Skip to main content

FTKPM Senior Project Showcase pamer 146 projek penyelidikan

PEKAN, 21 Jun 2023 – Prihatin dengan masyarakat yang berkecimpung dalam aktiviti pengeringan produk perikanan telah memberikan idea kepada dua orang pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) menghasilkan inovasi tempat pengeringan rumah solar yang dilengkapi dengan pemanas tambahan dalam projek penyelidikan yang bertajuk “Go Green Dryer Prototype for Agriculture and Marine Product”.

Lebih menggembirakan produk tersebut telah dinobatkan sebagai Projek Terbaik bagi Engineering Technology Senior Design Project (SDP) dalam FTKPM Senior Project Showcase anjuran Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM) yang berlangsung di Dewan Serbaguna UMP Pekan.

Mohammad Iqmal Haqim Mohd Najib, 24 dan rakannya Muhamad Hazman Shahrul Fadhilah, 24 terharu apabila produk mereka berjaya menambat hati juri.

Ujar Mohammad Iqmal Haqim, inovasi tempat pengeringan rumah solar ini dihasilkan bagi membantu masyarakat dalam menghasilkan produk ikan masin dengan lebih mudah dan lebih bersih.

“Produk ini turut dilengkapi dengan pemanas tambahan dengan hanya menggunakan teknologi solar bagi membantu proses pengeringan dengan kualiti yang baik, walaupun ketika hujan dan waktu malam,” katanya.

Beliau mengharapkan inovasi ini dapat membantu pengusaha produk ikan masin untuk menghasilkan ikan masin yang lebih berkualiti.

Manakala Sauntheri a/p Muniandy, 20 yang meraih anugerah Projek Terbaik bagi Integrated Design Project (IDP) menerusi hasil penyelidikan yang bertajuk “Development of Multifunctional Car Cup Holder” turut tidak menyangka memenangi anugerah ini.

Ujarnya, inovasi ini mampu memberi kemudahan kepada pengguna kenderaan sebagai pemegang cawan atau botol dalam pelbagai saiz serta dapat digunakan sebagai tempat letak kad dan kunci.

Hadiah disampaikan oleh Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), FTKPM, Ts. Dr. Muhammed Nafis Osman Zahid.

Dalam ucapannya, beliau mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada pelajar yang berjaya mempamerkan 146 projek penyelidikan.

“Ada dalam kalangan juri ini merupakan alumni UMP yang dilantik untuk memberi penilaian kepada projek pelajar dan mereka juga berpeluang berkongsi pengalaman.

“Program ini dapat memberikan pengalaman baharu kepada pelajar membuat persiapan untuk menyertai pertandingan pameran penyelidikan pada peringkat yang lebih tinggi.

“Justeru, program ini dilaksanakan sama seperti pertandingan penyelidikan sebenar agar pelajar dapat menimba pengalaman dalam segi pameran poster, teknik pembentangan dan lain-lain.

Program yang julung kali diadakan secara bergabung antara kursus membabitkan Integrated Design Project, Final year Project dan Engineering Technology Senior Design Project ini juga banyak memberi kelebihan dan manfaat buat pelajar untuk terus berinovasi.

Lebih menarik program turut dihadiri oleh pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Indera Shahbandar, Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan, Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Pekan, MRSM TAR Pekan dan Sekolah Menengah Al-Irsyad.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris