Skip to main content

UMPSA tubuh Pusat Latihan Rel hasil kolaborasi dengan LZRVTC

KUANTAN, 11 Disember 2023 - Kolaborasi strategik Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Liuzhou Railway Vocational Technical College (LZRVTC) menyaksikan penubuhan Pusat Latihan Rel di universiti ini dalam memperkasa bidang kejuruteraan dan teknologi rel yang menyokong Agenda Pemerkasaan TVET Negara. 

LZRVTC merupakan sebuah institusi pengajian yang terletak di Guangxi, China yang berasaskan kemahiran berfokus kepada bidang teknologi dan kejuruteraan rel serta menjadi pusat rujukan bagi industri rel di selatan negara China. 

Berlangsung baru-baru ini, Majlis Penyerahan Plak dan Mock Cheque bernilai Renminbi 7.5 juta atau RM 5.6 juta bagi pendidikan berkaitan rel melibatkan perisian program, modul latihan dan lain-lain untuk manfaat pelajar. 

UMPSA tubuh Pusat Latihan Rel hasil kolaborasi dengan LZRVTC

Dalam majlis itu, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin hadir menerima sumbangan replika cek dan kerjasama strategik bagi penubuhan Pusat Latihan Rel UMPSA yang disampaikan oleh Presiden Liuzhou Railway Vocational Technical College, Qin Haibo dengan disaksikan oleh Menteri Besar Pahang, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail. 

Turut sama hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Dato’ Seri Haji Darwis Abdul Razak, Timbalan Pengarah, Jabatan Pendidikan Guangxi Zhang China, Wu Jinchang dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UMPSA, Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman. 

Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, UMPSA mempunyai kolaborasi dengan Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) dalam Program Latihan Kemahiran Industri Projek Laluan Rel Pantai Timur (PLKI-ECRL) bermula pada tahun 2017 hingga 2022 dan disambung untuk tempoh lima tahun lagi sehingga tahun 2027. 

“UMPSA turut berkolaborasi dengan Beijing Jiaotong University (BJTU) China bagi program ijazah dual membabitkan bidang Kejuruteraan Awam, Mekanikal dan Elektrikal yang menyumbang terhadap pembangunan industri rel negara sejak tahun 2020 iaitu para pelajar program berkenaan mendapat biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). 

UMPSA tubuh Pusat Latihan Rel hasil kolaborasi dengan LZRVTC

“Kolaborasi ini juga memberi peluang kedua-dua pihak untuk meneroka potensi dalam projek ECRL, antaranya penyediaan modul latihan pengoperasian dan penyelenggaraan rel serta kerjasama akademik dalam bentuk pensijilan terbuka dalam bidang ini sebagai nilai tambah terhadap keboleh pasaran graduan bergaji premium,“ katanya. 

Pihak China Communications Construction Company (M) Sdn. Bhd. (CCCC) merupakan kontraktor utama kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan projek bagi projek East Coast Rail Link (ECRL) dan LZRVTC, Guangxi, China pula menjalankan latihan TVET untuk tenaga kerja ECRL yang merupakan projek milik pihak MRL. 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Haji Abdul Wahit, Pusat Komunikasi Korporat 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit