Skip to main content

Program Kerjasama Akademik UMP dan Jerman: Melangkah ke Hadapan

Hubungan kerjasama akademik Universiti Malaysia Pahang (UMP) bersama institusi pendidikan di Jerman sudah melangkaui satu abad. Dalam tempoh tersebut, pelbagai cabaran dan rintangan telah dihadapi bagi memastikan kelangsungan program ini kekal relevan sehingga kini. 

Sudah semestinya urusan pentadbiran yang merangkumi pelbagai aspek bukan suatu perkara yang mudah terutamanya apabila melibatkan pemegang taruh seperti ahli lembaga pengajian, profesor dari Jerman, pelajar dan ibu bapa. Pusat Kerjasama Strategik Akademik (PKSA) yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Kerjasama Akademik Jerman (PKAJ) berperanan menjadi one-stop centre bagi segala urusan berkaitan dengan kerjasama melibatkan pihak di Jerman.

Pada peringkat awal penawaran program, cabaran lebih tertumpu untuk memberikan pendedahan kepada bakal pelajar dan ibu bapa tentang kelebihan program yang ditawarkan ini. PKSA mengambil pendekatan agresif dengan mengadakan sesi taklimat di setiap institusi pendidikan seperti kolej matrikulasi dan politeknik yang terpilih. Setiap calon yang berminat akan dibimbing sepenuhnya bermula dari proses permohonan sehingga ke pendaftaran. Amalan ini masih berterusan sehingga ke hari ini. 

Semasa dunia dilanda krisis kesihatan COVID-19, UMP melaksanakan pendekatan baharu mengikut keadaan semasa. Perubahan kaedah penyampaian daripada bersemuka ke secara dalam talian tidak sedikit merencatkan aktiviti promosi dan pemasaran. Malah, pertemuan di alam maya dilihat mempunyai banyak kelebihan seperti pengurusan masa yang fleksibel dan kos yang terlibat adalah kurang. Ia terus kekal relevan walaupun negara sudah memasuki fasa pandemik.

Program Kerjasama Akademik UMP dan Jerman: Melangkah ke Hadapan

Penguasaan bahasa Jerman merupakan antara kriteria yang paling penting selain daripada pencapaian akademik. Ia terdiri daripada Tahap B1 dan B2. Kedua-duanya merupakan tahap yang ketiga dan keempat mengikut skala yang ditetapkan oleh Common European Framework of Reference for Languages (CEFR). Di Malaysia, hanya dua pusat peperiksaan yang diiktiraf oleh rakan kerjasama di Jerman iaitu Goethe Institute (GI) dan telc-German-Malaysia Institute (telc-GMI). Berdasarkan syarat bergraduasi, pelajar perlu memperoleh sekurang-kurangnya tahap B1 bagi melayakkan beliau mendapat dual ijazah. 

Dual ijazah didefinasikan sebagai kerjasama di antara dua institusi pengajian yang menawarkan dua program pengajian daripada bidang yang sama atau hampir sama di mana pada akhir pengajian, pelajar akan dianugerahkan dua ijazah daripada institut pengajian tersebut. Ini adalah berdasarkan takrifan yang dikemaskini oleh pihak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Tahap B2 pula adalah laluan yang perlu ditempuhi pelajar sekiranya mereka berhasrat untuk menyertai program mobiliti berkredit di universiti rakan kerjasama, Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA), Jerman selama satu semester. 

Sejak dari tahun 2009 sehingga kini, perubahan demi perubahan telah dilaksanakan bagi menyesuaikan keperluan dan perkembangan semasa. Bermula daripada syarat kemasukan sehingga ke syarat untuk bergraduasi, perubahan senantiasa dibuat agar program ini dapat melahirkan graduan yang memenuhi kehendak pasaran kerja. Antaranya adalah dengan memastikan bakal graduan mendapat penempatan di syarikat dan industri di Jerman. Maka, satu program khusus telah dibangunkan iaitu Program Kebolehpasaran Graduan Industri Jerman (German Industry Employability Programme). Program ini adalah hasil kerjasama antara UMP, Yayasan UMP dan Malaysian Engineering Community (MEC). MEC merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang bertapak di Jerman di mana ia telah ditubuhkan oleh sekumpulan jurutera Malaysia yang bekerja di Jerman. Melalui program ini, graduan akan dibekalkan dengan latihan komunikasi, persediaan temuduga, penyediaan resume yang sesuai dengan pekerjaan yang ditawarkan dan kemahiran untuk bekerja di Jerman sebagai pakar dalam teknologi.

Selaras dengan perkembangan pendidikan tinggi yang semakin bersifat global, UMP telah menerokai inisiatif baharu. Satu pertemuan bersama pihak The European Language Certificates (TELC) Frankfurt telah diadakan baru-baru ini di mana UMP telah menawarkan diri untuk menjadi salah sebuah pusat peperiksaan TELC di Malaysia. Berdasarkan fasiliti dan kemudahan yang mampan, UMP mampu menjadi pusat peperiksaan TELC. Malah ketika ini juga, UMP merupakan salah sebuah pusat peperiksaan untuk Malaysian University English Test (MUET). 

Cadangan ini telah disambut baik oleh pihak TELC. Pusat ini akan dikendalikan oleh Pusat Bahasa Moden (PBM) bersama pihak PKSA. Penubuhan pusat peperiksaan TELC ini bakal memanfaatkan UMP khususnya dalam menyediakan tempat peperiksaan untuk semua pelajar dual ijazah UMP. Pada masa yang sama, UMP akan menerima permohonan daripada pihak luar yang berminat. Pusat ini dijangka akan beroperasi pada tahun 2023 kelak.

Kini, program dual ijazah UMP-Jerman sudah diiktiraf oleh pihak industri samada di Malaysia atau luar negara terutamanya di Jerman. UMP akan terus memperluaskan jaringan kerjasamanya di Jerman di mana berdasarkan perancangan, dua program dual ijazah akan ditawarkan pada tahun 2023 melibatkan sebuah rakan universiti baharu iaitu Mannheim University of Applied Sciences (HsMA). Ini menjadikan jumlah keseluruhan termasuk program sedia ada ialah sebanyak lima program. Kejayaan UMP dalam menawarkan program dual ijazah ini turut menjadi menjadi rujukan universiti awam yang lain di Malaysia. Ini tidak terkecuali dengan universiti lain di Jerman di mana mereka melihat hubungan kerjasama UMP dengan HKA sudah melangkaui satu tempoh yang panjang dan ia membuahkan hasil yang memberangsangkan. Semoga program ini terus memberikan impak yang positif bukan sahaja kepada universiti dan pelajar secara khususnya, malah kepada masyarakat secara amnya.

Muhammad Hafiz Aswad Ahmad Kamal
Muhammad Hafiz Aswad Ahmad Kamal

Penulis ialah Eksekutif Kanan, Pusat Kerjasama Strategik Akademik (PKSA), Universiti Malaysia Pahang (UMP)
e-mel: mhafizaswad@ump.edu.my

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News