Skip to main content

Majlis Berbuka Puasa UMPSA dan Babaker perkenalkan kepelbagaian budaya

PEKAN, 26 Mac 2024 – Babaker telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa bersama pelajar antarabangsa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dari Yemen, Jordan dan Syria di di Babaker Hostel, Jalan Tegak.

Majlis itu menandakan kesinambungan usaha Babaker dalam memperkukuhkan hubungan mesra antara UMPSA, staf dan pelajar antarabangsa.

Babaker merupakan rakan kerjasama strategik dengan Pusat Hubungan Antarabangsa, UMPSA dalam bidang pengurusan biasiswa pelajar antarabangsa

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd. Rusllim Mohamed, majlis tersebut bertujuan untuk merapatkan silaturahim bersama pelajar antarabangsa yang sedang menuntut di UMPSA. 

Majlis Berbuka Puasa UMPSA dan Babaker perkenalkan kepelbagaian budaya

Antara aktiviti yang dijalankan ialah sesi beramah mesra bersama pelajar dan penyampaian kuih raya tempatan oleh Pusat Hubungan Antarabangsa bagi memeriahkan lagi suasana berbuka puasa.

Dalam semangat menyambut bulan yang mulia ini, pelbagai jenis kuih raya tempatan secara pek yang diberikan antaranya kuih Tart Nenas, Chocolate Chip, Nutella Button, Triple Chocolate dan Strawberry Buttercookies. 
Hidangan yang disediakan oleh pihak Babaker juga sangat menarik iaitu nasi arab bersama kambing dan ayam yang dihidangkan di dalam talam.

Turut hadir Pengarah Pusat Hubungan Antarabangsa, Profesor Madya Dr. Mohd Azmir Mohd Azhari, staf Pusat Hubungan Antarabangsa dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni yang turut mengambil bahagian dalam menjalinkan hubungan erat dengan Babaker.

Majlis itu diharapkan dapat menjadi titik tolak ke arah perkongsian antara Babaker dan pihak universiti untuk terus memperkukuhkan hubungan yang harmoni di antara pelajar antarabangsa serta memberikan pengalaman yang bermakna lagi berharga dalam perjalanan pengajian mereka di Malaysia.

Disediakan Oleh: Muhammad Zufli Zuhari, Pusat Hubungan Antarabangsa

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri