Skip to main content

Pelajar UMP berjaya raih tempat ketiga Pertandingan Fotografi Makum 2023

SABAH, 1 Jun 2023 - Pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE)  Universiti Malaysia Pahang (UMP), Muhammad Amir Nuruddin Abdul Jalil  berjaya merangkul tempat ketiga Keseluruhan Pertandingan Fotografi Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM) Jelajah Budaya Sabah baru-baru ini.

Pertandingan Fotografi MAKUM Jelajah Budaya Sabah itu turut menyaksikan Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai tuan rumah pertandingan dengan tema ‘Kebudayaan Negeri Sabah’.

Menurut Muhammad Amir yang merupakan pelajar tahun 3 ketika ditemu bual berkata, beliau terkejut dan terharu apabila diumum pemenang tempat ketiga dalam pertandingan berkenaan memandangkan ini adalah penyertaan beliau yang pertama sejak berjinak-jinak dengan seni fotografi.

Pelajar UMP berjaya raih tempat ketiga Pertandingan Fotografi Makum 2023

“Minat saya timbul dalam seni fotografi dan videografi ini sejak di peringkat diploma apabila tertarik dengan hasil-hasil karya sahabat saya yang mahir dalam bidang ini.

 “Dari detik itulah saya mula mempelajari bakat suntingan di samping dapat dijadikan sebagai hobi saya bagi mengisi masa lapang,” tutur beliau yang sebelum ini pernah menuntut di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Ujar beliau lagi, menceburi bidang seni fotografi dan videografi itu bukanlah sesuatu yang amat mudah kerana ia memerlukan pelbagai teknik, kemahiran serta latihan yang berterusan. 

“Namun, yang paling penting adalah semangat, komitmen dan kesabaran yang tinggi memandangkan bidang pengajian yang dipelajari di universiti adalah berbeza,” katanya. 

Anak kelahiran Cheras, Kuala Lumpur itu mengakui seronok apabila menimba pengalaman dan ilmu baharu selain hobi ini dapat dijadikan sebagai sumber pendapatan sampingan beliau sepanjang tempoh pengajian. 

Pelajar UMP berjaya raih tempat ketiga Pertandingan Fotografi Makum 2023

Beliau juga turut aktif dalam kokurikulum sepanjang pengajiannya di UMP, malah beliau merupakan Exco Multimedia Majlis Sukan Pelajar UMP dan juga merupakan ahli Kumpulan Seni Fotografi Shutter Buster Sekretariat Kebudayaan dan  Kesenian UMP yang terkenal dengan hasil-hasil karya seni yang menarik.

Selain itu, beliau turut menganggap seni fotografi sebagai terapi kerana ia memberikan satu kepuasan dan keseronokan baginya apabila merakamkan momen-momen yang indah.

Dalam pada itu, beliau juga berharap dapat menimba pengalaman serta menjalin kerjasama dengan jurugambar profesional sama ada di dalam universiti sendiri mahupun juga di luar.

Disediakan oleh: Nur Ainaa Adhreena Muhammad Shukri, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
 

Reports by:
ainaa adhreena