Skip to main content

UMP kenang jasa pesara galak sumbang kepakaran dan kemahiran

PEKAN, 16 Disember 2022 - Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yusserrie Zainuddin menggalakkan pesara UMP untuk menggunakan segala kemahiran, kepakaran dan pengalaman yang diperoleh semasa berkhidmat di universiti untuk terus menyumbang kepada masyarakat.
 
Katanya, kelebihan ini boleh menjadikan aset buat mereka untuk terus aktif dan menyumbang terutamanya kepada masyarakat melalui kegiatan badan bukan kerajaan (NGO) atau lain-lain platform yang sesuai untuk terus berbakti.

UMP kenang jasa pesara galak sumbang kepakaran dan kemahiran

 
“Sebagai penjawat awam yang sedang berkhidmat seharusnya akur dengan satu hakikat bahawa persaraan merupakan suatu proses yang perlu dilalui apabila tiba masanya nanti, tidak kira sama ada pendek atau panjang tempoh perkhidmatan,” ujarnya dalam Majlis Jasa DiKenang.

Majlis tersebut telah berlangsung di Dewan Bankuet, Canseleri Tun Abdul Razak, UMP Pekan bagi meraikan seramai 22 staf dan waris yang bersara dari pelbagai jabatan dan jawatan.

UMP kenang jasa pesara galak sumbang kepakaran dan kemahiran

Ujar beliau lagi, daripada jumlah tersebut, seramai 12 orang warga UMP telah bersara wajib, enam orang bersara pilihan, seorang bersara atas sebab kesihatan dan tiga orang telah meninggal dunia dalam perkhidmatan pada tahun 2022.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pesara dan waris serta mengharapkan kemudahan Kad Korporat Alumni UMP yang diberikan  dapat memberi manfaat yang besar kepada semua pesara dan waris terutama dalam kemudahan kesihatan,” katanya. 
 
Berkongsi kejayaan universiti baru-baru ini, menurutnya UMP kini berada pada kedudukan 103 berbanding 128 pada tahun 2021 dalam penarafan UI Greenmetric World University Rankings 2022.

Katanya, penilaian itu dibuat melalui enam kriteria utama iaitu infrastruktur, tenaga dan perubahan cuaca, sisa buangan, air, pengangkutan dan pendidikan memperlihatkan pencapaian UMP memperoleh markah secara keseluruhannya kepada 8200 berbanding 7650 pada tahun 2021 sekali gus meletakkan UMP di kedudukan ke-5 di Malaysia dan pertama dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

“UMP kini terus mengorak langkah dengan mengekalkan pelbagai aspek kecemerlangan dan mendapat pelbagai pengiktirafan daripada pelbagai pihak atas usaha semua warga UMP.

“Pencapaian semua ini tidak akan dicapai tanpa komitmen, sumbangan dan kerjasama semua warga UMP termasuk yang kita raikan pada hari ini.

Dalam majlis tersebut juga, Profesor Madya Dr. Ainol Hayati Ibrahim turut menyampaikan ucapan mewakili pesara yang hadir dan merakamkan penghargaan terima kasih atas segala keprihatinan universiti sepanjang berkhidmat.
 

UMP kenang jasa pesara galak sumbang kepakaran dan kemahiran

Manakala menurut salah seorang pesara, Profesor Madya Dr. Norazura Ismail yang telah berkhidmat 11 tahun di UMP telah memilih untuk bersara awal bagi memberi fokus kepada penjagaan ibubapanya. 

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pengurusan UMP yang telah memberi peluang sepanjang tempoh perkhidmatannya di UMP.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri.

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris