  

e.    Dengan mengambil kira bahawa  krisis Covid-19 menunjukkan tanda-tanda pemulihan, maka UMP telah membuat keputusan bahawa Peperiksaan Akhir Semester II dan Semester Pendek, Sesi Akademik 2019/2020 akan dilaksanakan secara bersemuka.

    Peperiksaan Akhir Semester II, Sesi Akademik 2019/2020 (Fasa 1) telah berjaya dilaksanakan secara bersemuka pada 10 hingga 23 Ogos 2020 dengan kebenaran pihak KPT. Seramai 3,734 pelajar telah menduduki peperiksaan ini dan seramai 1,601 orang pelajar telah berjaya bergraduat hasil daripada pelaksanaan peperiksaan ini.

    Peperiksaan Akhir Semester Permulaan (Diploma) Sesi Akademik 2020/2021 telah berjaya dilaksanakan secara bersemuka pada 1 Oktober 2020. Peperiksaan ini dilaksanakan secara bersemuka dengan kebenaran pihak KPT. Seramai 816 pelajar telah menduduki peperiksaan ini.

    Pihak universiti juga telah melaksanakan peperiksaan secara bersemuka bagi program kerjasama akademik UMP dengan Karlsruhe University of Applied Sciences (HsKA) Jerman. Majlis Dekan-Dekan Kejuruteraan di Jerman tidak bersetuju dengan pelaksanaan peperiksaan secara dalam talian. Seramai 81 pelajar telah menduduki peperiksaan ini.

3.    Perancangan pihak Universiti bagi melaksanakan peperiksaan secara bersemuka sebenarnya telah berjaya. Namun begitu, susulan peningkatan kes Covid-19 yang diluar kawalan kita menyebabkan pihak Universiti perlu mengambil tindakan bagi menyesuaikan pelaksanaan peperiksaan dan PdP di UMP. Selaras dengan siaran media KPT bertarikh 2 Oktober 2020 yang telah meminta pihak Universiti membuat penangguhan pendaftaran secara fizikal/bersemuka bagi pelajar baharu dan pelajar kanan. Bagi pelajar yang telah berada di kampus, mereka boleh terus kekal berada di kampus. Lanjutan daripada arahan KPT ini, Senat UMP (Khas) pada 4 Oktober 2020 telah membuat keputusan seperti berikut:

3.1     Peperiksaan Akhir Semester II Sesi Akademik 2019/2020 (Fasa 2) dan Semester Pendek, Sesi Akademik 2019/2020

i)    Peperiksaan Akhir Semester II Sesi Akademik 2019/2020 (Fasa 2) dan Semester Pendek, Sesi Akademik 2019/2020 dilaksanakan secara dalam talian.

ii)    Pelaksanaan peperiksaan akhir secara dalam talian akan dikendalikan oleh pensyarah yang mengajar kursus berkenaan melalui platform KALAM atau platform dalam talian yang difikirkan sesuai oleh pensyarah.

iii)    Tempoh pelaksanaan Peperiksaan Akhir Semester II Sesi Akademik 2019/2020 (Fasa 2) dipinda daripada 5 hingga 16 Oktober 2020 kepada 7 hingga 16 Oktober 2020 dengan perincian perubahan seperti berikut:

a.    Bagi kursus yang dijadualkan peperiksaan pada 5 Oktober 2020, peperiksaan ditunda kepada 10 Oktober 2020 (Sabtu);

b.    Bagi kursus yang dijadualkan peperiksaan pada 6 Oktober 2020, peperiksaan ditunda kepada 11 Oktober 2020 (Ahad);

c.    Bagi kursus-kursus yang dijadualkan peperiksaan pada 7 hingga 16 Oktober 2020 adalah kekal seperti jadual sedia ada.

iv)    Tempoh pelaksanaan Peperiksaan Akhir Semester II Sesi Akademik 2019/2020 (Fasa 3) yang dijadualkan pada 19 hingga 30 Oktober 2020 bagi pelajar yang mengikuti Latihan Industri adalah kekal seperti sedia ada.

v)    Tempoh pelaksanaan Peperiksaan Akhir Semester Pendek, Sesi Akademik 2019/2020 yang dijadualkan pada 12 hingga 16 Oktober 2020 adalah kekal seperti sedia ada.

vi)    Bagi mengurangkan impak ketidakselesaan dan risiko berlakunya kes kecurangan akademik, wajaran Penilaian Peperiksaan Akhir dikurangkan daripada 40% kepada 20% dan Wajaran Penilaian Kerja Kursus ditingkatkan daripada 60% kepada 80%. Walaubagaimanapun, Lembaga Peperiksaan di Fakulti boleh mempertimbangkan perubahan wajaran penilaian peperiksaan akhir mengikut kesesuaian yang munasabah.

vii)    Pengecualian pelaksanaan peperiksaan akhir secara dalam talian diberikan kepada Fakulti/Kolej Kejuruteraan/Pusat yang mendapat persetujuan daripada pelajar untuk mengambil peperiksaan akhir secara bersemuka dengan mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) yang ditetapkan. Pemarkahan bagi pelaksanaan peperiksaan ini adalah kekal seperti yang telah ditetapkan sebelum ini.

viii)    Bagi pelajar yang menginap di kampus DHUAM, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) akan menyediakan kemudahan pengangkutan bagi pelajar ke kampus UMP untuk tujuan menduduki peperiksaan akhir disebabkan oleh masalah capaian internet yang tidak begitu baik di kampus DHUAM.

ix)    UMP boleh mempertimbangkan peperiksaan khas bagi pelajar yang mempunyai masalah untuk menduduki peperiksaan secara dalam talian. Namun begitu pertimbangan ini perlulah disokong dengan dokumen/bukti berkaitan.

x)    Senat Universiti mengingatkan semua pihak supaya mematuhi segala peraturan peperiksaan dan mengutamakan integriti.

xi)    Sebarang pertanyaan berkaitan peperiksaan, pelajar boleh menghubungi Pusat Pengurusan Akademik di talian 09-549 2550 (UMP Kampus Gambang) dan 09-424 5252 (UMP Pekan).
Di samping itu, pelajar juga boleh menghubungi Pejabat Pentadbiran Fakulti/Kolej Kejuruteraan/Pusat masing-masing.

3.2    Pelaksanaan   Aktiviti   Pengajaran   dan   Pembelajaran  (PdP)  Semester I, Sesi Akademik 2020/2021

i)    Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bagi program pengajian prasiswazah dan pascasiswazah (mod kerja kursus) akan dilaksanakan secara dalam talian bermula pada 19 Oktober 2020.

ii)    Bagi kursus yang mengandungi 100% komponen makmal atau bengkel yang ditawarkan pada Semester I,  Sesi Akademik 2020/2021 bagi program prasiswazah dan pascasiswazah,  pihak Fakulti/Kolej Kejuruteraan/Pusat akan menjadualkan semula kursus berkenaan untuk ditawarkan pada Semester II, Sesi Akademik 2020/2021. Pihak Fakulti/Kolej Kejuruteraan/Pusat akan menggantikan kursus berkenaan dengan kursus lain yang bersesuaian untuk diikuti oleh pelajar pada Semester I, Sesi Akademik 2020/2021.

iii)    Pelajar Semester Akhir pada Semester I, Sesi Akademik 2020/2021 yang mengambil kursus 100% komponen makmal/bengkel, kursus yang terlibat akan ditawarkan dan aktiviti makmal/bengkel akan dijalankan apabila pihak KPT membenarkan pelajar kembali ke kampus.

iv)    Penawaran kursus Ko-Kurikulum tidak ditawarkan sehinggalah pelajar dibenarkan kembali ke kampus. Walaubagaimanapun, pelajar Semester Akhir pada Semester 1, Sesi Akademik 2020/2021 yang perlu mengambil kursus Ko-Kurikulum dibenarkan menyelesaikan kursus tersebut tertakluk kepada persetujuan pelajar dan ibubapa mereka. Pelajar boleh menghubungi Pusat Ko-Kurikulum UMP untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara ini.

v)    Pelajar pascasiswazah (mod penyelidikan) yang sedang menyiapkan kerja penyelidikan hendaklah berhubung dengan Fakulti/Kolej Kejuruteraan/Pusat untuk kebenaran penggunaan makmal/bengkel dengan mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) yang ditetapkan.

4.    Dalam menghadapi krisis pandemik Covid-19 pihak universiti berharap semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing dalam memastikan aktiviti akademik dan penyampaian perkhidmatan universiti dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan. Di waktu sukar ini, marilah kita sama-sama bersabar atas ujian ini dan terus berdoa kepada Allah SWT agar kita semua terhindar daripada ancaman Covid-19 ini.    

Dikeluarkan oleh:
Pejabat Naib Canselor
Universiti Malaysia Pahang
4 Oktober 2020

 

Reports by:
Norhidayah binti Mohamad