Skip to main content

UMPSA tawar peluang sambung pengajian menerusi APEL

PEKAN, 16 April 2024- Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) tawar peluang sambung pengajian buat golongan dewasa dan yang mempunyai pengalaman terdahulu termasuk pengalaman bekerja yang ingin memperoleh kelayakan akademik. 

Tawaran ini turut terbuka buat golongan profesional yang berminat untuk mencari peluang peningkatan kerjaya tetapi tidak mempunyai kelayakan akademik yang diperlukan ataupun graduan dan pelajar yang telah menamatkan pendidikan formal serta berhasrat untuk kembali menyambung pengajian.  

Menerusi Pusat Penilaian APEL (PPA) UMPSA yang berstatus terbuka, UMPSA merupakan IPTA yang dilantik oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk menerima dan memproses sepenuhnya penilaian APEL.A bagi kemasukan ke program tahap 6 (Ijazah Sarjana Muda) dan tahap 7 (Ijazah Sarjana untuk warganegara dan bukan warganegara Malaysia).

APEL adalah Pengakreditan Pembelajaran berasaskan Pengalaman Terdahulu dan merupakan satu proses sistematik yang melibatkan proses identifikasi, dokumentasi serta penilaian pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu.

Menurut Pengarah Pusat Penilai APEL UMPSA, Dr. Nor Alisa Mohd Damanhuri, APEL memberi peluang kepada mereka yang mempunyai pengalaman kerja tetapi kurang kelayakan atau tiada kelayakan akademik untuk menyambung pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

UMPSA tawar peluang sambung pengajian menerusi APEL

“Secara umumnya, penilaian APEL melibatkan penilaian terhadap ilmu yang diperoleh oleh seseorang itu menerusi pendidikan formal mahupun menerusi pengalamannya terdahulu.

“Selain itu, APEL.A ialah satu-satunya peluang kemasukan ke program pengajian yang diimpikan,” katanya. 

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak perlu risau walaupun mereka mempunyai kelayakan akademik yang kurang mencukupi, dengan adanya APEL.A ini, ia boleh membantu mereka yang berada di luar sana untuk sambung pengajian.

“Dalam pada itu, melalui pengalaman kerja yang ada, umur yang mencukupi dengan syarat yang telah ditetapkan dan lulus penilaian APEL.A membolehkan mereka mendaftar ke program pengajian yang diidamkan.

“Kelebihan APEL antaranya adalah dapat mengiktiraf pembelajaran dan pengalaman terdahulu pelajar dewasa sama ada yang diperoleh secara formal, informal dan tidak formal (nonformal). 

“Lebih menarik, ia dapat mengurangkan pembelajaran berulang kepada pelajar dewasa, menjimatkan kos dan masa untuk menamatkan pengajian, terutamanya bagi yang sibuk dan mempunyai kekangan masa kerana komitmen kerja dan keluarga,” ujarnya. 

UMPSA adalah salah satu PPA yang dilantik oleh MQA yang menawarkan penilaian APEL.A secara dalam talian. 

Kemasukan pendaftaran ke UMPSA juga boleh dibuat melalui APEL.A.

Daftar segera di laman web APEL MQA (https://www2.mqa.gov.my/APEL/) dan memilih UMPSA sebagai Pusat Penilaian.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Pusat Komunikasi Korporat 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit