Skip to main content

UMP jalin kerjasama strategik dengan Piri Reis University, Turkiye

ISTANBUL, 27 Februari 2023 - Universiti Malaysia Pahang(UMP) terus memperkukuhkan lagi jenama globalnya dengan menerokai jalinan kerjasama strategik baharu bersama Piri Reis University (PRU) di Turkiye. 

Melalui jalinan kerjasama strategik ini, UMP dan PRU telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang bakal menerokai kerjasama dalam bidang akademik dan penyelidikan yang komprehensif serta bermakna dengan memberi fokus kepada program pertukaran staf dan pelajar. 

Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, MoU ini juga memberi ruang kerjasama berkaitan pelantikan profesor pelawat, penyelidikan berimpak tinggi, aktiviti pengajaran dan pembelajaran. 

“Kolaborasi ini turut memberi peluang meneroka jalinan kerjasama lain yang mampu memacu ke arah kecemerlangan dan kegemilangan kedua-dua buah institusi pada masa akan datang,” katanya.

UMP jalin kerjasama strategik dengan Piri Reis University, Turkiye

UMP diketuai oleh Penolong Naib Canselor, Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat (BKIM) UMP, Profesor Madya Dr. Nurul Hazlina Noordin dan Pengarah Pusat Hubungan Antarabangsa UMP, Profesor Madya Dr. Azmir Mohd Azhari.

Manakala PRU diwakili oleh Rektor, Profesor Dr. Nafiz Arica dan Timbalan Rektor, Profesor Dr. Mehmet Ziya Sōgüt.

Delegasi UMP juga turut berpeluang melawat Pusat Kawalan Maritim PRU yang merupakan ketiga terbesar di dunia.

Pusat ini menyediakan simulasi pelayaran kepada pelayar dan pelajar PRU berkaitan persekitaran marin serta pemodelan ratusan kapal sokongan. 

Universiti Piri Reis (PRU), yang diasaskan pada tahun 2008 oleh Yayasan Pendidikan Maritim Turkiye merupakan institut pendidikan tinggi bukan berasaskan keuntungan dan merupakan universiti maritim pertama di Turkiye.

Disediakan oleh: Mohd Ferdaus Musa, Pejabat Naib Canselor, Jabatan Canseleri

 

Reports by:
Admin UMP News