Skip to main content
Prof. Ts. Dr. Mohd. Rosli Hainin dilantik TNCAA UMP

Prof. Ts. Dr. Mohd. Rosli Hainin dilantik TNCAA UMP

Kuantan, 25 November- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melantik Prof. Ts. Dr. Mohd. Rosli Hainin, 52 sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Pahang (UMP) untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 November 2019 sehingga 31 Oktober 2022.

Beliau yang berasal dari Temerloh Pahang ini memiliki kelulusan Ijazah Kedoktoran (PhD) pada tahun 2004 dalam jurusan kejuruteraan awam daripada National Center for Asphalt Technology (NCAT), Auburn University, Alabama, Amerika Syarikat (USA) yang merupakan pusat penyelidikan ternama dalam kejuruteraan lebuh raya.  

Prof. Ts. Dr. Mohd. Rosli mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Kejuruteraan Awam, University of Kansas, USA (1996), Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Clemson University, South Carolina, USA (1990) dan Diploma in Science, Indiana University, USA (1987).

Berpengalaman luas dalam bidang akademik dan penyelidikan, Prof. Ts. Dr. Mohd. Rosli telah berkhidmat selama 29 tahun di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau sebelum ini merupakan Naib Pengerusi Sekolah Kejuruteraan Awam UTM yang bertanggungjawab dalam pembangunan akademik dan pelajar serta merupakan Felo Penyelidik Bersekutu di Pusat Geokejuruteraan Tropika (GEOTROPIK) UTM.

Lain-lain berpengalaman sebagai Ketua Makmal selama 8 tahun, Ketua Kumpulan Penyelidikan Pavemen dan Pengangkutan selama 5 tahun dan Pengerusi Panel Penerbitan Buku UTM selama 4 tahun. Malahan beliau juga pernah dilantik sebagai Ketua Jabatan Geoteknik dan Pengangkutan selama 5 tahun dan Timbalan Dekan Akademik selama 2 tahun. Dalam penerbitan, beliau berjaya menerbitkan 400 terbitan termasuk 260 artikel jurnal dengan H-Indeks 26.  

Naib Canselor UMP, Prof. Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff berkata, pihak universiti amat berbesar hati dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik atas pelantikan ini.

"Semoga dengan pelantikan ini UMP terus cemerlang untuk menjadi sebuah universiti teknologi terunggul dalam menerajui bidang kejuruteraan dan teknologi terutamanya dalam memperkasa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) aras tinggi di negara ini,” katanya.  

UMP sentiasa memastikan pembentukan kurikulum akademik yang dihasilkan lebih inovatif serta menjadikan infrastruktur akademik lebih efisyen berorientasikan keperluan industri dan menyumbang terhadap usaha memasyarakatkan teknologi di negara ini.    

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri