Skip to main content

2 sahabat baik capai impian sambung pengajian masuk UMPSA

PAYA BESAR, 13 Ogos 2023 - Dua sahabat baik dari Kampung Cherong dan Pos Sinderut berkongsi kegembiraan dan teruja apabila menerima tawaran menyambung pengajian dalam jurusan Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang mulai mendaftar pada hari ini.

Alet a/l Yok Pandir, 18 dan Musa a/l Yok Gek, 18 yang merupakan sahabat baik sejak bersekolah di Sekolah Menengah Kuala Lanar, Lipis itu masih tidak menyangka dan terkejut dengan berita gembira yang telah lama diimpikan oleh mereka kini telah menjadi kenyataan.

2 sahabat baik capai impian sambung pengajian masuk UMPSA

Alet ketika berkongsi detik kegembiraan itu berkata beliau amat mengejut apabila menerima surat tawaran yang dihantar sendiri oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman yang hadir bersama Pengarah Pusat Pemasaran dan Kemasukan Akademik, Zainal Bahari dan staf UMPSA.

“Setiap hari saya berdoa agar dapat menjejakkan kaki ke universiti kerana ia merupakan impian saya sejak kecil lagi,” katanya.

Menurut anak keempat daripada tujuh beradik ini, beliau tahu pada waktu itu bukan sahaja dia yang teruja, malah wajah kedua ibu bapanya juga terpancar kegembiraan apabila dimaklumkan anaknya menerima tawaran masuk universiti sehinggakan mereka berhasrat untuk mengadakan kenduri.

“Namun, memandangkan masa yang suntuk untuk mendaftar, mungkin kenduri tersebut tidak dapat dilaksanakan buat masa ini.

“Saya juga ingin mengucapkan berterima kasih kepada UMPSA yang telah memberi peluang kepada saya dan anak-anak orang asli lain untuk menyambung pengajian di universiti.

“Saya sangat terharu apabila pihak UMPSA turut menyediakan perkhidmatan logistik untuk membawa saya mendaftar di Kuantan,” katanya.

Beliau berdoa semoga berjaya di universiti nanti dan mampu mengubah nasib keluarganya untuk kehidupan yang lebih baik.

Manakala rakannya Musa a/l Yok pula berkata, beliau berjaya membuktikan kesempitan hidup di pedalaman bukan halangan untuk menempatkan diri di menara gading.

2 sahabat baik capai impian sambung pengajian masuk UMPSA

“Tempat tinggal kami sememangnya jauh pendalaman dari bandar, untuk masuk ke kampung saya sahaja mengambil masa dalam ermpat jam, jadi dari kecil kami sememangnya tinggal di asrama.

“Justeru, saya tidak kekok untuk tinggal di asrama dan meninggalkan keluarga untuk menuntut ilmu,” katanya yang merupakan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia 2022 dengan meraih 8A.

Dalam pada itu, Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad berkata, kunjungan ke rumah pelajar ini dalam Program Ziarah Kasih merupakan salah satu inisiatif sebagai tanda keprihatinan UMPSA dalam menyampaikan maklumat dan memberi khidmat konsultansi pendidikan tinggi bagi pelajar yang berjaya memperoleh keputusan SPM yang cemerlang terutama bagi luar bandar.

Selain menyerahkan surat penawaran program, pihak Yayasan UMP juga turut menyumbangkan barangan keperluan dapur kepada keluarga pelajar terbabit.  

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris