Skip to main content

UMP terima pengiktirafan SEDA bagi Kecekapan Tenaga

Kuantan, 13 Disember- Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima pengiktirafan One Diamond bagi Penilaian Karbon Rendah Bangunan daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), baru-baru ini. Kejayaan itu menjadikan UMP sebagai universiti pertama di negara ini menerima pengiktirafan ini yang diberikan kepada organisasi yang berjaya membuktikan kemampuan dalam melaksanakan usaha penggunaan tenaga elektrik yang efisien, penggunaan tenaga boleh baharu dan mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida.

Inisiatif 'amalan hijau' dalam kalangan masyarakat Malaysia amat digalakkan terutamanya melalui pelaksanaan 'kecekapan tenaga' dalam mengurangkan peningkatan penggunaan tenaga. ‘Kecekapan tenaga' adalah matlamat penggunaan tenaga secara berkesan dan optimum, sekali gus dapat mengurangkan pembaziran.

Antara amalan 'kecekapan tenaga' yang boleh dilaksanakan ialah menukarkan peralatan elektrik kurang cekap kepada cekap tenaga, mengurangkan bebanan ke atas peralatan mekanikal kerana ia memerlukan tenaga lebih untuk berfungsi, menaik taraf sistem bumbung dan penebat haba bangunan, memiliki sistem saluran keluar masuk udara baik, dan menggunakan sistem kawalan jimat-tenaga untuk semua peralatan elektrik.

Ketua Kumpulan Energy Focus Group UMP, Professor Ir. Dr. Hassan Ibrahim berkata, kecekapan tenaga kerap dikaitkan dengan penggunaan tenaga minimum dalam menyempurnakan kerja tertentu serta dapat meningkatkan peluang penjimatan dan mengelak pembaziran. Dengan mengaplikasikan konsep penjimatan tenaga, ianya melibatkan tiga kategori iaitu penjimatan tenaga dengan tiada kos, kos rendah dan kos tinggi.

“Sehingga kini UMP hanya mengaplikasikan penjimatan tenaga melalui konsep tiada kos dan kos rendah. UMP berjaya mengurangkan penghasilan karbon dioksida sebanyak 7.89 peratus bersamaan 883.87 tan matrix karbon dioksida dan penjimatan tenaga elektrik sebanyak 1,273,585 kWh di UMP Kampus Pekan. Ianya hasil kesedaran warga kampus dalam menjimatkan pengggunaan tenaga di dalam kampus selain memupuk sikap dan disiplin warga tentang kepentingan kelestarian tenaga,” katanya.

Dalam memastikan kelestarian tenaga, Unit Kelestarian dan Penghijauan Kampus diwujudkan di bawah Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH) untuk memastikan pengurusan tenaga di UMP dapat diuruskan secara lestari selari dengan hasrat universiti. 

Intiatif lain yang turut diaplikasikan di UMP adalah dengan pemasangan Building Automation System (BAS), penukaran lampu kepada lampu jenis jimat tenaga, pemasangan sensor di setiap tandas, pemasangan pemasa di setiap laluan susur gajah, pemasangan "master switch" di bangunan-bangunan besar dan juga pemasangan solar di bangunan pentadbiran UMP.

UMP juga mengambil initiatif dalam pengurusan tenaga melalui penetapan suhu penghawa  dingin  kepada 24 Celcius, dan penetapan suhu ini membolehkan penggunaan tenaga lebih jimat tanpa menjejaskan keselesaan pengguna. Universiti telah memulakan initiatif pengurusan dan penjimatan tenaga sejak tahun 2012 dan sehingga kini sebanyak 25 inisiatif Kecekapan Tenaga dan Tenaga Boleh Baharu dilaksanakan bagi mengurangkan penghasilan karbon dioksida di kampus UMP Pekan.

Usaha ini turut menyumbang terhadap pencapaian universiti dalam penarafan UI-GreenMetric World University Ranking 2019 yang diterbitkan baru-baru ini apabila UMP disenaraikan pada kedudukan ke-76 terbaik dunia berdasarkan usaha meles­tarikan kampus dan pengurusan alam sekitar  berdasarkan  6 kriteria utama iaitu Infrastruktur Setting & Infrastructure, Energy & Climate Change, Waste, Water, Transportation dan Education.

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim