Skip to main content

160 Sukarelawan Kilau UMP, UMPH tanam 2,000 pokok

JERANTUT, 12 Ogos 2022 - Seramai 160 pelajar sukarelawan KILAU Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan staf UMP Holdings Sdn. Bhd. menyertai program Kelestarian Alam Sekitar dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Pahang  bagi menanam kira-kira 2,000 pokok-pokok spesies Merawan Siput Jantan, Balau Pasir, Keruing Kertas, Kembang Semangkuk, Meranti Tembaga dan Meranti Sarang Punai di Hutan Simpan Tekam.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin. 

Hadir sama Ahli Lembaga Pengarah UMP merangkap Pengerusi UMP Holdings Sdn. Bhd,  Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMP Holdings, Profesor Madya Dr. Ahmad Tarmizi Haron.

Dalam ucapannya, Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar  menzahirkan ucapan tahniah kepada semua yang menjayakan program ini dan mengambil langkah bijak menyahut seruan kerajaan ke arah membudayakan nilai Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam penganiuran program penanaman pokok untuk keharmonian generasi akan datang.

“Kerajaan Negeri Pahang sentiasa menyokong dan komited dengan inisiatif Kerajaan Persekutuan dalam menitikberatkan setiap projek pembangunan di negeri ini dilaksanakan secara lestari berpandukan konsep ESG.

“Usaha ini dilakukan bagi menyokong untuk menghijaukan bumi melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang telah diumumkan pada tahun lalu. 

“Kempen ini penting untuk mengekalkan kesejahteraan hutan selain menghijaukan kembali kawasan hutan yang telah diteroka,” katanya. 

Ujar beliau lagi, namun harus diingat, tugas memelihara dan menjaga hutan serta alam sekitar bukanlah terletak pada kerajaan semata-mata, sebaliknya terletak pada semua  pihak.

Manakala Dato’ Sri Zainal pula berkata, UMPH yang pada dasarnya memfokuskan kelestarian melalui inovasi sangat komited serta mengambil berat terhadap kemampanan alam sekitar dan tidak mementingkan keuntungan semata-mata.

“Selain itu, kebanyakan produk keluaran UMPH merupakan produk mesra alam dan diperbuat daripada bahan-bahan yang boleh dikitar semula kerana kami sentiasa menitikberatkan isu pembaziran sumber alam tanpa sebab yang munasabah.

“Dalam masa yang sama, pihak UMPH sentiasa komited dalam aktiviti CSR bagi membantu golongan yang memerlukan. 

“Malahan sewaktu banjir yang melanda negara pada tahun lepas juga, para sukarelawan UMPH turut menyantuni mangsa-mangsa banjir dengan menyertai misi pembersihan pascabanjir bagi lebih 1,500 penduduk yang terjejas di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Sungai Pandan, Kuantan,” ujarnya.

Jelas beliau lagi, terbaharu pihaknya turut berjaya menyumbangkan komputer riba berspesifikasi tinggi berjumlah RM30,000 kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk diedarkan kepada pelajar-pelajar IPT yang terkesan akibat kerosakan atau kehilangan komputer riba disebabkan bencana banjir. 

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris