Skip to main content

Pemilihan MPP UMP berjaya dilaksanakan dalam norma baharu

PEKAN, 15 Januari 2021 –Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP), Universiti Malaysia Pahang (UMP) berjaya dilaksanakan dalam norma baharu pada saat negara dilanda pandemik Covid-19.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Majlis Pemilihan Pelajar (MPP) Sesi 2020/2021, Che Muhammad Harith Ab Halim, pihaknya berterima kasih kepada semua pihak dalam memastikan proses pengundian dapat dijalankan dengan baik walaupun berdepan cabaran yang besar yang telah berjaya harungi.

“Sejujurnya kita dapat lihat sambutan PMPP kali ini agak kurang memberangsangkan disebabkan situasi banjir dan penularan Covid-19. 

“Tambahan pula buat julung kalinya, PMPP kali ini diadakan sepenuhnya secara maya termasuk hari penamaan calon dan pengundian,” katanya.

Beliau turut berkongsi pengalaman dalam menguruskan PMPP dalam norma baharu ini. 

Ujarnya, cabaran paling besar yang ditempuhi iaitu masalah teknikal kerana semuanya dijalankan secara dalam talian.

“Terdapat kelengkapan daripada segi sistem dan media yang harus dititikberatkan. 

“Selain itu, dengan situasi banjir ini turut mengehadkan pergerakan jawatankuasa ke kampus untuk membuat persiapan dan menyelenggara sistem,” katanya. 

Beliau turut mengucapkan tahniah dan menasihati kepada semua calon yang berjaya agar dapat menjalankan tanggungjawab dengan seikhlas hati dan letakkan mahasiswa sebagai yang terutama dalam menjalankan tugas sebagai perwakilan pelajar.

Pada pemilihan kali ini, seramai 30 calon bertanding bagi mengisi kuota 13 kerusi umum dan 27 kerusi fakulti. 

Proses pengundian bagi mengisi kerusi fakulti hanya berlaku di dua kawasan iaitu Fakulti Pengurusan Industri (FPI) dan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal manakala lapan buah fakulti calonnya diisytihar menang tanpa bertanding.

FPI telah dimenangi oleh Mohammad Azrul Hamim Mohd Azhar dengan undian sebanyak 452 dan Basnel Marjonni Basri dengan mendapat undian sebanyak 434. 

Jabatan Kejuruteraan Mekanikal pula dimenangi oleh Syafiq Ahmad Abdul Aleem dengan undian sebanyak 151 dan Muhammad Muadz Khairul Rizan dengan undian sebanyak 141.

Manakala bagi yang menang tanpa bertanding iaitu Fakulti Komputeran (FK) dimenangi oleh Siti Nor Aisyah Md Zawai. Bagi Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) pula dimenangi oleh Kong Heng Leong dan Wan Nur Ardini Che Wan Shamsul Akhbar.
 
Manakala Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) dimenangi oleh Vighna A/L Muthusamy. Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) dimenangi oleh Wan Nurfaris Iskandar Wan Aznan. Manakala Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) dimenangi oleh Muhammad Ammar Fakhri Adnan
 
Seterusnya, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM) dimenangi oleh Muhamad Hazman Shahrul Fadhilah. Jabatan Kejuruteraan Elektrik dimenangi oleh Amir Zuhaili Abdul Karim dan Hafizul Fahim Moh Roffi. Ini diikuti dengan Jabatan Kejuruteraan Kimia pula dimenangi oleh Nurhidayah Norhazandi dan Dura Amira Noor Azmi.
 
Sebanyak 13 kerusi umum telah dimenangi tanpa bertanding yang terdiri daripada Mohd Asraf Andman, Mohd Amirul Ikhmal Yoda, Muhammad Arif Hakim Mohd Hanafi, Agha Khilfi Suarno, Adam Alif Mihar, Muhammad Hisyamuddin Abdul Aziz, Saiyidatul Marsyitah Aisyah Suhaime, Nur Shazwanie Zainurin, Qosrina Abdullah, Kaiyisah Khairah Hasri, Nurul Aina Jamaluddin, Nur Zarith Halisa Mohamad Sofi dan Mohamad Irfan Zainuddin.

Empat lagi yang tidak bertanding kerana tiada penyertaan ialah dari Institut Pengajian Siswazah (IPS), Pusat Sains Matematik (PSM), Jabatan Kejuruteraan Awam dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia & Proses (FTKKP).

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
 

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris