Skip to main content

Mendidik Manusia Menjadi Manusia

Mendidik manusia menjadi manusia? Persoalan ini agak pelikkan? Adakah manusia yang dilahirkan itu bukan manusia? Tujuan penulisan ini adalah untuk menerangkan bahawa lahirnya seorang manusia itu di muka bumi, belumlah ia benar-benar menjadi manusia jika dia tidak dididik dengan ilmu-ilmu yang sepatutnya. 

Agama adalah asas utama yang akan mendidik manusia menjadi manusia. Mengetahui ajaran agama dan tidak mengamalkan ajaran agama juga belum boleh mendidik manusia menjadi manusia yang sempurna. Dalam hal ini, seseorang hamba/manusia itu perlu memahami, mendalami agama dan mengamalkan ajaran agama tersebut dalam kehidupan seharian. 

Perkara mengenai agama ini telah termaktub di dalam prinsip Rukun Negara yang pertama iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan. Ini memandangkan agama adalah perkara paling penting dalam kehidupan manusia kerana ajaran agama akan menunjuk arah mana yang perlu dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan oleh manusia. Terlalu banyak untuk merungkai tentang peranan agama tetapi memadailah anda mengetahui bahawa agama mempengaruhi keseluruhan cara hidup manusia untuk menjadi manusia yang sebenar-benarnya manusia, sentiasa melakukan kebaikan dan menjauhi larangan-Nya. 

Agama perlu jadi pegangan setiap manusia kerana agama mengajak manusia mengenal diri dan ciptaan Allah SWT yang lain.
Agama perlu jadi pegangan setiap manusia kerana agama mengajak manusia mengenal diri dan ciptaan Allah SWT yang lain.

Universiti mampu melahirkan mahasiswa yang mempunyai ilmu teknologi, teknologi maklumat dan kejuruteraan tetapi pada masa yang sama universiti juga perlu menyediakan subjek-subjek Kemanusiaan agar mahasiswa yang dilahirkan nanti boleh menjadi insan yang mempunyai nilai-nilai kemanusiaan. Justeru, tidak hairanlah pelajar-pelajar didedahkan dengan subjek Etika dan Peradaban, Falsafah dan Isu Semasa serta lain-lain subjek elektif yang bersifat Sains Kemanusiaan atau Sains Sosial. 

Subjek Penghayatan Etika dan Peradaban berperanan mendidik pelajar tentang etika dan peradaban acuan Malaysia
Subjek Penghayatan Etika dan Peradaban berperanan mendidik pelajar tentang etika dan peradaban acuan Malaysia

Melalui subjek-subjek Kemanusiaan juga, ia mampu mendidik pelajar untuk menghayati dan melaksanakan nilai-nilai kemanusiaan dalam diri mereka. Antaranya seperti menghormati nilai-nilai kaum lain yang ada dalam sebuah masyarakat majmuk di Malaysia, menghormati hak agama dan kaum lain sertsa tidak ketinggalan nilai tolak ansur yang menjadi elemen penting untuk perpaduan negara. 

Para pelajar kejuruteraan tekun menyiapkan tugasan dalam makmal.
Para pelajar kejuruteraan tekun menyiapkan tugasan dalam makmal.

Puasa adalah satu cabang untuk mendidik manusia menjadi manusia. Puasa yang diwajibkan ke atas umat Islam sememangnya berperanan penting untuk mendidik manusia dengan sifat sabar dan mendidik jiwa manusia tentang kesusahan dan kesempitan hidup insan lain. Berpuasa akan menjadikan manusia bukan sahaja sihat, malahan melahirkan rasa ingin menolong orang yang susah dengan cara memberi sumbangan wang atau makanan. 

Puasa bukan sahaja menahan lapar dan dahaga, tetapi menahan jiwa dari melakukan sebarang perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa.
Puasa bukan sahaja menahan lapar dan dahaga, tetapi menahan jiwa dari melakukan sebarang perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa.

Selain sabar menahan lapar dan dahaga, puasa juga turut mengajar manusia untuk menjaga tutur kata dan perbuatan yang menjurus kepada kurangnya amalan ibadah puasa. Puasa juga mampu menjaga manusia daripada bersifat sayangkan harta seperti kedekut, mengelakkan dari berbohong, riak berkata dusta, memfitnah, menipu, mengadu domba, mengumpat, mengeji orang lain dan sebagainya. Oleh itu, puasa mampu mendidik jiwa manusia mengenai akhlak-akhlak mulia seperti tidak berburuk sangka, ingin menolong, ingin menderma, menahan marah, jujur, ikhlas, amanah dan belajar memperbaiki diri. Justeru puasa memainkan peranan penting dalam mendidik jiwa manusia dengan akhlak mulia dan mengelakkan dari mempunyai tingkah laku yang buruk. 

Melahirkan seorang warganegara yang patuh pada undang-undang negara juga merupakan salah satu cara untuk mendidik manusia menjadi manusia. Undang-undang perlu dipelajari dan ia tidak akan datang bergolek. Dalam hal ini, perlu ada undang-undang bagi mengawasi tingkah laku dan pergerakan manusia. Tanpa undang-undang, sesebuah negara akan runtuh dan peradaban akan hilang. Ini kerana manusia akan bebas melakukan apa sahaja jika tiada undang-undang melindungi mereka. Justeru, di Malaysia telah diwujudkan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas kepada perlembagaan negara dan peradaban negara Malaysia sejak merdeka.

Setiap setiap warganegara adalah tertakluk dan terlindung di bawah undang-undang Malaysia
Setiap setiap warganegara adalah tertakluk dan terlindung di bawah undang-undang Malaysia

Memahami perlembagaan negara adalah elemen penting bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang beretika dan beradab mulia. Warganegara yang memahami perlembagaan secara tidak langsung akan memahami cara bagaimana untuk menjadi warganegara yang baik, patuh pada undang-undang negara serta memahami susun atur sistem sosiopolitik acuan negara ini. Dengan ini, suasana harmoni dan makmur akan dikecapi oleh semua lapisan masyarakat di negara ini. 

Perlembagaan Malaysia adalah tertinggi di Malaysia
Perlembagaan Malaysia adalah tertinggi di Malaysia

Projek khidmat masyarakat dan tanggungjawab sosial juga merupakan kaedah terbaik mendidik generasi muda tentang nilai kemanusiaan. Tidak dinafikan penglibatan pelajar seperti di institusi pengajian tinggi (IPT) dengan kerja-kerja sosial akan memberi pendedahan kepada mereka akan cara hidup dan permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat di luar kampus. 

Pelajar juga akan dididik dengan sifat rasa kebertanggungjawaban terhadap masyarakat dan memahami budaya masyarakat sekitar. Pelajar yang melibatkan diri dengan masyarakat akan memupuk rasa cakna iaitu bukan sahaja mempelajari teori dan konsep di dalam bilik kuliah semata-mata. Dengan ini, para pelajar tidak sahaja hidup dalam ruang lingkup universiti malahan keluar ke dunia yang lebih luas. Usaha mendekati masyarakat luar akan menjadikan pelajar rasa lebih berkeyakinan apabila berdepan dengan masyarakat, memupuk sifat kepimpinan, kerjasama dan kekitaan dalam kalangan mereka. 
 

Turun dan bergaul dengan masyarakat sangat penting untuk membentuk keperibadian unggul dalam kalangan pelajar.
Turun dan bergaul dengan masyarakat sangat penting untuk membentuk keperibadian unggul dalam kalangan pelajar.

 

Kesimpulannya, manusia perlu mencari ilmu untuk menjadikannya manusia yang sebenar-benar manusia. Ilmu tersebut mencakupi ilmu rohani dan jasmani sama ada ia dipelajari dalam kelas, pembacaan dan juga percampuran dengan pelbagai masyarakat. Apa yang jelas, ilmu itu bukan sahaja ilmu sains dan teknologi malahan juga ilmu kemanusiaan. Ini menunjukkan pentingnya akses kepada kedua-dua jenis ilmu ini bagi melahirkan manusia yang seimbang untuk pembangunan agama, bangsa dan negara. 

Dr. Hasnah Hussiin
Dr. Hasnah Hussiin

Penulis ialah pensyarah kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

E-mel    : hasnah@umpsa.edu,my

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri