Skip to main content

UMP juara Karnival Sukan Jabatan Bendahari MTUN

PEKAN, 17 Februari 2023  –  Universiti  Malaysia PAHANG (UMP) yang merupakan pasukan tuan rumah  menjuarai Karnival Sukan Jabatan Bendahari MTUN yang disertai hampir 150orang staf Jabatan Bendahari dari empat buah Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang berkampung selama dua hari baru-baru ini.

Majlis perasmian penutup Karnival Sukan Jabatan  Bendahari MTUN Kali Ke-2 Tahun 2023 itu disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli.

Hadir sama Bendahari UMP, Zainudin Othman, Bendahari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Khairul Taib, Bendahari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Rusdi Puteh dan Bendahari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Norzaimi Hamisan.

UMP juara Karnival Sukan Jabatan Bendahari MTUN

 
Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi dalam ucapannya menzahirkan penghargaan dan tahniah atas usaha yang dicurahkan oleh semua pihak bagi menjayakan karnival sukan ini.
 
Katanya, program dapat memupuk gaya hidup yang sihat dan aktif malah dapat mengeratkan hubungan antara universiti serta seiring dengan hasrat universiti.

“Program ini juga bukan sahaja menguji kekuatan mental dan fizikal, malah dapat memupuk nilai-nilai positif dan meningkatkan kualiti hidup, kesejahteraan diri serta  membentuk modal insan yang berkualiti,” katanya.
 
“Di samping itu, karnival ini juga akan mempamerkan semangat kesukanan dan daya juang yang tinggi.

“Gunakanlah kesempatan yang ada untuk mengukur keupayaan diri masing-masing,” ujarnya.

UMP juara Karnival Sukan Jabatan Bendahari MTUN

 

Manakala Bendahari UMP merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bendahari MTUN, Zainudin Othman pula melahirkan rasa gembira dengan penyertaan keempat-empat universiti MTUN.

Ujarnya, tanpa penyertaan semua pihak tidak mungkin program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang dua hari program berlangsung, antaranya Kursus Pemantapan yang disampaikan oleh mantan Majistret, Mohd Firdaus Ramlan dengan tajuk ‘Tumbuk Rusuk: Pengkisahan dari Tirai Besi’.

Selain itu juga turut diadakan pelbagai acara sukan seperti seperti futsal, karom, memanah, bola jaring, boling dan congkak.

Pertandingan menyaksikan Naib Johan dimenangi UniMAP, manakala tempat ketiga dan keempat pula dimenangi oleh UTeM dan UTHM

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Bendahari. 

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris