Skip to main content

UMPSA sedia 17 bas manfaat 600 pelajar balik kampung sambut Aidilfitri

PEKAN, 5 April 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menyediakan sebanyak 17 bas kepada kira-kira 600 pelajar hasil kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Harta (JPPH), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dengan tajaan anak negeri untuk pulang ke kampung halaman masing-masing pada 5 dan 6 April bagi menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang tiba. 

Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, ia membabitkan perjalanan ke sembilan destinasi termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Kelantan, Terengganu, Johor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. 

“Program ini merupakan acara rutin saban tahun apabila menjelangnya hari perayaan sebagai tanda keperihatinan dalam menjaga kebajikan pelajar serta meringankan beban mereka untuk pulang berhari raya bersama keluarga tercinta," katanya yang amat menghargai kerjasama ini. 

UMPSA sedia 17 bas manfaat 600 pelajar balik kampung sambut Aidilfitri

Dalam masa yang sama, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) turut menaja lima buah bas untuk membawa pulang para pelajar UMPSA secara percuma yang terdiri daripada anak-anak Johor di bawah kendalian Sekretariat Anak-anak Johor (Iskandar). 

Manakala Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor pula menaja dua buah bas buat pelajar dari Selangor di bawah Persatuan Mahasiswa Selangor Nasional (PERMAS NASIONAL) dan satu bas dikendalikan Sekretariat Himpunan Mahasiswa Kelantan (SEHIMSAK). 

Yang di-Pertua MPP UMPSA, Muhammad Haykal Halid berkata, program penghantaran pelajar balik kampung atau ‘Moh Pulang Beraya’ ini merupakan program yang amat bagus untuk dilaksanakan bagi meringkan beban pelajar UMPSA pulang ke kampung halaman masing-masing. 

“Pihak MPP juga mengambil maklum tentang tiket bas terhad dan tiket ETS sudah mulai habis awal sejak 19 Mac 2024 lalu, maka inisitif ini pastinya meringankan beban pelajar dengan kadar tiket yang murah antara RM10 hingga RM 35 mengikut destinasi.  

“Pihak kami juga berterima kasih kepada Naib Cancelor UMPSA dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed yang menyokong usaha ini. 

“Begitu juga kepada pihak Yayasan UMPSA yang memberi sumbangan kuih raya kepada pelajar dan juga kepada persatuan anak-anak negeri dalam kerjasama bagi membantu menjayakan program ini,” katanya. 

Sementara itu, bagi Muhamad Izwari Yahdi, inisiatif UMPSA ini sangat disokong dan meringankan beban pelajar mendapatkan pengangkutan bas untuk pulang dengan harga tiket yang murah iaitu RM35 berbanding RM80 harga asal tiket ke Perlis. 

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammadd Idris, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris