Skip to main content

Wacana ilmu dedah teknologi dron di Malaysia

PEKAN, 15 Ogos 2023 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengadakan program wacana ilmu yang  bertajuk ‘Teknologi Dron di Malaysia: Bersediakah Kita?’. 

Program anjuran Jabatan Penyelidikan dan Inovasi itu merupakan langkah proaktif universiti dalam mendalami pengetahuan mengenai horizon baharu teknologi dron terhadap sektor pembangunan ekonomi di dalam negara. 

Wacana ilmu itu disampaikan khas oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Aerodyne Group, Tuan Kamarul A Muhamed.

Aerodyne Group ialah sebuah syarikat peneraju perkhidmatan dron yang terkemuka di dunia dan perintis dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI) tempatan. 

Program dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato' Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman. 

Turut sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli dan Ketua Pegawai Operasi/Pendaftar UMPSA, Dato' Saiful Bahri Ahmad Bakarim.

Dalam ucapannya, Tan Sri Dato' Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman menekankan kepentingan untuk mendalami perspektif baharu mengenai teknologi dron khususnya kepada golongan penyelidik di dalam universiti untuk diaplikasikan di dalam kajian dan penyelidikan mereka. 

Wacana ilmu dedah teknologi dron di Malaysia

Turut diadakan perbincangan dalam menerokai ruang kerjasama bagi mendalami ilmu baharu dan memartabatkan industri teknologi dron di Malaysia dengan melahirkan lebih ramai teknologis dan juruteknik mahir dalam bidang teknologi dron. 

Menurut Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz, usaha ini adalah seiring dengan kepesatan penggunaan dron dalam pelbagai industri terutama dalam bidang pertanian, media kreatif dan lain-lain aplikasi serta data analitik pada masa ini.

“Selain itu, UMPSA akan mengadaptasi penggunaan dron ini termasuklah bekerjasama dengan industri sekitar Gebeng bagi meningkatkan kebolehcapaian terhadap menyediakan penyelesaian komersial seperti sektor pertanian, pembinaan, infrastruktur, telekomunikasi, perlombongan dan banyak lagi.

“Selain itu, sinergi antara kedua-dua pihak ini akan membolehkan universiti memainkan peranan dalam memanfaatkan teknologi untuk masyarakat seiring dengan Pelan Strategik UMPSA 2021-2025 bagi membangunkan penyelesaian yang paling inovatif serta berkesan,” ujarnya. 

Sementara itu, Tuan Kamarul turut berkongsi kejayaan sebagai perintis dalam bidang ini khususnya perkhidmatan dron dan pengurusan data di dalam bidang DT3 (Drone Technology, Data Technology & Digital Transformation).

Beliau memberi penekanan terhadap 4 perkara penting termasuklah ekosistem yang kondusif (conducive tech ecosystem), mendalami teknologi masa depan (deep tech of the future), misalannya ilmu teknologi quantum, mendapatkan bakat terbaik (world class talents) dan mempunyai aspirasi global untuk berjaya (global aspirations). 

Beliau turut menasihatkan para pelajar agar sentiasa menggunakan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif bagi meningkatkan keupayaan untuk berkembang maju. 

Katanya, we do the right things, think differently. 

“Kreativiti boleh menghasilkan inovasi iaitu idea atau cara untuk menambah baik proses agar lebih efektif dan berkesan atau lebih menarik.

“Melalui inovasi juga, kita perlu menggunakan minda kreatif dan daya imaginasi yang tinggi. 

“Kedua-dua elemen ini sangat diperlukan untuk membawa negara ke arah kemajuan dan berdaya saing,” ujar beliau. 

Wacana ilmu dedah teknologi dron di Malaysia

Aerodyne Group bermula dengan hanya tiga orang pekerja sahaja dan sehingga kini ia telah berkembang dan mempunyai lebih 1,000 orang kakitangan. 

Malah syarikat ini telah berjaya mengembangkan keupayaannya di peringkat global apabila mempunyai pejabat di Australia, Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Indonesia, United Kingdom (UK) dan Denmark.

Seramai 100 orang warga universiti yang terdiri dalam kalangan penyelidik dan juga pelajar hadir ke program perkongsian ilmu ini.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Haji Abdul Wahit dan Nur Ainaa Adhreena Muhammad Syukri, Pusat Komunikasi Korporat. 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit