Skip to main content

Program SULAM UMP dedah kepentingan mikrob dalam industri bioteknologi

KUANTAN, 26 Januari 2023 - Seluruh dunia terkesan dengan kemunculan wabak COVID-19 dan sehingga kini, sebanyak 48.6 juta orang telah dijangkiti dan meragut lebih 6 juta nyawa dalam hanya tempoh dua tahun. 

Sedar atau tidak, jangkitan ini disebabkan oleh virus yang sangat kecil iaitu SARS-CoV-2, dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Bagi memahami bidang ini, Universiti Malaysia Pahang (UMP) melaksanakan Program Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM) sebagai menyokong usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Penganjuran program dengan kerjasama Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI)  kali ini dengan tajuk ‘Who’s That Pokemon? We Catch Them All’  memberi pendedahan terhadap kepentingan mikrob dalam industri bioteknologi bagi menarik minat generasi muda untuk mendalami bidang yang ditawarkan oleh UMP. 

Hadir dalam program Penolong Naib Canselor, Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat UMP, Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin, Pengetua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuantan, Mohd Zaki Ab. Rashid, Dekan FSTI, Ts. Dr. Saiful Kamaluddin Muzakir@Lokman dan Pengarah Program, Dr. Hajar Fauzan Ahmad. 

Program  SULAM UMP dedah kepentingan mikrob dalam industri bioteknologi

Menurut Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina, pada awal tahun 2020, wabak COVID-19 telah memberi kesan kepada ekonomi, kesihatan dan kehidupan penduduk bukan sahaja di Malaysia malahan juga di seluruh dunia. 

“Virus SARS-CoV-2 sebesar 0.1 mikrometer inilah yang menjadi punca wabak COVID-19 melanda. 

“Walau bagaimanapun, sesetengah daripada kita tidak menyedari peranan penting yang telah lama dimainkan oleh mikrob dalam aktiviti seharian kita,” katanya. 

“Selain itu, dalam industri bioteknologi, mikrob diguna pakai dengan intensif di setiap peringkat, sama ada digunakan untuk pengeluaran barangan seperti makanan, vaksin dan juga turut digunakan dalam operasi penapaian berskala besar yang menghasilkan pengeluaran bahan mentah seperti bioetanol yang boleh digunakan sebagai tenaga boleh diperbaharui,” ujarnya. 

Program  SULAM UMP dedah kepentingan mikrob dalam industri bioteknologi

Tambahan pula katanya, mikrob juga turut menyumbang kepada ekologi dan kepelbagaian alam semula jadi. 

“Hasilnya, beberapa teknik analisis mikrob telah dibangunkan untuk memberikan pemahaman yang lebih mendalam tentang tujuan dan kepentingan mikrob yang mengelilingi kita,” jelas beliau. 

Program itu juga memberi peluang pelajar UMP menjalankan program khidmat komuniti dengan menganjurkan aktiviti bersama pelajar sekolah bagi meningkatkan keupayaan mereka mendalami ilmu berkaitan mikrob sehingga ke peringkat genom. 

Program  SULAM UMP dedah kepentingan mikrob dalam industri bioteknologi

Melalui inisiatif itu juga, pelajar sekolah didedahkan tentang kepentingan proses penjujukan bagi memahami keupayaan sesuatu mikrob dalam menjalankan fungsi-fungsinya. 

Program SULAM merupakan satu kaedah pengajaran dan pembelajaran yang menggabungkan objektif pembelajaran kursus dengan khidmat komuniti yang melibatkan pelajar berinteraksi dengan komuniti bagi menyelesaikan permasalahan setempat dengan menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang mereka pelajari di bilik kuliah.

Turut diadakan taklimat penjujukan genom bakteria oleh pelajar, sesi demonstrasi dan  pameran mikrob di reruai sekitar dewan sekolah.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Haji Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit