Skip to main content

Mahasiswa UMP dan Petugas UMPTV Timba Pengalaman di Media Prima

Kuala Lumpur, 27 Mac – Seramai 30 mahasiswa Kelab Media Massa Universiti Malaysia Pahang (UMP) bersama petugas UMP TV berkunjung ke Media Prima Berhad (MPB) di Sri Pentas Kuala Lumpur bagi menimba pengalaman dan menyaksikan sendiri petugas di belakang tabir dalam bidang penyiaran.

Hadir menyambut delegasi UMP adalah Penerbit Teknikal MPB, Rusaimi Mat Serudin dan Eksekutif Pengurusan Acara, Puteri Eifa Ezrin Mohd. Kushairi. Hadir sama dalam program Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato Dr Yuserrie Zainuddin dan Pengurus Jabatan Jaringan Industri dan Masyarakat, Mohd. Raizalhilmey Mohd Rais yang juga Presiden Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas UMP (PPTI).

Bagi Prof Dato Dr Yuserrie, pengalaman ini memberi peluang mahasiswa dan krew UMP TV berkongsi kepakaran pihak teknikal dalam membuat liputan di belakang tabir sebelum dan semasa siaran televisyen berlangsung.

“Selain menjalinkan hubungan baik dengan stesen TV di Malaysia, UMP juga sedang meneroka peluang dalam mempromosikan universiti memandangkan peranan media ini penting sebagai salah satu perantara dalam menyebar luas informasi terkini kepada khayalak ramai,” katanya.

Menurut beliau, peluang ini juga meningkatkan pemahaman mahasiswa terhadap persekitaran kerja dan tanggungjawab yang digalas dalam memastikan tugasan dilaksanakan dengan baik apatah lagi stesyen TV ini mempunyai sasaran kumpulan penonton terbesar di negara ini.

Sementara itu bagi Rusaimi, pengalaman teknikal memainkan peranan yang penting dalam memastikan siaran berjalan lancar tanpa gangguan dan menepati citarasa pelanggan memandangkan lebih 28 juta rakyat Malaysia setiap hari menonton  menerusi empat stesen televisyen berkenaan.

Dengan kemahiran yang dikongsikan ini diharapkan dapat dipraktikkan di universiti, tambahan pula kini UMP telah memulakan siaran UMPTV sebagai salah satu medium pengantara hebahan bermaklumat untuk menyampaikan segala perkembangan dalam kampus dan pencapaian dalam universiti.

Buat masa ini UMPTV merupakan satu saluran yang memaparkan penerbitan berita Buletin Kampus, Koi Tanya Ustaz Jawab, Bual Bicara, Inovasi dan Inspirasiku untuk penonton yang bersiaran dalam media sosial, iaitu Facebook UMPMalaysia. Ianya dijalankan dengan mendapat sokongan dan kerjasama Pejabat Naib Canselor dan pihak Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan (PBMSK).

Pada masa yang sama turut berlangsung acara penyerahan sumbangan pihak PPTI   untuk Tabung Kemanusiaan Rohingya Media Prima hasil keprihatinan ahli dan warga kampus. 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri