Skip to main content
Penampilan Khas Dayang Nur Faizah dalam Festival Citra Seni UMP

Penampilan Khas Dayang Nur Faizah dalam Festival Citra Seni UMP

Kuantan, 2 April – Festival Citra Seni 2019 anjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang bakal berlangsung pada 27 April depan di Kompleks Sukan UMP Gambang bakal menampilkan persembahan khas penyanyi terkenal tanah air, Dayang Nurfaizah.  

Penonton juga bakal menyaksikan pertandingan tarian tradisional yang berkonsepkan rampaian kreatif daripada Universiti Awam (UA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di seluruh Malaysia yang antaranya kumpulan kebudayaan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Management and Science University (MSU) dan kumpulan kebudayaan UMP.

Menurut pengarah program, Mohamad Firdaus Ab Hadi, penganjuran festival ini merupakan suatu insiatif bagi mengembangkan tarian tradisional kreatif di samping memperjuangkan seni tari tradisional ini dalam kalangan masyarakat terutamanya mahasiswa universiti. Ianya juga bagi memastikan irama dan rentak kesenian tarian tradisional kreatif sentiasa mendapat tempat dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan generasi muda hari ini.

“Kita juga membuka peluang buat semua mahasiswa IPT dalam mengetengahkan bakat serta potensi yang ada untuk digilap selain memelihara warisan seni budaya dan memperjuangkan irama lagu melayu tradisional,” ujar beliau.

Tambah beliau, penganjuran festival ini dilihat dapat membentuk pemikiran yang kreatif, kritis, perpaduan serta persefahaman yang erat di antara IPT bagi mengerakkan aktiviti kesenian dan kebudayaaan serta mengembangkan dan memartabatkan warisan kebudayaan bangsa.

Bagi yang berminat menyaksikan konsert ini boleh mendapatkannya di Kaunter Tiket Kafe Kolej Kediaman 3, UMP Gambang dan Pusat Aktiviti Pelajar (PAP), UMP Pekan. Sebarang pertanyaan mengenai festival boleh menghubungi Perez di talian 017-3304453 atau Sharifah di talian 018-9107370 atau layari media sosial rasmi festival iaitu Instagram (festivalcitraseni) dan Facebook (Festival Citra Seni 2019).

Disediakan Siti Nurfarmy Ibrahim daripada Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim