Skip to main content

UMPSA melakar citra universiti gemilang

Tanggal 30 Julai 2023, penjenamaan Universiti Malaysia Pahang kepada Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah melakar sejarah baharu sebagai sebuah universiti yang cemerlang setelah melepasi tempoh dua dekad. Kejayaan ini merupakan sebuah citra yang terhasil berasaskan usaha yang berterusan demi menggapai sebuah kejayaan. Citra dalam hal ini bermaksud gambaran imej atau cerminan yang dipaparkan oleh universiti ini sebagai Universiti Teknologi Terunggul yang diiktiraf dan dikenali peringkat dalam dan luar negara. 

UMPSA sebagai sebuah universiti Malaysian Technical University Network (MTUN) di negara ini bukan sahaja melahirkan graduan yang holistik bahkan melahirkan warga kerja yang cemerlang, kompeten, produktif dari segi tadbir urus serta pengurusan emosi dan rohani. Keterlihatan universiti ini bukan sahaja dalam kalangan warga pendidik, para pelajar malah seantero dunia. 

Hal ini terbukti apabila UMPSA berjaya menarik minat para penyelidik, golongan ilmuwan dan para pelajar dari seluruh dunia untuk menjejak kaki ke UMPSA sebagai destinasi pilihan utama mereka. Seterusnya, UMPSA berjaya membangunkan modal insan yang kreatif, inovatif, berkeupayaan memberi dan berkongsi idea serta kaedah penyelesaian masalah yang dapat menyumbang kepada komuniti luar kampus. Warga UMPSA bukan sahaja berkebolehan untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran insaniah untuk mendepani kehidupan dunia sebenar malah mampu menyumbang khidmat bakti dan berkongsi dengan masyakat luar kampus. Segala kebolehan dan pemilikan teknologi serta kepakaran yang terdapat di universiti disebarluaskan kepada komuniti luar agar dapat dimanfaatkan.

Pelbagai program dan kerjasama yang dijalinkan sejak berpuluh tahun dahulu dengan komuniti setempat dan luar kampus adalah bukti kesungguhan dan keupayaan universiti dalam menggapai sebuah universiti yang gemilang. Universiti yang mencipta kegemilangan dan melakar sejarah tersendiri pastinya disulami dengan rasa cinta yang mendalam oleh warganya. 

Definisi cinta dapat ditakrifkan sebagai rasa sayang, tanggungjawab, prihatin, teruja, pemilikan, kekitaan yang jelas terserlah dalam kalangan warga UMPSA. Kewujudan Yayasan UMPSA dan Sukarelawan Kilau menunjukkan sekali lagi UMPSA berani tampil berbeza dengan hasrat memaknakan perkongsian serta tanggungjawab kepada masyarakat dalam dan luar kampus yakni selaras dengan hasrat ‘Pilih untuk Berkongsi’. Kewujudan dua entiti ini juga telah menjadi jambatan dalam menghubungkan dan menyebarluaskan rasa cinta serta tanggungjawab warga UMPSA ke tahap yang lebih luas sehingga kepada warga komuniti terpencil di pedalaman seperti komuniti orang Asli di seluruh negara ini.

Jika dilihat dengan lebih mendalam, rasa sayang, tanggungjawab dan prihatin dalam menzahirkan rasa cinta warga UMPSA seterusnya dapat disaksikan dengan adanya kemudahan-kemudahan yang ditawarkan secara insklusif oleh Unit Perkhidmatan OKU UMPSA. Contohnya, OKU Pembelajaran, OKU Fizikal, OKU Mental, dan OKU pendengaran. Penawaran kemudahan dan keistimewaan turut ditawarkan kepada ahli keluarga warga UMPSA yang didapati istimewa. Kewujudan unit ini membuktikan komitmen yang diberikan oleh seluruh warga UMPSA dalam menggembleng tenaga, kepakaran dan rasa tanggungjawab serta prihatin agar tidak ada mana-mana pihak terasa diabaikan atau disisihkan melainkan semuanya di bawah satu bumbung rasa cinta yang sama selaras dengan teras teguh dalam mempertahankan prinsip disepakati dan cekal menghadapi cabaran.

Selain itu, UMPSA melakar landskap sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang menjadi pilihan apabila berlakunya peningkatan kadar kemasukan para pelajar  antarabangsa dari pelbagai negara ke universiti ini. Suasana pembelajaran dan kehidupan kampus yang berwarna-warni dengan kepelbagaian budaya tempatan dan luar menjadi satu keunikan universiti ini. 

Mahasiswa tempatan dan antarabangsa berpeluang mengenali antara satu sama lain, berkongsi dan bertukar pendapat serta idea dari pelbagai aspek akhirnya dapat menjadikan semua mahasiswa ini sebagai mahasiswa yang memiliki minda kelas pertama dan memiliki pengetahuan tentang dunia luar. Pelbagai usaha juga dilaksanakan untuk membentuk, memberikan pendedahan dan pengalaman seolah-olah berpeluang belajar di luar negara dengan inisiatif “Global Classroom”. Melalui inisiatif ini, mahasiswa UMPSA berasa teruja dapat berinteraksi dengan tenaga pengajar dan para pelajar luar negara yang menjangkau pelbagai destinasi luar negara termasuk kaedah pembelajaran dan budaya belajar yang lebih komprehensif. Inisiatif kolaborasi ini sekali lagi menunjukkan usaha berterusan UMP dalam Memasyarakatkan Teknologi yang secara tidak langsung mendukung hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025, iaitu lonjakan ke-9 Pembelajaran Dalam Talian Secara Global.

Keseluruhan citra UMPSA adalah merupakan lakaran keunikan dan tekad institusi ini agar cemerlang dalam menyediakan pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan teknologi aras tinggi yang dipacu bersama komuniti melalui ekosistem keusahawanan sosial. Sebagai universiti yang berprestij dan gemilang segala pengalaman transformatif yang menjadi nilai tambah kepada seluruh warga UMPSA agar sentiasa progresif dan dinamik serta kekal relevan dan menjadi inspirasi. 

Akhirnya, semua kegemilangan, kejayaan, pencapaian dan pengiktirafan hanya akan bermakna dengan disulami rasa syukur dan berterima kasih bertepatan nilai teras pertama UMPSA, iaitu hubungan yang kuat dengan Yang Maha Pencipta. Rasa syukur ini akan melahirkan rasa bahagia dalam kalangan semua warga UMPSA yang secara tidak langsung mendokong hasrat Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), iaitu Pendidikan Berkualiti (SDG4) dan Kesihatan dan Kesejahteraan yang Baik (SDG3).

Universiti Teknologi Terunggul UMPSA penjenamaan diberi memiliki Imej universiti gemilang unggul
Dipanjat kehadrat Ilahi

UMPSA melakar citra universiti gemilangUMPSA melakar citra universiti gemilang

Jamilah Bebe Mohamad
Cik Jamilah Bebe Mohamad

Penulis ialah Guru Bahasa Melayu, Pusat Bahasa Moden (PBM), UMPSA. 
E-mel: jamilahbebe@umpsa.edu.my

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News