Skip to main content

Penulis buku dan penyumbang rencana dirai

PEKAN, 13 November 2020 – Penerbit Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah menerbitkan empat buah buku baharu yang bertajuk Harimau Yang Mengaum, Individual Field Project Guideline – Bachelor of Business Engineering with Honours, Module Strength of Materials 1, dan Sensor and Instrumentation Systems.

Buku-buku tersebut telah dilancarkan oleh Penasihat Undang-undang UMP, Datin Hajah Wan Maizurina Wan Othman di Executive Lounge, Perpustakaan UMP Pekan baru-baru ini.

Hadir sama ialah Pengarah Penerbit UMP, Ts. Dr. Muhamad Mat Noor.

Buku Harimau Yang Mengaum merupakan sebuah karya kreatif yang diketuai oleh pensyarah, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Haslinda Hashim.

Buku ini menghimpunkan 21 buah karya kreatif berkenaan susah senang kehidupan para pelajar siswazah dan pascasiswazah UMP.

Manakala buku Individual Field Project Guideline – Bachelor of Business Engineering with Honours merupakan sebuah modul panduan menguruskan projek untuk pelajar Business Engineering, hasil tulisan Ts. Dr. Lee Khai Loon, Profesor Madya Dr. Cheng Jack Kie dan Dr. Gusman Nawanir dari Fakulti Pengurusan Industri (FPI).

Buku Module Strength of Materials 1 yang ditulis oleh Dr. Nasrul Azuan Alang (Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif), Dr. Ramli Junid (Kolej Kejuruteraan) dan Dr. Tedi Kurniawan (bekas pensyarah kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal) merupakan sebuah modul pembelajaran yang menyediakan asas pengetahuan tentang konsep mekanik struktur untuk pelajar kejuruteraan dilengkapi dengan pelbagai latihan yang relevan.

Buku Sensor and Instrumentation Systems pula ialah sebuah modul koleksi-koleksi nota sensor dan instrumentasi yang memperkenalkan asas prinsip pengukuran, jenis sensor dan instrumen, serta aplikasinya.

Buku ini adalah hasil tulisan Ts. Dr. Ahmad Shahrizan Abdul Ghani, Dr. Mohd Yazid Abu dan Khairul Fikri Muhamad dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM).

Datin Hajah Wan Maizurina dalam ucapannya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penulis buku dan juga penyumbang artikel atau rencana ilmiah untuk buletin UMP.

“Saya percaya dan yakin, untuk menerbitkan sesebuah buku bukanlah satu kerja mudah. Banyak pengorbanan terutama dari aspek masa dan tenaga bagi menyiapkan sesebuah manuskrip untuk diterbitkan.

“Selain para penulis, tidak lupa juga editor, pereka grafik dan staf pemasaran yang bertungkus-lumus untuk menyiapkan dan menjual buku-buku tersebut.

“Para pekerja di sebalik tabir ini juga sangat besar peranannya dalam penyebaran ilmu pengetahuan,” ujarnya.

Katanya, semoga usaha murni seperti ini mampu memberikan ilmu kepada masyarakat dan universiti, malah menjadi ibadah serta pahalanya akan terus mengalir kepada semua yang terlibat dalam menghasilkan buku-buku ini.

“Justeru, besar harapan saya agar majlis ini akan sentiasa diadakan untuk menyebarluaskan hasil karya pensyarah-pensyarah UMP kepada masyarakat, sekali gus menjadi sebahagian daripada tanggungjawab mewujudkan hubungan antara universiti dengan masyarakat sekitar,” katanya.

Buku-buku tersebut boleh didapati di laman sesawang https://shopee.com.my/penerbitump.atau di https://mohbeli.com/product-category/books/.

Pada masa yang sama, Datin Hajah Wan Maizurina turut menyampaikan sijil penghargaan dan cenderahati kepada para penyumbang artikel dan rencana ilmiah yang diterbitkan dalam buletin rasmi UMP iaitu e-Create dan e-Pekan Review.

Majlis itu turut diserikan dengan alunan deklamasi nazam gurindam bertajuk Kasih Ayah dan Ibu oleh Juwairiah Osman, Guru Bahasa, Pusat Bahasa Moden (PBM) dan puisi bertajuk The Land of Story-Books by Robert Louis Stevenson yang disampaikan oleh Raja Nurul Mardhiah Raja Abdul Aziz, Pembantu Tadbir, Penerbit UMP.

Oleh: Safriza Baharuddin, Pejabat SUARA UMP
 

Reports by:
Safriza binti Baharuddin