Skip to main content
UMP Perkenal Program Khas Pemantapan Bakat Buat Warga Kerja

UMP Perkenal Program Khas Pemantapan Bakat Buat Warga Kerja

Kuantan, 17 September- Dalam usaha menyediakan pelan pembangunan bakat yang sistematik, Universiti Malaysia Pahang (UMP) memperkenalkan Program Khas Pemantapan Bakat Pengurusan dan Profesional (Pentadbiran) buat warga kerja universiti ini bagi mengikuti pengajian program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA)  secara  separuh masa yang ditawarkan mulai sesi akademik 2019/2020.

Ketua Pegawai Operasi merangkap Pendaftar UMP, Prof. Madya Dr Mohd. Ridzuan Darun berkata, usaha mensarjanakan staf melalui program khas ini dapat meningkatkan kompetensi dan keupayaan pengetahuan dengan lebih luas dalam bidang pengurusan di peringkat profesional terutamanya berdepan dengan cabaran teknologi semasa terutamanya di era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

“Ianya dapat meningkatkan kualiti dan standard pengurusan pentadbiran staf yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan pengalaman bagi menerajui kecemerlangan pentadbiran yang mapan. Usahasama program ini melibatkan Bahagian Sumber Manusia Jabatan Pendaftar, Fakulti Pengurusan Industri (FIM) dan Institut Pengajian Siswazah (IPS),” katanya.

Ujarnya, pihak universiti sentiasa membangunkan kumpulan bakat yang kompeten dan berpengetahuan luas dalam memastikan urus tadbir universiti berada pada tahap kecekapan yang tinggi. Mereka ini juga akan menjalankan kursus projek dalam pengajian yang memfokuskan kepada peningkatan inovasi dalam kerja yang dapat memberi manfaat kepada universiti  dalam penyelesaian isu dan penambah baikan scara berterusan.

Dalam pada itu seramai 13 staf hadir pada hari pendaftaran bagi mengikuti program di bawah FIM ini baru-baru ini. Hadir sama Dekan Institut Pengajian Siswazah (IPS), Prof. Dato’ Dr Hasnah Harun, Dekan FIM, Dr. Fazeeda Mohamad dan Ketua Ketua Program MBA, Dr. Suhaidah Hussain.

Bagi Dr. Suhaidah, program MBA UMP ini mendapat akreditasi daripada Alliance on Business Education and Scholarship for Tomorrow (ABEST21) dan kurikulum yang dibangunkan mempunyai elemen analitis perniagaan, kombinasi di antara perniagaan dan kejuruteraan, penekanan etika dan governan serta penyelesaian permasalahan. Ianya juga telah mendapat akreditasi penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada tahun 2015.

Pihaknya juga menawarkan program MBA dalam dua mod pengajian iaitu sepenuh masa atau secara sambilan memberikan peluang yang fleksibel bagi pelajar yang bekerja untuk menyambung pelajaran secara sambilan. Di samping penawaran 10 kursus teras, program ini dianggap unik kerana pelajar juga turut akan mengambil dua kursus projek penyelidikan yang memberikan peluang kepada pelajar untuk menyelesaikan kajian kes di syarikat atau menjalankan kajian dalam bidang akademik.   

UMP juga bekerjasama dengan universiti luar yang menawarkan program MBA dalam memberikan pendedahan yang berbeza melalui kajian kes antarabangsa. Ianya termasuklah rakan kerjasama dengan universiti di Indonesia seperti Andalas University, Binus University dan Universitas Telkom manakala Amasya University (Turki), Hochschule Reutlingen University (Jerman) dan GRG School of Management Studies (India).

Untuk maklumat lanjut mengenai program MBA UMP layari laman sesawang https://ips.ump.edu.my atau menghubungi talian 09-5493253 dan email kepada mba@ump.edu.my/suhaidahhussain@ump.edu.my.

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri