Skip to main content
Ziarah Kasih UMP bertemu pelajar cemerlang SPM 11A

Ziarah Kasih UMP bertemu pelajar cemerlang SPM 11A

BACHOK, 14 Jun 2023 - Delegasi Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkunjung menziarahi pelajar cemerlang iaitu Muhammad Syahril Saidi yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Iman, Beris Lalang, Bachok, Kelantan.
 
Kisah beliau tular setelah pengorbanannya menjaga ibunya yang sakit tetapi tidak menghalang pelajar ini mencapai keputusan SPM yang cemerlang iaitu memperolehi 11A dalam SPM yang diumumkan pada 8 Jun 2023. 
 
Beliau yang merupakan anak bongsu daripada lima adik-beradik yang lain telah mengorbankan masa menjaga ibu mereka yang sakit sejak kematian bapa 11 tahun yang lalu. 

Namun demikian, Muhammad Syahril sekali lagi diuji apabila ibu tersayang, Tuan Faridah Tuan Ismail yang mengalami penyakit saraf sejak empat tahun lalu kembali ke rahmatullah  baru-baru ini. 
 
Hadir bertemu dan beramah mesra dengan pelajar dan keluarganya adalah Pengarah Pusat Pemasaran dan Kemasukan Akademik, Zainal Bahari dan Pengurus Kanan Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA), Hazmin Aris yang hadir mewakili Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) dalam menyampaikan sumbangan bantuan barangan keperluan daripada Yayasan UMP.  
 
Menurut Zainal, kunjungan ini sebagai tanda keprihatinan UMP dan menyampaikan khidmat konsultansi pendidikan tinggi bagi pelajar yang berjaya memperolehi keputusan SPM 2022 yang cemerlang di kediaman pelajar berkenaan di Kampung Kandis, Bachok, Kelantan.  
 
“Pertemuan ini juga dapat menyampaikan kata-kata semangat dan motivasi kepada pelajar ini untuk terus cemerlang dalam pendidikan tinggi bagi merubah kehidupan keluarga yang lebih baik selain menyampaikan penerangan hala tuju akademik dalam membuat keputusan untuk memilih jurusan yang sesuai dengan kelayakan bidang yang dipelajari,” katanya.
 
Sementara itu bagi Hazmin, kejayaan cemerlang Muhammad Syahril ini adalah luar biasa kerana beliau bukan sahaja begitu tabah menjaga ibunya yang terlantar akibat sakit tetapi juga ketabahannya mengharungi peperiksaan tersebut dengan lancar hingga berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang.
 
Ujarnya, kejayaan Muhammad Syahril ini boleh menjadi inspirasi kepada kita semua bahawa tanggungjawab menjaga ibu bapa adalah amat penting di sepanjang hayat mereka walaupun sibuk dengan pelbagai urusan lain.
 
Selain itu, pihaknya juga berpeluang bertemu dengan pengetua sekolah, Noor Ruziana Ismail dalam mengadakan kolaborasi strategik bagi membolehkan program akademik dapat dijalankan untuk manfaat pelajar sekolah berkenaan.
    
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohamad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 
 

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris