Skip to main content

Jauhar Straw tersenarai 10 kumpulan perniagaan terbaik IPROCOM

KUANTAN, 8 September 2021 – Kumpulan Jauhar Straw dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) melakar kejayaan apabila terpilih antara sepuluh Rancangan Perniagaan dan Business Model Canvas (BMC) terbaik dalam program Idea, Product & Commercial (i-ProCom) menerusi hasil inovasi penyedut minuman mesra alam yang menggantikan straw plastik (Jauhar Straw).

Jauhar Straw diperbuat daripada pokok kercut atau nama saintifiknya Lepironia articulata iaitu sejenis tumbuhan akuatik yang tumbuh di kawasan berpaya.
 
Program ini dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan Centre for Entrepreneur Development and Research (CEDAR).
 
Ketua kumpulan Jauhar Straw, Nurul Farah Anisa Hairolnizam, 22 melahirkan rasa syukur apabila kumpulannya berjaya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000 apabila terpilih antara 10 kumpulan terbaik dalam kalangan 50 kumpulan perniagaan dari pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT).

Ujarnya, usaha pelajar Kelab Iskandar UMP menjalankan kajian terhadap straw pokok kercut ini telah bermula secara berperingkat dan hasilnya amat mengalakkan apabila terbukti bahawa straw mesra alam ini sesuai serta selamat untuk digunakan.

“Namun, straw ini hanya untuk sekali kegunaan sahaja.
 
“Proses yang terlibat untuk mencipta Jauhar Straw ini adalah membersih, memotong, membuang selaput di dalam batang dan menjemurnya selama tiga hari.

“Lebih menarik apabila kesemua proses tersebut dilakukan oleh pelajar sendiri sekali gus mampu menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia,” katanya.
 
Beliau turut mengharapkan agar inovasi ini dapat menyelamatkan alam sekitar dari terus tercemar dek pembaziran plastik.

Pada masa yang sama, program ini amat memberi manfaat apabila dapat membantu peserta dalam proses pengurusan kewangan menerusi taklimat dan penerangan daripada pihak IKSKEN dan CEDAR.
 
Program tersebut menampilkan pelbagai inovasi dan perniagaan oleh pelajar yang dibimbing oleh pensyarah setiap universiti awam (UA), Politeknik dan Kolej Kemahiran.

Tujuan utama program itu adalah untuk melatih pelajar untuk mahir dalam bidang perniagaan demi melahirkan lebih ramai usahawan muda di Malaysia.
 
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pensyarah kanan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) UMP merangkap penasihat Jauhar Straw, Dr. Abdul Syukor Abd. Razak yang sentiasa menyokong dan berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam penghasilan produk mesra alam ini.

“Terima kasih juga diucapkan kepada Pusat Keusahawanan UMP yang sentiasa memberi peluang kepada projek Jauhar Straw untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi seperti i-ProCom.

“Tidak dilupakan juga penghargaan kepada Jabatan Hal Ehwal Pelajar, FTKA dan Yayasan Pelajaran Johor kerana membantu dan menyokong inovasi ini,” katanya.
 
Dr. Abdul Syukor pula mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang begitu komited terhadap usaha ini dan diharapkan projek Jauhar Straw ini akan terus berjaya seiring dengan saranan kerajaan dalam mendorong keterlihatan produk hijau mesra alam.

“Program ini sangat berimpak tinggi dan memberi semangat kepada peserta untuk meningkatkan lagi usaha kerana perjuangan mereka tidak terhenti di sini,” ujarnya.

Big Stage i-ProCom akan dilaksanakan pada bulan Disember 2021 dan bakal menawarkan lebih banyak hadiah yang lebih lumayan untuk dimenangi.

Majlis penyampaian hadiah yang diadakan secara dalam talian itu disertai lebih 100 orang termasuk peserta dan mentor setiap perniagaan.

Selain UMP, kumpulan perniagaan yang turut terpilih antara sepuluh Rancangan Perniagaan dan Business Model Canvas (BCM) terbaik ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kolej Komuniti Temerloh dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
 
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd. Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor 

 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri