Skip to main content

UMP kenal pasti kompetensi kumpulan bakat bakal pemimpin universiti

PEKAN, 8 Jun 2023 - Kecemerlangan sesebuah universiti tidak hanya bergantung kepada kecemerlangan akademik, penyelidikan dan inovasi semata-mata tetapi juga kepada struktur pengurusan dan tadbir urus yang mantap.

Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, Program Penilaian Profil Kepimpinan Siri 1 yang dilaksanakan ini bakal mengenal pasti dan menilai bakat bakal-bakal Pemimpin Akademik dan Pegawai Pentadbir yang berpotensi tinggi untuk mengisi jawatan-jawatan strategik UMP.

“UMP membangunkan profil kompetensi Kumpulan Bakat UMP pada peringkat awal supaya mereka dapat mengenal pasti kompetensi dan membina garis asas (baseline) untuk ke peringkat yang seterusnya,” katanya.
 

UMP kenal pasti kompetensi kumpulan bakat bakal pemimpin universiti

Program yang bakal dilaksanakan itu juga dapat mengenal pasti tahap kompetensi dan potensi kepimpinan kumpulan bakat UMP yang akan dijadikan asas untuk persediaan leadership by design bagi UMP.

Dalam pada itu juga dapat mengenal pasti jurang kompetensi yang wujud bagi setiap bakat bagi maksud perancangan pembelajaran dan pembangunan bakat (learning and development).

Tambah Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, kepimpinan universiti cemerlang yang berprinsipkan 3R iaitu relevant (relevan), respected (dihormati) dan referred (dirujuk) ini perlu diterapkan dalam melaksanakan proses penyampaian berteraskan sumber manusia kompeten.

Beliau hadir merasmikan Program Penilaian Profil Kepimpinan Siri 1 2023 sebagai merealisasikan agenda pengurusan dan pemerkasaan bakat kepemimpinan UMP agar usaha pembangunan bakat kepemimpinan institusi dapat dilaksanakan dengan lebih terancang serta holistik.

Program anjuran Bahagian Pembangunan Sumber Manusia dan Task Force Inisiatif Profiling Pembangunan Bakat UMP dengan kerjasama Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) itu menyasarkan penghasilan 100 profil kepimpinan kumpulan bakat UMP yang akan turut disalurkan kepada Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT).

Program akan diteruskan dengan Klinik Penilaian Profil Kepimpinan UMP Siri 1 2023 yang akan berlangsung pada 13 hingga 14 Jun 2023.

Turut sama dalam program Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli dan Pendaftar/Ketua Pegawai Operasi, Saiful Bahri Ahmad Bakarim, Pengurus Besar Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Haryani Abdullah yang merupakan Ketua Task Force Inisiatif Profiling Pembangunan Bakat UMP.

Disediakan oleh: Mimi  Rabita  Haji  Abdul  Wahit,  Bahagian  Komunikasi  Korporat, Jabatan Canseleri 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit