Skip to main content

Di sebalik lensa telefon pintar, Noor Azhar hasilkan karya unik

PEKAN, 27 Januari 2023 - Minat untuk mencuba sesuatu yang baharu dan mencari kepuasan berkarya dengan menggunakan telefon pintar telah memberikan inspirasi buat Pereka UMP, Noor Azhar Abd. Rasid, 49, menghasilkan karya di sebalik lensa telefon pintarnya.

Bagi Noor Azhar, beliau minat mengambil gambar namun bukanlah seorang yang profesional. 

“Saya suka mengambil gambar terutama gambar makro kerana gambar yang terhasil mempunyai elemen seninya yang tersendiri, namun saya bukanlah orang seni, cuma meminati seni,” ujarnya. 

Menurutnya, bidang kerjaya sebagai pereka memberikan peluang buatnya menggunakan hasil kreativiti untuk berkarya dan berpeluang merakam foto kerana sinonim dengan minatnya. 

Di sebalik lensa telefon pintar, Noor Azhar hasilkan karya unik

“Apatah lagi berkonsepkan alam dan fauna, haiwan dan hidupan memang menarik minat saya untuk mengambil gambar. 

“Kampus UMP yang menghijau dan lestari sentiasa menambat hati saya apabila lensa telefon pintar ini berjaya menjejaki keindahan bunga, pokok dan apa sahaja yang jarang dilihat dengan mata kasar. 

“Pelbagai aplikasi yang terdapat di telefon pintar, membolehkan saya untuk menyunting gambar-gambar yang diambil untuk dilihat lebih menarik tanpa mengubah keaslian gambar itu sendiri,” ujarnya. 

Jelas beliau lagi, gambar yang dihasilkan menjadi karya yang menarik dan unik itu juga sentiasa dikongsikan di laman media sosial seperti facebook dan instagram (azhapekan) untuk perkongsian bersama peminat-peminat fotografi yang lain. 

Di sebalik lensa telefon pintar, Noor Azhar hasilkan karya unik

“Minat yang mendalam dan kesungguhan ini adalah dua perkara penting jika ingin menjadi seorang jurufoto yang mahir menghasilkan gambar-gambar unik dan menarik,” katanya. 

Beliau turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada pihak UMP apabila gambar-gambarnya  dicetak dan dijadikan koleksi yang boleh ditonton pengunjung dan tetamu yang melawat Pameran Seni Fotografi di Galeri Perpustakaan UMP Pekan bermula 27 Januari sehingga 28 Februari 2023. 

Disediakan oleh:  Mimi Rabita Haji Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit