Skip to main content
Jangan takut dan lari dari cabaran, rahsia kejayaan Thiew Jih Herng penerima Anugerah Canselor UMP

Jangan takut dan lari dari cabaran, rahsia kejayaan Thiew Jih Herng penerima Anugerah Canselor UMP

PAYA BESAR, 6 Ogos 2022 – “Jangan takut dan jangan lari dari cabaran serta sentiasa menyambut ketibaannya kerana anda tidak mengetahui apa yang sebenarnya anda mampu capai,” kata Thiew Jih Herng, 25, yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Awam, Universiti Malaysia Pahang (UMP)

Anak kedua daripada empat orang adik-beradik ini yang kini bertugas sebagai Jurutera Awam di TWT Design Sdn. Bhd. itu tidak pernah menyangka terpilih menerima Anugerah Canselor daripada Pro-Canselor UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Noor pada Majlis Konvokesyen UMP Ke-16 hari ini.

Beliau yang merupakan anak jati kelahiran Kuala Lumpur ini turut mengikut jejak langkah ayahnya yang juga merupakan seorang Jurutera Awam. 

Anak kepada pasangan Thiew Ming Day (Jurutera Awam), 58, dan Ow Yin Chin (Surirumah Tangga) ini juga pernah memperoleh Anugerah Dekan unuk lapan semester berturut-turut dengan PNGK 3.93.

Katanya, ibu dan bapa saya merupakan penyumbang terbesar dalam hidup saya.

Jangan takut dan lari dari cabaran, rahsia kejayaan Thiew Jih Herng penerima Anugerah Canselor UMP

“Bapa saya merupakan seorang Jurutera Profesional (Professional Engineer with Practicing Certificate) dan mempunyai gelaran ‘Ir’.

“Beliau mempunyai banyak pengalaman and pengetahuan dalam bidang reka bentuk struktur dan pembinaan. 

“Malah, beliau juga banyak berkorban untuk keluarga dan sanggup mengorbankan kesihatannya,” katanya yang bercita-cita ingin menjadi seorang profesional dalam bidang kejuruteraan yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat serta tanah air yang tersayang.

Tambahnya lagi, beliau rasa seperti seakan bermimpi dan tidak menyangka akan menerima anugerah berprestij ini.

Ketika ditanya adakah skop kerja beliau pada masa sekarang sesuai dan sama dengan apa yang dipelajari sewaktu di UMP, beliau akui bahawa walaupun apa yang diajar di UMP tidak seratus peratus diamalkan waktu bekerja, tapi konsep dan pengetahuan yang diajar oleh pensyarah telah menjadi asas yang baik dalam proses pelajaran waktu bekerja.

“Sebagai seorang Jurutera Awam, saya terlibat dalam mereka bentuk komponen struktur bagi kedai pejabat dua tingkat, Sales Gallery dua tingkat, rumah banglo tiga tingkat yang berkeluasan binaan 11000 kps, Value Engineering project bangunan bertingkat tinggi yang mengandungi sembilan tingkat podium dan tujuh blok pangsapuri 29 tingkat dan terlibat dalam pemeriksaan di tapak binaan. 

“Waktu pembelajaran, pensyarah UMP banyak memberi peluang kepada pelajar untuk membuat Self-Exploration. 

“Kebaikan proses pengajaran ini ialah para mahasiswa akan mencari dan belajar ilmu pengetahuan dengan usaha sendiri dan ia akan diingat oleh mahasiswa dengan lebih mendalam.

“Manakala dalam aspek kokurikulum pula, UMP telah memberi banyak kebebasan kepada mahasiswa untuk melibatkan diri dalam mana-mana aktiviti kokurikulum yang disukai,” katanya. 

Malah, jelas beliau lagi, sistem merit juga telah menjadi galakan kepada mahasiswa untuk banyak melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum.

“Di samping itu juga, UMP turut menyediakan peralatan makmal (laboratory equipment and machineries) yang lengkap untuk memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengetahui dan mengaplikasikan pengetahuan yang diajar waktu kuliah,” katanya.

Menurut Thiew Jih Herng lagi, kejayaan terbesar dan pengalaman yang tidak boleh dilupakan sewaktu berada di UMP ialah ketika memegang jawatan Pengerusi UMP Diabolo Club sewaktu Tahun 2 di universiti. 

“Saya dan pasukan dapat mempersembahkan kemahiran kami dalam beberapa persembahan yang diadakan di dalam dan di luar UMP. 

“Saya juga amat bertuah dan menghargai peluang yang diberi oleh pensyarah Dr. Lim Kar Sing untuk menjadi salah seorang ahli pasukan bagi mewakili universiti ke pertandingan ‘Introducing and Demonstrating Earthquake Engineering Research in Schools 2019’. 

“Pertandingan antarabangsa yang telah diadakan di Taiwan itu adalah untuk mencipta dan membina model bangunan yang mampu menahan bebanan seismik,” katanya. 

Sepanjang bergelar mahasiswa UMP, beliau telah memegang beberapa jawatan penting dalam bidang kokurikulum, persatuan dan sukan antaranya UMP Bridge Competition 2019 (tempat kedua), National Tower Crane Building Competition (tempat ketiga), UMP Diabolo Club 2018-2019 (Pengerusi), wakil universiti pertandingan IDEERS 2019 di Taiwan, UMP Badminton Open 2019 dan pertandingan UTAR Structural Earthquake Stability 5.0 yang diadakan di Universiti Tunku Abdul Rahman serta UMP Engineering Week 2019.

Disediakan Oleh: Safriza Baharuddin dan Nur Hartini Mohd Hatta, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri

Reports by:
Safriza binti Baharuddin