Skip to main content

UMP Tubuh Institut Tamadun dan Kajian Strategik

KUALA LUMPUR, 4 Disember 2020 – Universiti Malaysia Pahang (UMP) menubuhkan Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS) yang akan berperanan sebagai pusat kajian strategik bagi mendokong agenda pembangunan dan mengoptimumkan potensi dalam pelbagai aspek terutamanya di Negeri Pahang.

Bagi tujuan ini, beberapa siri perbincangan telah mula dilaksanakan dan universiti akan membangunkan pelan strategik institut ini dalam masa terdekat.

Sesebuah negara dan bangsa yang berdaulat pastinya mempunyai sejarah yang hebat. 

Oleh itu, sebagai bangsa yang berdaulat, kita perlu mengetahui sejarah dan tamadun, menghayati dan mengambil teladan daripada sejarah dalam negara sebagai peninggalan warisan untuk generasi akan datang.

Menurut Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz, institut ini juga akan melihat perkembangan teknologi, pendigitalan dan kepintaran buatan (artificial intelligence) yang membawa cabaran baharu termasuklah internet benda (internet of things) dan analitik data raya (big data analytics) bersesuaian dengan Revolusi Perindustrian (IR 4.0). 

“Pembangunan ini turut merangkumi penyelidikan dalam aspek ketamadunan, kajian strategik bagi pemetaan dan pembangunan hub teknologi pelbagai disiplin sekitar Pekan dan Paya Besar bersesuaian dengan kedudukan UMP dalam koridor pusat perkembangan ilmu di negeri Pahang,” katanya dalam satu pertemuan khas bersama pensyarah UMP di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan aspirasi tentang penubuhan ITKAS sebagai satu institut yang bertanggungjawab untuk menggali dan meneroka potensi pembangunan untuk kesejahteraan rakyat di negara ini di bawah naungan pemerintahan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir dalam perbincangan ialah Pendaftar UMP, Profesor Madya Dr. Mohd Ridzuan Darun bersama pensyarah daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain dan Profesor Dr. Badaruddin Mohamad dan Shahrill Sabarudin daripada Universiti Sains Malaysia (USM).

Turut sama hadir, Profesor Madya Dato’ Dr. Wan Ahmad Fauzi Hashim@Wan Husain dan Dr. Suhaidah Hussain daripada Fakulti Pengurusan Industri, UMP.

 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit