Skip to main content

Program ‘Sampah untuk Tunai’ sokong Agenda Kelestarian UMPSA

GAMBANG, 11 Januari 2024 - Universiti adalah hab untuk pengetahuan dan inovasi. Namun, dengan jumlah sisa yang besar yang dijana dalam universiti, ia menjadi satu kewajipan universiti untuk meningkatkan komitmen komuniti UMPSA dalam meminimumkan sisa sekaligus melestarikan alam sekitar. 

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus mengorak langkah ke arah pembangunan mampan dengan melaksanakan Pelan Tindakan Kampus Lestari UMPSA bagi tempoh 2022-2025. 

Sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) global, pelan tindakan itu melangkaui pembangunan fizikal semata-mata. 

Inisiatif ini ditanda aras dengan kriteria Metrik Hijau UI, yang menilai universiti di seluruh dunia berdasarkan inisiatif kelestarian alam sekitar. 

Salah satu fokus utama dalam Rangka Tindakan Kampus Lestari UMPSA adalah pengurusan sisa bagi memupuk persekitaran yang mampan. 

Pendekatan ini merangkumi enam komponen yang sepadan dengan SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan yang Baik), 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab), 14 (Kehidupan di Bawah Air), 15 (Kehidupan di Darat), dan 17 (Perkongsian untuk Matlamat). 

Di samping itu, dasar UMPSA juga diwujudkan untuk mengurangkan penggunaan kertas dan plastik di dalam kampus dalam usaha sebagai komitmen UMPSA terhadap amalan mampan. 

Sehubungan itu, Pusat Pembangunan Kelestarian SDG/ESG (Sustainability Development Centre (SDC) UMPSA telah ditubuhkan pada 1 Disember 2023 untuk menyokong pelbagai inisiatif kelestarian. 

Menurut Pengarah SDC, Dr. Suhaidah Hussain, terdapat enam kluster yang dititikberatkan dalam Dasar Kelestarian UMPSA. 

“Antaranya adalah sisa yang terdapat dalam Kluster 3 dan juga pendidikan dan penyelidikan yang terdapat dalam Kluster 6. 

“Kluster sisa adalah penting untuk menggalakkan kesedaran untuk pembangunan mampan dan kualiti hidup yang lebih baik untuk individu, alam sekitar dan lain-lain. 

“Ini bertujuan untuk menggalakkan penggunaan sumber yang mampan dan cekap, mengurangkan penjanaan sisa makanan, dan mengurus pelupusan sisa, termasuk bahan berbahaya sambil mengurangkan penjanaan sisa melalui pencegahan, pengurangan, penggunaan semula dan kitar semula,” ujarnya. 

Katanya, secara ringkas, kluster ini menyokong meminimumkan risiko alam sekitar.

“Menguruskan sisa di kawasan kampus merupakan cabaran yang memerlukan sumber tenaga kerja yang banyak dan memberi implikasi terhadap persekitaran, bajet, kecekapan dan faktor-faktor sosial yang lain. 

“Ia amatlah penting tetapi sering diabaikan. 

“Memandangkan kebimbangan tentang alam sekitar semakin meningkat dan keperluan semakin mendesak untuk amalan lestari, UMPSA akan memperkukuhkan pelan pengurusan sisa melalui pusat tanggungjawab di universiti,” jelas beliau. 

Tambahnya lagi, salah satu komponen utama untuk mewujudkan persekitaran yang mampan ialah kitar semula. 

“Pelaksanakan Program Trash2Cash atau ‘Sampah untuk Tunai’ di UMPSA boleh menangani isu-isu ini secara berterusan. 

“Ini telah memberi inspirasi kepada penawaran kursus Pengurusan Teknologi dan Inovasi, dan kursus Pengurusan Teknologi di bawah Fakulti Pengurusan Industri (FPI), UMPSA dengan kerjasama Jawatankuasa Kelestarian Kampus dan Jawatankuasa EKSA Universiti untuk menganjurkan Program Jom Kumpul Barang Terpakai. 

“Diilhamkan daripada inisiatif ini, program "Sampah untuk Tunai" oleh pelajar-pelajar dari kursus ini berhasrat untuk membawa perubahan kecil yang positif dalam komuniti UMPSA,” katanya. 

Menurut Penasihat Program ‘Sampah untuk Tunai’, Profesor Madya Dr. Puteri Fadzline Muhamad Tamyez, program ini bermula dengan mengadakan mesyuarat bersiri bagi setiap kumpulan untuk membincangkan matlamat program mereka. 

“Antaranya dengan menyediakan lokasi yang sesuai untuk pelupusan sampah. 

“Dengan bantuan UMP Services Sdn. Bhd., mereka dapat menghantar sisa kitar semula ke Pusat Kompos UMPSA di Kampus Gambang dengan kelulusan Jawatankuasa Kelestarian Kampus UMPSA. 

“Mereka mengasingkan sisa plastik, kertas, botol mineral dan kadbod. 

“Setiap sisa dibungkus dan dilabel dengan jelas sebelum ditimbang,” katanya. 

Jelas beliau lagi, setiap bacaan berat bahan buangan, kemudiannya akan direkodkan. 

“Pada mulanya, mereka merasakan ia sesuatu yang sukar untuk dilakukan. 

“Tetapi setelah mereka membuat pengasingan sisa ini secara berkala, mereka menjadi lebih cekap dalam proses pengasingan sisa ini. 

“Para pelajar menggunakan saluran media sosial seperti Facebook, Instagram, dan TikTok untuk membangunkan kandungan menarik berkaitan inisiatif ‘Sampah untuk Tunai" kepada pelajar UMPSA,” katanya. 

Malah, para pelajar turut berkongsi bagaimana untuk mengasingkan sisa kitar semula dan cara kutipan di asrama masing-masing.

Selain memaksimumkan kutipan sisa kitar semula, para pelajar juga menawarkan diri untuk membersihkan kawasan umum di UMPSA sambil mengasingkan sisa kitar semula selepas menganjurkan mana-mana acara. 

Dalam pada masa yang sama, pelajar-pelajar turut bersaing antara satu sama lain untuk mendapatkan berat sisa tertinggi dan mengkaji teknologi pengurusan sisa sedia ada melalui temu bual dengan syarikat tempatan. 

EKSA Gambang juga telah banyak membantu dalam menjayakan program ini. Setiap EKSA PTJ, Gambang telah mengumpulkan sisa kitar semula untuk dikutip oleh mereka bermula pada 1 hingga 11 Januari yang lalu. 

Menerusi program itu sebanyak 267.3 kg sisa Berjaya dikumpul dan menerima wang sebanyak RM140.85 oleh syarikat sisa kitar semula. 

Sisa kotak dan botol mineral dan plastik merupakan sisa yang terbanyak, diikuti dengan kertas. 

Hasil pengumpulan kemudiannya telah disumbangkan kepada Tabung Jihad Palestin. 

Ganjaran juga telah diberikan kepada kumpulan pelajar yang mempunyai sisa kitar semula yang paling berat dan juga kepada semua pelajar di atas sumbangan mereka dalam program tersebut. 

Program itu juga turut menyediakan pengalaman pembelajaran yang berharga kepada pelajar-pelajar UMPSA.

Program Trash2Cash atau ‘Sampah untuk Tunai’ ini mempunyai potensi yang tinggi kepada UMPSA untuk menyokong kelestarian alam sekitar, meminimumkan sisa dan menggalakkan rasa tanggungjawab bersama untuk menjaga alam sekitar. 

Tambahan pula, warga UMPSA boleh mendapatkan ganjaran untuk barangan kitar semula yang didepositkan sama ada berbentuk wang tunai, baucar, atau insentif lain. 

Antara inisiatif adalah dengan menyediakan pusat pengumpulan bank sisa di sekitar kampus dan lokasi yang ideal untuk kemudahan pelajar dan staf.  

Dengan merealisasikan program ini, ia akan memenuhi satu daripada enam kluster iaitu Sisa dalam Pelan Pembangunan Kampus UMPSA daripada Pelan Tindakan Kampus Lestari UMPSA 2022-2025.

Pelajar program Sarjana Muda Kejuruteraan Perniagaan FPI yang mendaftar dalam kursus Pengurusan Teknologi dan Inovasi berpendapat penggunaan teknologi dalam kaedah pengurusan sisa moden juga boleh menjadikannya pengasingan sisa kitar semula lebih efisien. 

“Contohnya adalah dengan membangunkan aplikasi mudah alih kitar semula sendiri untuk pelajar dan staf UMPSA. 

“Pelajar boleh mendapat merit daripada program kitar semula dengan menghubungkannya dengan E-Komuniti UMPSA. 

“Sistem Merit boleh menunjukkan penglibatan wara UMPSA terhadap kitar semula dan menjadikan E-Komuniti sebagai bank untuk deposit wang hasil kitar semula. 

“Selain itu, jumlah merit ini bermanfaat terutamanya kepada pelajar untuk membantu mereka mendapat tempat di asrama UMPSA. 

“Marilah kita sebagai komuniti UMPSA memulakan perjalanan ini bersama-sama dengan komitmen yang tidak berbelah bahagi demi mentransformasi kampus yang lestari,” katanya. 

Disediakan Oleh: Dr. Suhaidah Hussain, Pusat Pembangunan Kelestarian SDG/ESG dan Profesor Madya Dr. Puteri Fadzline, Fakulti Pengurusan Industri

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News