Skip to main content

Larian UMPSA Bridge Run meriah tarik minat lebih 2000 peserta

PEKAN, 2 September 2023 - Lebih 2,000 peserta menyeberangi Jambatan Sultan Abu Bakar Pekan dalam program UMPSA Pekan Bridge Run 2023 sempena Sambutan 21 Tahun dan penjenamaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang berlangsung baru-baru ini. 

Berangkat sama menyempurnakan pelepasan larian ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang turut menyertai larian sejauh 5 KM. 

Larian UMPSA Bridge Run meriah tarik minat lebih 2000 peserta

Hadir dalam program  Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni),  Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed. 

Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, program larian ini juga memperkenalkan Bandar Pekan yang juga terkenal dengan jolokan Bandar Diraja. 

Larian UMPSA Bridge Run meriah tarik minat lebih 2000 peserta

“Terdapat dua kategori larian iaitu lima kilometer dan sepuluh kilometer.

“Laluan  bermula dari Hotel Ancasa dan kemudiannya melalui Jambatan Sultan Abu Bakar ke bandar Pekan.

“Sudah pasti laluannya lebih menarik yang memberi peluang  para peserta berlari sambil menikmati keindahan dan keharmonian Bandar Diraja serta sekitar di sepanjang laluan,” katanya. 

Lebih bermakna penganjuran program ini juga turut menyemarakkan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia serta memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan warga UMPSA dan masyarakat  setempat.

Larian UMPSA Bridge Run meriah tarik minat lebih 2000 peserta

Berkonsepkan ‘fun run’  penganjuran program  ini sebagai salah satu usaha meneruskan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) sekali gus membantu mempromosikan Bandar Pekan sebagai salah satu destinasi pelancongan di negeri Pahang Darul Makmur.

Beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak rakan kolaborasi strategik iaitu pihak Kementerian Perpaduan atas sokongan dalam menjayakan program ini. 

Turut sama pihak UMW, UMP Advanced, UMP Holdings, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Adun Peramu Jaya, Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. (Adabi), Extrajoss dan lain-lain pihak yang telah memberi tajaan dan sumbangan dalam menjayakan program pada kali ini. 
Program turut disertai  para pelajar sekolah menengah, institusi pengajian tinggi (IPT), atlet, pecinta kecergasan dan komuniti setempat untuk  bersama-sama memeriahkan program ini. 

Ia juga merupakan sebahagian daripada aktiviti penjenamaan universiti dan sempena Sambutan Ulang Tahun UMP Ke-21 dan  menyokong agenda matlamat pembangunan mampan (SDG) serta menilai usaha universiti dalam menangani masalah dunia berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Turut berlangsung acara pameran dan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan secara percuma serta reruai untuk dikunjungi antaranya Jabatan Perpaduan, Muzium Sg Lembing, Arkib Negara, UMW, UMPSA (Sukarelawan UMPSA Kilau dan Pameran Inovasi), Beacon Hospital, DMMC Hospital, Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. (Adabi) dan Pejabat DUN. 

Turut sama hadir Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang  mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Yang Berhormat  Fadzli Mohamad Kamal,  Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Yang Berhormat Dato' Mohamad Nizar Dato' Sri Mohamad Najib, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan  Kesihatan Negeri Pahang, Yabg Berhormat Dato' Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dan  Setiausaha Kerajaan Pahang,  Dato' Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob.

Lain-lain Ahli Parlimen Pekan, Dato' Sri Sh Mohmed Puzi  Sh Ali,  Pegawai Daerah Pekan,
Dato’ Zaliza  Zulkipli dan Pengarah Perpaduan Pahang, Amira  Abdullah. 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Haji Abdul Wahit, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit