Skip to main content

UMP lancar buku Rukun Negara dan Pancasila Ideologi dan Amalan

KUANTAN, 22 Ogos 2022 - Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Pahang (UMP), Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman melancarkan buku Rukun Negara dan Pancasila Ideologi dan Amalan terbitan Penerbit UMP dalam Majlis Makan Malam sempena Wacana Serantau Rukun Negara-Pancasila.

Turut sama hadir Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, Pengerusi LPU Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie, Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr. Mohamad Kadim Suaidi dan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM), Datuk Kamarudin Md Ali.

Menurut Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz, buat pertama kalinya buku ini menggabungkan penulisan daripada penulis UMP, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universitas Negeri Yogyakarta (UNY) yang mengandungi 23 buah artikel yang terdiri daripada tujuh buah artikel penulis UMP, lapan daripada UKM dan lapan daripada UNY.
 

UMP lancar buku Rukun Negara dan Pancasila Ideologi dan Amalan

“Ia merupakan satu usaha untuk memperkasa Rukun Negara dan menghormati prinsip dan nilai untuk mencintai negara kita,” katanya.

Ujar beliau, majlis tersebut turut meraikan hubungan erat UMP dengan UKM, Universiti Negeri Yogyakarta (UNY) dan Universitas Gadjah Mada (UGM) dalam menjayakan program Wacana Serantau yang menampilkan tokoh-tokoh terkenal daripada kedua-dua buah negara.

“Penganjuran wacana anjuran Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS), UMP ini juga bertepatan dengan sambutan bulan kemerdekaan ketika ini.

“Program ini diharapkan dapat menyubur dan menyemarakkan semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan warga UMP dan rakyat Malaysia,” katanya.

UMP lancar buku Rukun Negara dan Pancasila Ideologi dan Amalan

Majlis turut diserikan dengan persembahan kebudayaan yang dijayakan oleh Gendang Silat dan tiupan tetuang daripada Kelab Serindit, persembahan muzik kombo Pusat Sukan dan Kebudayaan (PSK), UMP bersama artis jemputan Jamrah Mahat (PSK), Mohd Safar Shah Alauddin (SUK) dan Roslan Madun iaitu aktivis seni negara serta barisan penari Kencana Pawana, Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian UMP.

Turut sama memeriahkan majlis ialah persembahan daripada wakil MUBARAK dan wakil delegasi daripada Indonesia.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit