Skip to main content
UMP E-Newsletter

Akademik dan Antarabangsa

Canselor UMP saran perkukuh budaya kebahagiaan dan integriti dalam sistem pendidikan

Canselor UMP saran perkukuh budaya kebahagiaan dan integriti dalam sistem pendidikan

“Penyesuaian strategik universiti hendaklah mengutamakan aspek ketelusan urus tadbir berpaksikan integriti, akauntabiliti dan etika yang sama sekali tidak boleh dikompromi oleh kepimpinan universiti. 

“Malahan, aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mewujudkan sistem pendidikan yang bersendikan budaya kegembiraan, kebahagiaan, kasih sayang, kemanusiaan dan hormat-menghormati adalah amat tepat pada masanya.

“Budaya murni tersebut tidak hanya relevan dalam memperkaya pengalaman kampus mahasiswa kita, tetapi juga patut diterapkan dalam projek-projek kemasyarakatan UMP sama ada di dalam atau di luar negara,” titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang merupakan Canselor UMP dalam Majlis Konvokesyen UMP Ke-13 yang berlangsung di UMP Kampus Gambang pada 10 November 2018 yang lalu. 

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad dan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim.

Canselor UMP saran perkukuh budaya kebahagiaan dan integriti dalam sistem pendidikan

Titah Baginda, dalam pada itu, jaringan strategik dan profesional juga tidak hanya penting dalam konteks penjenamaan universiti, tetapi juga dalam aspek pemajuan mahasiswa, pengembangan penyelidikan serta pengimarahan ekosistem wakaf dan endowmen di universiti. 

Justeru, baginda berharap supaya kepimpinan UMP memberikan perhatian khusus kepada inisiatif Industry Network Alumni Platform (INAP) sebagai medium interaksi strategik para alumni secara intra-cluster dan inter-cluster demi manfaat kerjaya dan pembangunan alma mater universiti. 

“Ia juga merupakan satu cabaran kepada graduan untuk mula memikirkan sumbangan balas kepada UMP yang menjadi semaian subur kejayaan mereka kini,” titah baginda.

Dalam pada itu, Tengku Abdullah mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan (Elektronik) kepada mantan Pengarah Urusan, Motorola Solutions Sdn. Bhd., Dr. Hari Narayanan P Ondiveeran sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap ketokohan, kewibawaan dan kepimpinan beliau yang kini menyandang Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia (USM).

Majlis juga menyaksikan seramai 28 orang penerima anugerah dan hadiah kecemerlangan universiti atas pencapaian akademik, sumbangan khidmat komuniti serta kecemerlangan dalam pelbagai bidang.  Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) dianugerahkan kepada Joanne Bong Shan Shan dari Fakulti Pengurusan Industri (FPI) dan Umi Zaidatul Azeera Mohd Nawi dari Fakulti Sistem Komputer dan Kejuruteraan Perisian (FSKKP).

Manakala Tan Jia Shun dari FPI dinobatkan Anugerah Canselor dan Lee Wei Keat dari FSKKP menerima Anugerah Naib Canselor. 

Lain-Lain anugerah adalah Anugerah Profesional Pembelajaran Sepanjang Hayat-Program Profesional/Eksekutif yang dianugerahkan kepada YM Tengku Dato’ Sri Kamarulzaman Al Haj Ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar dan Kumaran A/L Alagamuthu Nadar dari UMP Advanced Education.

Manakala anugerah lain termasuklah Anugerah Emas, Anugerah Profesor Dato’ Dr. Mashitah Mohd Yusoff, Anugerah Srikandi Matahari, Anugerah Prihatin Komuniti Puspanita,  Anugerah Kecemerlangan Hei Tech,  Anugerah Kecemerlangan Ir. Kee Book Hee, Anugerah Kecemerlangan Sapura Industrial Berhad, Anugerah Kecemerlangan Telekom Malaysia Berhad, Anugerah Kecemerlangan Perodua, Anugerah Kecemerlangan Dimension Bid dan Anugerah Kecemerlangan Soho Niaga. Manakala hadiah kecemerlangan industri adalah Hadiah Kecemerlangan Yayasan Pahang, Hadiah Kecemerlangan Program Dwiijazah sumbangan Association of German Engineers, Hadiah Kecemerlangan BASF Petronas Chemicals Sdn. Bhd.  dan Hadiah Kecemerlangan Setegap Ventures Petroleum Sdn. Bhd.

Seramai 652 graduan diijazahkan dalam Sesi Pertama Majlis Konvokesyen yang turut dihadiri pelajar sekolah sekitar Kuala Pahang, Pekan yang menerima manfaat daripada Bridge of Love Project @ KP House kelolaan UMP di perkampungan nelayan di Kuala Pahang. 

UMP meraikan seramai 2,773 graduan yang akan menerima ijazah dan diploma masing-masing dalam empat sidang yang berlangsung selama dua hari. 

Seramai 2,773 dirai dalam majlis yang berlangsung dengan empat sidang. Daripada jumlah ini seramai 63 orang merupakan graduan Ijazah Sarjana Kedoktoran (PhD), 172 orang graduan Sarjana, 221 graduan Sarjana Eksekutif, 52 orang Bacelor Eksekutif, 1713 orang graduan Sarjana Muda, 40 graduan Dwiijazah,  270 orang graduan Diploma dan 242 orang graduan Diploma Eksekutif membabitkan sembilan fakulti dan dua pusat pengajian.


Akademik dan Antarabangsa

UMP Valid8 bagi 2,773 graduan dilengkapi Teknologi Blockchain

UMP Valid8 bagi 2,773 graduan dilengkapi Teknologi Blockchain

Universiti Malaysia Pahang (UMP) menjadi Universiti Awam (UA) pertama di Malaysia yang menggunakan Teknologi Blockchain bagi Pengesahan Perakuan Sijil UMP Valid8 yang bakal memanfaatkan 2,773 graduan yang bergraduasi dalam Majlis Konvokesyen Kali Ke-13 yang berlangsung pada 10 dan 11 November 2018 yang lalu di Kompleks Sukan UMP Kampus Gambang.
 
Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim, UMP Valid8 merupakan satu aplikasi pengesahan ketulenan ijazah berasaskan Kod QR yang akan digunakan untuk mengesahkan sijil ijazah graduan. 

“Setiap sijil dilengkapi satu Kod QR yang unik bagi memastikan kesahihan sijil graduan berkenaan. Dengan imbasan dari Kod QR ini, ianya akan memaparkan gambar graduan, nama penuh, program pengajian dan tahun anugerah. 

UMP Valid8 bagi 2,773 graduan dilengkapi Teknologi Blockchain

“Kod QR itu sendiri akan menjadi satu rantaian rekod data blockchain yang sulit yang mana ianya   menyimpan semua maklumat graduan mengunakan Teknologi Blockchain.
 
“Sistem yang dibangunkan ini mempunyai fungsi yang merekodkan maklumat pendidikan graduan UMP. Aplikasi mudah alih yang dihasilkan dapat mengesahkan kesahihan sesebuah ijazah menggunakan Kod QR pada ijazah tersebut. Semua data graduan disimpan dalam bentuk Blockchain yang tidak dapat digodam atau dipalsukan,” katanya.
 
Selain itu juga, majlis konvokesyen  kali  ini  juga  buat  pertama  kalinya UMP  juga memperkenalkan e-Book Konvokesyen sebagai amalan hijau dan seiring dengan penggunaan teknologi, para ibu bapa, graduan, pelajar dan orang ramai boleh mendapatkan maklumat pantas berkaitan majlis konvokesyen dalam e-Book menggunakan aplikasi UMP Konvo dengan capaian Android (versi 4.0 ke atas) dan iOS (versi 8.0 ke atas).

UMP Valid8 bagi 2,773 graduan dilengkapi Teknologi Blockchain  
Malahan Projek Perintis ini dijalankan pihak Pusat Kecemerlangan IBM yang mempunyai kepakaran IT bersama kumpulan Alumni UMP dengan kerjasama pihak Fakulti Pengurusan Industri (FIM) yang mempunyai kepakaran dalam Supply Chain. 

Malahan, berkongsi kepakaran universiti ini turut juga meneroka potensi Teknologi Blockchains bagi membangunkan sistem pengurusan rantaian bekalan halal yang berdaya saing selain mensasarkan untuk merekabentuk sistem teknikal berkaitan industri halal untuk dikomersialkan. 

Penggunaan aplikasi ini akan digunakan lebih luas dalam ekosistem Institusi Pendidikan Tinggi Negara dan juga rakan-rakan universiti dan industri di Malaysia serta di peringkat antarabangsa pada masa akan datang. 

Dengan kepakaran ini, UMP juga turut menawarkan khidmat Blockchain Certificate Authentication kepada mana-mana institusi atau agensi yang ingin berkolaborasi.
 


Akademik dan Antarabangsa

Adinda Sultan Pahang terima Anugerah Profesional Pembelajaran Sepanjang Hayat UMP

Adinda Sultan Pahang terima Anugerah Profesional Pembelajaran Sepanjang Hayat UMP

Oleh: SHALFARINA SHAHRIMAN

Walaupun sibuk dengan kerjaya dalam bidang peniagaan dan menjawat sebagai Pegawai Pemerintah Batalion Pertama Rejimen 505 Askar Wataniah, bukan halangan buat Leftenan Kolonel Tengku Dato’ Sri Kamarulzaman Al-Haj Ibni AlMarhum Sultan Sir Abu Bakar meneruskan hasrat menyambung pengajian Master Eksekutif Pengurusan Projek di Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Beliau yang merupakan adinda Sultan Pahang juga dinobatkan sebagai penerima Anugerah Profesional Pembelajaran Sepanjang Hayat yang dikurniakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang merupakan Canselor UMP dalam Majlis Konvokesyen UMP Ke-13 yang berlangsung di UMP Kampus Gambang pada 10 dan 11 November 2018 yang lalu. 

Tengku Dato’ Sri Kamarulzaman juga berhasrat untuk meneruskan pengajian kedoktoran pada masa akan datang dan menasihatkan anak muda agar belajarlah untuk menimba ilmu untuk meningkatkan kemahiran dan memajukan diri sendiri serta kerjaya.

Adinda Sultan Pahang terima Anugerah Profesional Pembelajaran Sepanjang Hayat UMP
 
Turut menerima anugerah yang sama ialah ialah Kumaran A/L Alagamuthu Nadar yang merupakan graduan Master Eksekutif Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran yang kini kerkhidmat sebagai Pengurus di Daya CMT Sdn. Bhd. 

Bagi Kumaran, beliau amat mengutamakan disiplin dan pengurusan masa yang efektif untuk mencapai kecemerlangan. 

“Saya percaya jika kita mempunyai disiplin yang baik, ia akan membentuk jati diri yang cemerlang dan kita akan mencapai kejayaan yang diidamkan.
 
“Pengalaman menimba ilmu di UMP akan menjadi kenangan yang paling manis dalam hidup kerana di sini kami belajar secara berkumpulan dan mengadakan perbincangan serta tenaga pengajar juga terdiri dalam kalangan profesional yang hebat. 

“Harapan saya pada suatu hari nanti untuk bergelar seorang Profesor dan melatih lebih ramai graduan dalam bidang ini,” katanya. 

Beliau tidak menyangka dipilih sebagai penerima Anugerah Profesional Pembelajaran Sepanjang Hayat-Program Profesional/Eksekutif yang dianugerahkan buat graduan UMP Advanced Education. 

Baginya, mereka yang bekerja perlu mengambil peluang untuk menambah baik diri dan meningkatkan kemahiran yang diperlukan. 

“Malahan golongan dewasa yang bekerja, suri rumah dan warga emas yang mahu memberi sumbangan kepada negara, perlu menambah baik diri dan mempelbagaikan kemahiran,” ujar beliau. 


Akademik dan Antarabangsa

Joanne 7 kali Anugerah Dekan terima  Anugerah Pelajaran Diraja

Joanne 7 kali Anugerah Dekan terima  Anugerah Pelajaran Diraja

Joanne Bong Shan Shan, 24 yang menamatkan pengajian Sarjana Muda Pengurusan Projek dengan Kepujian dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) dinobatkan penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) pada Majlis Konvokesyen Ke-13 UMP membuktikan aktif dalam persatuan bukan halangan baginya cemerlang akademik dengan meraih PNGK 3.90 dan pernah menerima Anugerah Dekan sebanyak tujuh kali sepanjang pengajian.

Anak kelahiran Kuching, Sarawak ini  bergiat aktif dan diamanahkan untuk memegang jawatan penting dalam pelbagai persatuan, program dan kelab. 

Joanne yang juga merupakan bekas bendahari Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMP bagi dua sesi iaitu 2015/2016 dan 2016/2017 merasakan peluangnya semakin terbuka luas kerana dapat menyertai dan menguruskan pelbagai jenis program. 

Beliau juga pernah merangkul Anugerah Srikandi 2015, Anugerah Tunas Harapan 2017, dan tiga program terbaik dalam Anugerah Tokoh Siswa 2016 (Kategori Pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar). 

Selain itu, beliau juga adalah Exco Pembangunan Mahasiswa PEKA3 2014/2015, Penasihat MPP Chinese New Year Cultural Night 2016, Bendahari Expoconvo 2016, Bendahari Minggu Induksi Siswa (MINDS) 2017, Timbalan Pengarah UMP Career Fair 2016 dan 2017, Pengarah Utilization & Management Perspective of Bauxite Residue, peserta maraton yang aktif dan finalis Anugerah Kokurikulum & Sanjungan Pelajar 2017.

Joanne 7 kali Anugerah Dekan terima  Anugerah Pelajaran Diraja

Anak bongsu kepada pasangan Bong Shoot Fatt, 64, seorang pesara dan Yen Ye Guak, 60, suri rumah ini pernah menolak beberapa tawaran kerja daripada beberapa syarikat besar seperti KPMG International Cooperative kerana ingin pulang ke Kuching untuk menetap bersama keluarga.

“Melalui pengalaman ini, saya berpeluang bertemu dengan ramai orang yang berpengaruh, bermotivasi dan berpengalaman. Memang seronok dengan pengalaman kampus dan  belajar di UMP kerana apabila pelajar mempunyai masalah, pensyarah UMP juga sedia membantu dan mendengar masalah. Mereka bukan sahaja pensyarah, tetapi juga kawan kepada para pelajar,” katanya.

Sumber motivasi beliau adalah daripada sebuah buku bertajuk ‘The Secret’ oleh Rhonda Byrne. Buku itu menyatakan apa yang difikirkan seseorang dapat mengubah dunia secara langsung. Apa yang kita mahukan ia berlaku, pasti akan berlaku. 

Pada tahun akhir pengajian, beliau telah membentangkan Projek Sarjana Muda bertajuk ‘Quality Management Toward Enhancing Performance of Herbal Company: The Role of Organisational Citizenship Behaviour as Mediator’.

Beliau kini bertugas sebagai Penganalisis Digital di Orion Social Media Sdn. Bhd, Kuala Lumpur yang menganalisis pasaran digital dalam pelbagai platform digital seperti Facebook, Instagram dan Google. 

Antara yang dilakukan beliau adalah menyediakan cadangan tender, mencari pelanggan berpotensi, menguruskan identiti pelanggan dalam platform digital, pengurusan krisis, menganalisis dan melaporkan data.

Beliau berpendapat, apa yang dipelajari sewaktu di UMP sangat membantunya iaitu daripada menguruskan pihak berkepentingan sehingga perubahan pengurusan. 

“Sebagai seorang graduan pengurusan projek, sewaktu mula bekerja, beliau langsung tidak tahu tentang pemasaran dan pengiklanan digital. 

“Namun begitu, saya sanggup belajar sehingga berjaya. Ini kerana kehidupan adalah lengkung pelajaran yang berterusan dan saya perlu akui walaupun ada yang dilakukannya tidak betul, tetapi daripada situlah saya belajar,” katanya.

Harapannya bukanlah wang ringgit, rumah, kereta dan kehidupan yang mewah. Beliau hanya mahukan kegembiraan dan berharap kehidupan atau perbuatannya akan memberi kesan dan inspirasi kepada orang lain.


Akademik dan Antarabangsa

Anak peneroka Felda dinobatkan penerima Anugerah Pelajaran Diraja

Anak peneroka Felda dinobatkan penerima Anugerah Pelajaran Diraja

Kesungguhan kedua-dua ibu bapa Umi Zaidatul Azeera Mohd Nawi, 23 menyediakan pendidikan yang sempurna walaupun mereka sendiri tidak mempunyai pendidikan yang tinggi merupakan satu titik keinsafan buat penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-13 pada 10 November 2018 yang lalu untuk tidak bersikap sambil lewa dalam pengajian beliau

Jerit perih kedua-dua ibu bapanya, Mohd Nawi Abdul Latif, 55 dan  Sabariah Anang, 55, peneroka Felda, membanting tulang empat kerat membesarkan beliau dan adik-beradiknya terus membakar semangat beliau untuk mencorak kehidupan lebih baik berbekalkan satu impian, iaitu mengangkat martabat anak-anak Felda untuk berjaya dalam pelbagai lapangan. 

Selain ibu bapanya, dorongan dan ilmu daripada pensyarah dan rakan-rakan seperjuangan juga merupakan  pemangkin terbesar untuknya. 

Anak kelahiran Dungun, Terengganu dan dibesarkan di Felda Kerteh 4, Ketengah Jaya, Terengganu merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Sistem Komputer & Rangkaian) dengan Kepujian daripada Fakulti Sistem Komputer & Kejuruteraan Perisian (FSKKP) dengan PNGK 3.75. 

Anak peneroka Felda dinobatkan penerima Anugerah Pelajaran Diraja

Selain berjaya memperoleh Anugerah Dekan bagi setiap semester sepanjang pengajian di UMP, anak ketiga daripada empat orang beradik ini juga memperoleh Anugerah Tokoh Fakulti (FSKKP) pada tahun 2017. 

Penglibatan aktif beliau dalam pelbagai program dan persatuan turut membantu mengasah bakat kepimpinannya dan membantu dalam membentuk keperibadian diri agar lebih yakin, berani serta berkepimpinan untuk menjadi mahasiswa lebih berdaya saing. Ini terbukti apabila beliau menjawat pelbagai jawatan penting antaranya, Setiausaha Kelab Alam Sekitar & Lestari (EcoSiswa) – sesi 2016/2017, Timbalan Pengarah Program Earth Week 2017, Setiausaha, Forum ICT Ke Arah Hijau, Setiausaha Program Away From Keyboard 2016, Exco Hiking in Style@Broga Hills 2017, Exco Program Semaian Budi (Pendang, Kedah), dan Exco Kelas Bimbingan ICT Kanak-kanak istimewa 2015. 

Selain itu, beliau juga menjadi sukarelawan dalam Candy Pencil Project in Sarawak dan peserta bagi Taman Negara Exploration & Environmental Forum with Sultan Ahmad Shah Environmental Trust (SASET).

Menurut Umi, silibus pembelajaran UMP yang tidak hanya mengutamakan teori semata-mata, tetapi turut menekankan hands-on telah berjaya mencorak graduan yang lengkap dengan ilmu kemahiran teknikal sejajar dengan kefahaman teori. 

“Kemahiran kebolehkerjaan ini telah membantu para graduan untuk bersaing menempatkan diri dalam sektor-sektor pekerjaan,” katanya yang turut berbangga dengan pencapaian UMP yang berada di tangga ke-188 terbaik Asia.

Beliau yang kini menjawat jawatan sebagai Juruanalisis IT Event Monitoring (Network) di Intel Corporation (M) Sdn. Bhd. berterima kasih kepada UMP dengan segala peluang dan tanggungjawab yang pernah diberikan sepanjang pengajian sehingga beliau berjaya menempatkan diri di salah sebuah syarikat ternama di Malaysia. 

Beliau merasakan skop kerjanya sekarang adalah sesuai dan bertepatan dengan silibus yang telah dipelajarinya. 

Harapannya, agar dapat menjadi seorang insan yang berguna, mampu berkhidmat untuk masyarakat sekaligus menjadi tauladan khusnya kepada generasi muda.  


Akademik dan Antarabangsa

Rahmad Mega restu minat anak dalam bidang Kejuruteraan

Rahmad Mega restu minat anak dalam bidang Kejuruteraan

Suhazri Amrin Rahmad, 23 yang merupakan anak kepada penyanyi rock yang terkenal di Malaysia era 90-an , Rahmad Tohak yang dikenali sebagai Rahmad Mega telah menerima Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan  Elektrik (Elektronik)  pada Majlis Konvokesyen Ke-13 di UMP Kampus Gambang pada 10 dan 11 November 2018 yang lalu. 

Suhazri Amrin yang merupakan anak sulung kepada penyanyi itu berkata kejayaan pada hari ini ingin dihadiahkan kepada ibubapanya yang telah banyak memberi dorongan selama ini.

Suhazri turut berkongsi rahsia kejayaannya agar tidak malu untuk bertanya dan sentiasa berusaha keras untuk berjaya.

Beliau yang kini sedang menyambung pengajiannya di peringkat Sarjana Sains di UMP itu berkata menjadikan bidang nyanyian hanya sekadar hobi sahaja.  

Beliau bercita-cita ingin menjadi seorang jurutera atau seorang pensyarah suatu hari nanti.

Manakala menurut Rahmad, beliau amat bersyukur dengan pencapaian anaknya dalam bidang akademik dan tidak menghalang minat anaknya untuk terus melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan.

“Saya sentiasa menyokong minat anak-anak yang lebih cenderung dalam bidang akademik dan saya sentiasa mendoakan agar impian mereka tercapai," katanya.

Rahmad turut membuat kejutan dengan mendendangkan lagu 'Bayangan Gurauan' di atas pentas. 

Anaknya yang terharu dengan persembahan ayahnya  telah naik ke pentas dan memeluk ayahnya.

“Saya tak sangka ayah menyanyi dalam majlis konvokesyen hari ini,” kata Suhazri.  

Hadirin yang melihat detik itu tersentuh dan memberikan tepukan kepada mereka.


Akademik dan Antarabangsa

Bapa empat anak, sembilan cucu terima Sarjana Eksekutif dari UMP

Bapa empat anak, sembilan cucu terima Sarjana Eksekutif dari UMP

Oleh: SHALFARINA BINTI SHAHRIMAN, PENERBIT UMP

Mohamed Hamdan A. Aziz, 61 yang merupakan bapa kepada empat anak dan sembilan cucu berkata, beliau bercita-cita untuk memperoleh Sarjana, namun tidak dapat melanjutkan pelajaran semasa muda disebabkan keluarganya hanya bergantung kepada pendapatan ayahnya sebagai penoreh getah.

Mohamed Hamdan yang merupakan seorang pegawai kesihatan dan keselamatan pekerjaan sebuah syarikat pembinaan menyifatkan kejayaannya memperoleh Sarjana Eksekutif Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-13 pada 10 dan 11 November 2018 yang lalu sebagai 'membayar hutang kepada diri sendiri'.

Menurutnya, beliau tak mampu untuk belajar masa muda sebab susah tapi niat untuk memiliki Sarjana ada bila sudah bekerja dan ada pendapatan sendiri, saya cabar diri untuk capai impian itu.

"Sebelum menyambung pelajaran, saya ada menyuruh salah seorang anak untuk dapat Sarjana, tapi dia tak mahu kerana katanya sudah penat belajar. 

“Jadi saya fikir, jika anak tak mahu, apa salahnya ayah yang sambung belajar," katanya.

Mohamed Hamdan yang berasal dari Johor Bahru, Johor juga berkata ijazah itu juga hadiah kepada isteri Rohani Mohamad, 61, yang tidak putus-putus memberi semangat kepadanya supaya tidak berputus asa dan faham bahawa setiap hujung minggu selama dua tahun adalah ‘hari kelas’.

"Ternyata bukan mudah sebenarnya kerana saya perlu mengikut rentak orang muda yang lebih cepat, saya tidak boleh lemah semangat sebaliknya perlu setanding dengan mereka supaya dapat menimba ilmu," katanya.


Akademik dan Antarabangsa

Pasangan kembar seiras terima ijazah UMP serentak

Pasangan kembar seiras terima ijazah UMP serentak

Pasangan kembar seiras antara penerima ijazah Sarjana Sains Kejuruteraan Mekanikal pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-13 pada 10 hingga 11 November 2018 yang lalu di UMP Kampus Gambang. 

Farah Alia Fauzi, 27 dan Farah Ayuni Fauzi, 27, merupakan pelajar kembar seiras yang tidak pernah berpisah sejak dilahirkan. 

Kedua-dua mereka bercita-cita ingin menjadi  tenaga pengajar sejak di bangku sekolah mengikuti jejak langkah ayah mereka, Fauzi Ismail, 53 yang berkhidmat sebagai guru.  

Menjadi rezeki buat mereka apabila berjaya menamatkan pengajian dalam masa yang ditetapkan dan lebih menarik tempat mereka bekerja juga tidak jauh. 

Farah Ayuni kini bertugas di sebuah syarikat swasta sebagai Pegawai Projek di Seri Kembangan, Selangor manakala adiknya Farah Alia bekerja sebagai Pembantu Penyelidik secara sambilan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang. 

“Memang kami tidak pernah berenggang, sampailah dapat tempat kerja di negeri yang sama,” kata Farah Ayuni dan kembarnya yang berasal dari Pulau Chondong, Kelantan ketika ditemui selepas menerima ijazah masing-masing pada konvokesyen itu.

Menurut Farah Ayuni lagi, beliau dan adiknya masing-masing bekerja keras untuk cemerlang dalam pelajaran dan gembira akhirnya berjaya membuktikan kemampuan mereka kepada ibunya, Rohani Hamat, 50 dan bapa yang berkorban selama ini. 

“Menjadi tanggungjawab anak sulung dalam keluarga dalam membantu meringankan beban keluarga serta menjadi contoh teladan yang baik kepada adik-beradik yang lain.

“Kejayaan hari ini juga adalah berkat doa daripada ibu bapa mereka. 

“Kami sering bertukar-tukar pandangan dan selalu mengulangkaji pelajaran bersama apatah lagi ditempatkan di kelas yang sama, ianya memudahkan kami,” katanya.

Tambah beliau lagi, tanpa pelajaran dan ilmu pengetahuan, kita tidak mampu untuk bersaing. Tambah beliau, mereka berdua bercadang bekerja terlebih dahulu dan akan menyambung pelajaran ke peringkat kedoktoran (PhD) suatu hari nanti.


Akademik dan Antarabangsa

2 sahabat terima Hadiah Kecemerlangan Program Dwiijazah (Verein Deutscher Ingenieure Award)

 

2 sahabat terima Hadiah Kecemerlangan Program Dwiijazah (Verein Deutscher Ingenieure Award)

Oleh: NORHIDAYAH MOHAMAD

Menjadi kenangan manis kepada dua sahabat ini apabila mendapat Hadiah Kecemerlangan Program Dwi Ijazah (Verein Deutscher Ingenieure Award) pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-13 pada 10 dan 11 November 2018 yang lalu.

Penerima anugerah tersebut adalah Nor Amirah Mohamad Radzuan, 24 dan Nur Syakiroh Saidin, 24 penuntut Sarjana Muda (Kepujian) Mekatronik – Program Kerjasama dengan Karlsruhe University of Applied Sciences, Jerman dari Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP).

Dua sahabat yang berasal dari Kuala Lumpur itu berkongsi pengalaman semasa mengikuti kursus bahasa Jerman di Jerman selama lapan minggu. 

Ujar Syakiroh, mereka perlu bertutur sepenuhnya dalam bahasa Jerman agar lebih cepat untuk memahami bahasa ini yang akan banyak membantu menguasai subjek pengajiannya. 

“Dalam masa yang sama, kami dapat praktikan perbualan harian dengan penduduk-penduduk di sana. 

Kursus ini adalah wajib bagi memahirkan kami pelajar-pelajar untuk menduduki peperiksaan dalam bahasa Jerman,” katanya. 

Nur Syakiroh Saidin anak kedua daripada tiga beradik ini amat tegas dalam melakukan sesuatu perkara kerana mewarisi sikap ayahnya yang berkhidmat sebagai anggota polis. 

Banyak pengalaman yang ditimba di UMP telah membina jati dirinya sekarang. Beliau merupakan penerima Anugerah Dekan bagi 6 semester daripada 9 semester. Malah beliau juga bergiat aktif dalam menjalani aktiviti yang dijalankan semasa berada di UMP. 

Manakala Nur Amirah Mohamad Radzuan pula anak bongsu dari tiga beradik ini berpegang prinsip sentiasa mendahulukan ibu dan bapa kerana kunci redha Allah SWT ada pada mereka.  

Baginya, pengalaman pahit yang ditempuh semasa pengajian di UMP mengajarnya untuk lebih menghargai sebuah pengalaman jati diri yang lebih untuk berhadapan dengan alam pekerjaan selepas bergraduasi. 

'Have a goal in life and struggle to achieve the goal' menjadi pegangan dalam hidupnya. 

Baginya, setiap kenangan di UMP yang persekitaranya yang segar dan nyaman tidak akan saya peroleh di tempat lain. 


Aktiviti Pelajar

Konsert Jimba Fest Tour tutup tirai Expoconvo UMP

Konsert Jimba Fest Tour tutup tirai Expokonvo UMP

Pesta Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) iaitu Expoconvo yang memasuki edisi ke-13 mendapat sambutan mengalakkan pengunjung dan masyarakat setempat. 

Lebih 1,000 orang hadir menyaksikan Konsert Jimba Fest Tour yang menampilkan artis seperti Datin Alyah, Awi Rafael dan ramai lagi hasil kerjasama pihak Digi dan Warner Music sebagai menutup tirai Expokonvo yang mendapat tajaan penganjuran oleh pihak UMP Advanced Education dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). 

Kesempatan yang terbuka sepanjang Expoconvo dan Majlis Konvokesyen UMP Ke-13 membolehkan para pengunjung dalam kalangan keluarga graduan dan orang ramai berkunjung dan mengambil bahagian dalam program yang dianjurkan. 

Bertemakan ‘Recalling Memories’, Expoconvo kali ini menyajikan pelbagai aktiviti menarik di samping turut mengajak alumni kembali ke kampus untuk turut bersama-sama memeriahkan Majlis Konvokesyen pada kali ini.

Pengarah Program Pesta Konvokesyen Ke-13, Siti Aisyah Dermawanshah berkata penganjuran kali ini turut melibatkan aktiviti bagi kanak-kanak seperti Kid Zone,  Pertandingan Hiasan Kek, Jom Makan Buah, UMP Got Talent dan  Pertandingan Masakan yang mana sasaran utama daripada masyarakat setempat.

“Expoconvo telah bermula sebulan lebih awal dengan penganjuran Santai Seni Warisan, Zumbathon, Black Night Run, Explorace Race dan Ceramah Kesedaran LGBT turut mendapat sambutan yang meriah. 

“Mereka juga dapat mengenali UMP dengan lebih dekat dan merasai pengalaman kampus. Ia juga merupakan satu medium promosi yang amat berkesan dalam memasyarakatkan universiti dengan komuniti sekitar,” katanya. 

Tambah Aisyah lagi, bagi menarik minat pelajar sekolah untuk turut serta di samping memperkasakan inisiatif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), turut diadakan showcase bagi pemenang Pahang Hackacton 2018 untuk tontonan orang awam.

Dalam pada itu turut berlangsung jualan amal pakaian, tudung, aksesori wanita dan lain-lain hasil sumbangan orang ramai untuk menanamkan semangat membantu insan lain. 

Sebanyak 63 buah gerai peniaga termasuk Food Truck disediakan sebagai kemudahan untuk memeriahkan Expoconvo kali ini. 

Orang ramai juga tidak melepaskan peluang  mendapatkan maklumat mengenai rumah PRIMA di samping agensi-agensi kerajaan di bawah seliaan Urban Tranformation Centre (UTC), Kuantan di tapak Expoconvo.  

UMP E-Newsletter