Skip to main content

Kempen Derma Darah UMP, HTAA bantu selamatkan nyawa insan lain

PEKAN, 1 Jun 2022 – Seramai 187 peserta dalam kalangan pelajar dan staf Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyertai kempen derma darah yang berlangsung di Lobi Aras 1, Pusat Aktiviti Pelajar (PAP), UMP Pekan baru-baru ini.
 
Program yang dikendalikan oleh 20 anggota kesihatan Unit Tabung Darah, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan itu turut dibantu oleh anggota kesihatan Pusat Kesihatan Universiti (PKU) bermula jam 10 pagi hingga 4 petang.
 
Pegawai Perubatan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Dr. Nurul Sakinah Azmi berkata, kempen ini diadakan bagi menampung bekalan darah yang kini berada di paras kritikal.
 
“Ini merupakan antara langkah kami dalam mencari penderma.
 
“Di samping itu, orang ramai juga tidak perlu hadir ke hospital sebaliknya kami yang hadir ke lokasi yang telah ditetapkan,” katanya.

Pengarah PKU UMP, Dr. Khairul Salleh Abdul Basit berkata, kempen ini dilihat satu kejayaan yang besar dengan nilai penglibatan staf dan pelajar yang agak ramai.

“Ini merupakan peluang untuk mendidik orang ramai dan meningkatkan kesedaran tentang pentingnya darah yang didermakan terutamanya dalam membantu menyelamatkan nyawa seseorang. 

“Bagi satu pek darah yang didermakan akan dibahagikan kepada beberapa komponen seperti sel darah merah, plasma, platelet dan whole blood.

“Pihak PKU juga sentiasa menekankan pemakaian pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial sepanjang sesi menderma darah berlangsung.” ujarnya. 

Beliau berkata, bagi warga UMP yang mempunyai gejala seperti demam, batuk, selsema, sakit kepala, sakit tekak, sesak nafas, cirit birit dan sakit badan serta yang diarahkan untuk menjalani tempoh kuarantin oleh Pejabat Kesihatan Daerah dan dikategorikan kontrak rapat serta individu yang tidak lengkap divaksinasikan COVID-19 adalah tidak dibenarkan hadir.

Hal ini adalah bagi memastikan penularan COVID-19 dapat dibendung dalam kalangan warga UMP.

Pihak PKU dan HTAA turut berterima kasih buat semua para penderma yang telah hadir dan ini menunjukan bahawa semangat sukarelawan dalam diri warga UMP yang sangat tinggi dan tidak ternilai sumbangannya.

Disediakan oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri. 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim