Skip to main content

3 pingat milik UMP dalam Kejohanan Sukan SUKUM 2022

SERDANG, 27 September 2022 – Universiti Malaysia Pahang (UMP) membawa pulang dua pingat emas dan satu pingat gangsa dalam Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) 2022 di Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini.

Atlet berbasikal UMP, Profesor Madya Dr. Mohd Fakhrurrazi Ishak, 47, berjaya mengharumkan nama UMP dengan memenangi dua pingat emas dalam acara Lumba Basikal Road Bike (RB) Lelaki (VIP) dan acara lumba Basikal Bukit (MTB) - lelaki kategori VIP.

Beliau yang merupakan pensyarah di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) itu berkata, pihaknya amat bersyukur dan usahanya berlatih berbaloi dengan kejayaan ini apabila berjaya menghadiahkan kejayaan meraih emas untuk UMP.   

3 pingat milik UMP dalam Kejohanan Sukan SUKUM 2022

Tambahnya, pada SUKUM 2018, beliau hanya meraih pingat perak pada acara sukan yang sama.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan universiti yang sentiasa memberi dorongan dan jurulatih iaitu Aminudin Sulaiman yang juga merupakan bekas jurulatih kebangsaan yang banyak memberi tunjuk ajar selama ini.

“Pada awalnya, saya berasa agak goyah apabila melihat atlet dari universiti lain yang masih muda. 

“Namun, alhamdulillah kali ini kemenangan berpihak kepada saya,” ujarnya. 

Beliau mengharap pada masa akan datang, UMP akan dapat melahirkan lebih ramai atlet berbasikal dan mengekalkan kecemerlangan dalam acara sukan berbasikal. 

Acara sukan berbasikal pada kali ini telah disertai seramai 12 atlet yang mewakili UMP.

Bagi acara lumba Basikal Road Bike (RB) Lelaki (VIP), beliau dapat menandingi atlet dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan catatan masa 52:38.79 saat dalam perlumbaan sejauh 27 kilometer.

Manakala acara lumba Basikal Bukit (MTB), beliau dapat menandingi atlet dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dengan catatan masa 52:59.70 saat dalam perlumbaan sejauh 18 kilometer.

3 pingat milik UMP dalam Kejohanan Sukan SUKUM 2022

Selain acara berbasikal, pasukan Futsal memperoleh pingat gangsa berkongsi bersama  Universiti Malaysia Sabah (UMS) selepas ditewaskan oleh pasukan Universiti Utara Malaysia (UUM) di peringkat Separuh Akhir SUKUM 2022 di Gelanggang Futsal Sport Arena UNITEN, Bangi.

Skuad Pasukan Futsal UMP itu dikendalikan oleh pensyarah FTKA, Dr. Abdul Syukor Abd Razak merangkap Pengurus Pasukan Futsal UMP  dengan dibantu jurulatih pasukan, Wan Suratman Adnan Wan Roslee.

Bagi acara Futsal, UMP telah memenangi johan Kumpulan B dengan 7 mata iaitu keputusan perlawanan dalam Kumpulan B; UMP menang melawan UTM dengan 5 - 0, seri melawan UM dengan 1 - 1 dan menang melawan KPT dengan 6 – 1 sehingga melayakkan pasukan futsal UMP ke peringkat separuh akhir.

Kapten Pasukan Futsal UMP, Shaharul Anuar Ismail berkata, pemain telah sedaya upaya untuk ke peringkat akhir, cuma rezeki kami hingga ke semi final ini sahaja. 

“Walau bagaimanapun, ia telah menyuntik  satu semangat waja yang tidak pernah luntur untuk kami terus bersemangat membawa pulang pingat dan mengharumkan nama UMP. 

Dalam pada itu, Naib Canselor UMP, Profesor Dato' Ts. Dr. Yuserrie Zainudin mengucapkan tahniah dan terima kasih atas komitmen para atlet yang telah menyumbang pingat dalam mengharumkan nama UMP. 

Kejohanan menyaksikan Pendaftar UMP, Saiful Bahri Ahmad Bakarim sebagai Chef De Mission manakala Timbalan Pendaftar Kanan, Abd. Rahman Haji Safie adalah Timbalan Chef De Mission.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri. 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris