Skip to main content

Ubah persepsi terhadap kerjaya jurutera - Ts. Rozainah Ibrahim

PEKAN, 27 Jun 2021 – Mengikuti pengajian program kejuruteraan di institusi pengajian tinggi (IPT) tidak bermakna pelajar akan menjadi jurutera semata-mata.

Ada dalam kalangan graduan mengukir kerjaya dalam aspek perniagaan yang berkaitan dengan bidang kejuruteraan sehingga berjaya memikul tanggungjawab yang lebih besar dengan gaji yang lumayan.

Adakah benar jurutera merupakan profesion yang bermanfaat dan menyeronokkan kerana ia turut memberi kesan yang besar terhadap dunia?

Banyak persoalan berlegar-legar buat calon pelajar lepasan sekolah yang masih ragu-ragu memilih bidang ini.
Malah, sejak kebelakangan ini, media arus perdana giat membincangkan kerjaya sebagai jurutera sebagai scam.

Menurut alumni Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Awam (2010) dan Diploma Kejuruteraan Awam (2007), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Ts. Rozainah Ibrahim, kerjaya sebagai seorang jurutera bukanlah satu scam.

“Bidang kejuruteraan ini sangat luas dan mempunyai pelbagai peluang dan potensi untuk diterokai.

“Ijazah kejuruteraan tidak hanya mengajar menjadi jurutera yang hebat tetapi juga sebagai pengurus, peniaga dan usahawan.

“Saya sendiri walaupun bergraduat dalam bidang Kejuruteraan Awam namun kini saya berkhidmat sebagai Ketua Pembangunan Perniagaan dan Korporat di CIDB IBS Sdn. Bhd.,” katanya.

Jelas beliau lagi, pelajar seharusnya lebih berfikiran terbuka dan memandang kepada perspektif yang lebih meluas dan tidak hanya berfokuskan kepada jawatan semata-mata namun sebaliknya terhadap bidang itu sendiri.

“Laluan kerjaya sebagai jurutera ini sangat luas dan bergantung kepada diri kita sendiri untuk mencorakkannya, namun hendaklah selari dengan sikap, kemahiran dan kemahiran insaniah.

“Siswazah baharu hendaklah mempunyai nyala rasa dan tidak boleh terlalu memilih terutamanya dengan keadaan dunia masa kini,” katanya.

Alumni Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Kimia (2018) yang kini merupakan seorang Jurutera Proses, Sivanesh Kumar a/l Anpalagam berkata, walaupun hakikatnya gaji yang diterima jurutera tidak banyak berubah sejak 20 tahun yang lalu iaitu purata antara RM2,200 sehingga RM2,500, namun ia berbaloi dalam keadaan sukar mendapatkan pekerjaan dalam situasi ekonomi sekarang.

“Industri di Malaysia lebih cenderung untuk menggunakan tenaga kerja dari luar yang tidak mempunyai permintaan yang tinggi berbanding warga tempatan.

“Namun, bidang kejuruteraan amatlah relevan untuk pelajar yang ingin menyambung pengajian kerana peluang kerjaya yang amat banyak dan UMP menyediakan kursus yang secukupnya berkaitan bidang kejuruteraan,” ujar Sivanesh yang berkhidmat di Malay Sino Chemical Industries Sdn. Bhd.

Manakala alumni Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Mekanikal (2008), Mohd Hazaruddin Muhammad yang kini merupakan Pengurus Keboleharapan dan Pengurusan Aset BASF Petronas Chemicals Sdn. Bhd. menasihatkan agar graduan menerima apa sahaja tawaran kerja walaupun gaji yang ditawarkan agak rendah bagi menimba pengalaman.

“Sekiranya ingin mendapatkan gaji yang lebih tinggi, kamu boleh mencari pekerjaan baharu namun hendaklah mempunyai hala tuju dan fokus yang jelas dan merancang untuk tempoh tertentu.

“Ia penting bagi memastikan kamu mahir dan berpengalaman dalam bidang tertentu sebagai nilai terbaik buat diri sendiri,” katanya.

Selain itu juga, pelajar perlu memperoleh purata nilai gred kumulatif (PNGK) yang baik agar tidak ketinggalan sewaktu ditemu duga kelak.

Bakal graduan juga seharusnya meningkatkan kebolehan diri melalui program-program peningkatan kemahiran atau kemahiran baharu yang ada di universiti mahupun melalui agensi kerajaan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan.

Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal melanjutkan pengajian juga tidak perlu takut untuk mencuba sesuatu perkara baharu namun haruslah mempunyai minat dan kecenderungan untuk meneroka sesuatu bidang.

Sesi Santai Alumni Siri Ke-5 yang bertajuk ‘Kerjaya Jurutera Satu Scam’ secara dalam talian itu dianjurkan Pusat Perhubungan Alumni dan Kebolehpasaran Graduan dengan kerjasama Persatuan Alumni UMP melalui media sosial Facebook UMP Malaysia bagi mengupas dengan lebih terperinci berhubung isu hangat yang kian mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat.

Ia dikendalikan oleh moderator, Mohd Nazarni Che Isa yang merupakan alumni UMP dan pensyarah sambilan di UMP.

Disediakan Oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim