Skip to main content

Ekspedisi UMP Tawan Puncak Kinabalu

Kota Kinabalu, 6 September- Tanggal 6 September mencatat sejarah buat 20 orang warga kerja Universiti Malaysia Pahang (UMP) daripada pelbagai fakulti apabila berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu yang merupakan puncak tertinggi di Asia Tenggara pada ketinggian 4,905.2 meter (13,455 kaki) dari aras laut.

Menurut Pengarah Program Ekspedisi d’Puncak Kinabalu, Mohd Shahrul Azuar berkata, pihaknya menjalani latihan fizikal dan mental dan membuat persediaan dengan menjalani latihan mendaki bagi meningkatkan tahap kecergasan masing-masing.

“Ekspedisi ini dirancang sejak awal tahun ini sebagai aktiviti gaya hidup sihat dan menyahut cabaran menguji ketahanan mental dan fizikal, memupuk kerjasama berkumpulan dan sebagai medium untuk membina keyakinan diri yang lebih utuh dan jitu,” katanya.

Semua peserta memulakan pendakian di pintu Timpohan Gate setelah selesai taklimat seawal jam 9 pagi dan mengharungi pendakian yang mencabar di laluan bertangga dan menegak sejauh lebih 6 kilometer. Kesemua peserta berjaya sampai di Laban Rata (Base Camp) pada ketinggian 3,272 meter dari paras laut.

Pendakian diteruskan lagi seawal jam 2.30 pagi hari berikutnya bagi meneruskan misi menawan puncak Kinabalu yang juga dikenali sebagai Low’s Peak.  Peserta bergerak secara sederhana dalam kumpulan kecil dengan cabaran sejuk dan gelap sambil diiringi malim gunung bertugas. Sungguhpun begitu kebanyakan peserta berpeluang menikmati keindahan alam dan matahari terbit.   

Akhirnya, setelah mengharungi pendakian selama hampir 4 jam yang mencabar dan menguji mental dan fizikal tepat jam 6.30 pagi seramai 10 sampai ke puncak Gunung Kinabalu dengan jayanya. Tiada kata yang dapat diungkap tatkala kaki berjaya menapak di puncak tertinggi ini walaupun dalam keadaan kepenatan.

Bagi peserta ekspedisi, Dr. Amir Abd Razak berkata, satu pencapaian membanggakan apabila kesemua peserta berjaya tiba di Laban Rata dengan selamat walaupun cabaran peserta adalah  ketika berada di ‘summit attack’ pada awal pagi tersebut.

“Antara cabaran utama yang terpaksa dihadapi oleh kesemua peserta adalah mendaki dalam keadaan angin yang kuat dan cuaca sejuk yang mana suhu boleh mencecah sehingga 3° Celcius. Kesukaran bernafas secara normal akibat kandungan oksigen di udara yang nipis juga merupakan cabaran utama yang perlu dihadapi oleh setiap peserta,” kata Prof. Dato’ Dr. Zularisam Ab. Wahid daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA).

Turut serta bersama menyertai program adalah ketua jabatan, pensyarah dan staf fakulti daripada FTKA, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) dan Kolej Kejuruteraan yang mana mereka sebelum ini adalah merupakan staf Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTeK).

Prof. Dato’ Dr. Zularisam berkata, walaupun tidak semua peserta berjaya sampai ke puncak, namun bukan itu objektif utamanya.  Beliau berbangga dengan pencapaian semua peserta yang menyertai ekspedisi dan menjayakan program mendaki Gunung Kinabalu ini.

Selain itu, nasihatnya buat peserta agar percaya dengan kemampuan diri sendiri dan berusaha untuk meningkat kemampuan individu merupakan suatu pengalaman yang bernilai tinggi yang sepatutnya ada dalam diri terutamanya dalam menempuh pelbagai cabaran termasulah dalam pekerjaan.

Beliau sungguh berbangga dengan semangat dan komitmen semua staf dan pihak luar yang menguruskan segala keperluan sepanjang ekspedisi berlangsung dengan jayanya. Walaupun penat ianya bukan penghalang buat peserta meraikan kemenangan setelah berjaya mencapai misi dan menjadi kenangan sepanjang hayat.

Malahan kejayaan ini juga amat bermakna dan merupakan sejarah yang tercatat tatkala penjenamaan semula nama fakulti dan penstukturan organisasi yang sedang dilaksanakan di universiti pada ketika ini.  

Disediakan oleh; Mohd Shahrul Azuar, Pengarah Program Ekspedisi d’Puncak Kinabalu.

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri