Skip to main content

Kolaborasi UMPSA dan Muslim Care Malaysia santuni komuniti Pulau Mabul

SEMPORNA, 1 Ogos  2023 -  Seramai  37 orang Sukarelawan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Kilau menyantuni komuniti Bajau dan Bajau Laut yang tinggal sekitar Pulau Mabul dalam Program Kembara Prihatin@Semporna anjuran Yayasan UMP bersama rakan strategik, Muslim Care Malaysia (Muslim Care). 

Bukan sekadar menyalurkan bantuan keperluan harian, malah sukarelawan UMPSA berpeluang bertemu dengan anak-anak di Madrasah Terapung yang dikenalikan sebagai Muslim Care. 

Mereka ini diajar dengan Modul Iman, Islam dan Ehsan yang melibatkan kerjasama pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau selepas mendapati pengetahuan Islam masyarakat di sini amat terhad.

Dalam program itu, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin  yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Yayasan UMP hadir bersama Setiausaha Agung  Muslim Care Malaysia, Ahmad Safuan Ujar dan Tuan Ruslan Yohman daripada Pengurusan Zakat Pengurusan Syariah Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Berhad serta Ustaz Wan Azri Wan Omar yang merupakan pensyarah IPG Kampus Tawau. 

Kolaborasi UMPSA dan Muslim Care Malaysia santuni komuniti Pulau Mabul

Turut sama hadir ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMP, Datin Nur Sharmila Shaheen, Farrah Ain Madzlan, Bendahari, Zainuddin Othman dan Ketua Eksekutif Yayasan UMP, Mohd Jamil Mohd Ja’afar. 

Turut sama  Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), Profesor Madya Dr. Rashidi Abbas. 

Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, Program Kembara Prihatin ini bukan sahaja memberi bantuan tetapi juga turut membina hubungan yang erat dengan komuniti setempat dan sukarelawan yang terlibat. 

“Kita berpeluang melihat sendiri kehidupan masyarakat di sini yang amat mencabar bukan sahaja kerana sistem pengurusan sisa serta sanitasi yang serba kekurangan, tetapi juga kemudahan pendidikan yang terhad selain bekalan air serta tenaga yang memerlukan perbelanjaan yang di luar kemampuan penduduk. 

“Tambahan pula, kebanyakan penduduk di pulau ini menyara kehidupan mereka sebagai nelayan dengan menjual hasil tangkapan mereka kepada pusat peranginan berdekatan serta para pelancong.

“Dalam menyokong usaha pihak Muslim Care dalam mendidik anak-anak di sini belajar di Madrasah Terapung, pihak universiti juga turut menyumbang solar bergerak (mobile) untuk kegunaan mereka di sini dalam membantu memudahkan urusan semasa ketiadaan elektrik serta menyempurnakan urusan sekali gus meningkatkan keselesaan pelajar dan guru di Madrasah Terapung itu,” ujarnya. 

Kolaborasi UMPSA dan Muslim Care Malaysia santuni komuniti Pulau Mabul

Ia juga merupakan sebahagian daripada Projek Khidmat Komuniti UMPSA ‘Lighting Up The Community’ yang merupakan sebahagian daripada aktiviti bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-21 dan penjenamaan UMPSA.

Malahan, pihak UMPSA turut menyumbang sebanyak lima tong air untuk masjid dan madrasah  di Pulau Mabul bagi meringankan beban mereka mendapatkan air bersih. 

Ia juga selari dengan hasrat universiti dalam mendekatkan universiti kepada komuniti dan slogan ‘Teknologi untuk Masyarakat’ agar kewujudan UMP dirasai dan manfaat kepakaran dinikmati penduduk setempat.

Program ini sebahagian daripada aktiviti yang berlangsung sepanjang kembara yang bermula sejak 23 Julai hingga 2 Ogos 2023 dalam membantu pembangunan komuniti setempat di samping menyantuni dan membawa penjenamaan baharu UMPSA. 

Program ini terdiri daripada beberapa kluster antaranya adalah kluster teknologi, pendidikan, khidmat komuniti, kesihatan dan kerohanian yang memfokuskan pada masyarakat setempat iaitu di Pulau Bum Bum dan Pulau Mabul, Semporna.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit