Skip to main content

51 mahasiswa UMPSA bakal bersaing dalam Pilihan Raya Kampus Sesi 2023/2024

GAMBANG, 15 Disember 2023 – Proses penamaan calon Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Sesi 2023/2024 berjalan lancar dan menyaksikan seramai 51 calon mahasiswa bakal bersaing bagi merebut 27 buah kerusi yang dipertandingkan iaitu lapan kerusi bagi calon umum dan 19 kerusi fakulti dalam Pilihan Raya Kampus  Sesi 2023/2024 kali ini. 
 
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed selaku Ketua Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP 2023/2024 hadir bagi merasmikan program berkenaan yang diadakan bertempat di Kompleks Sukan Universiti, UMPSA kampus Gambang.
 
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada para pelajar, semua pihak dan ahli Jawatankuasa Pelaksana, Induk, Audit dan Rayuan Pemilihan MPP 2023/2024 yang turut sama menjayakan sesi penamaan calon pada kali ini.

51 mahasiswa UMPSA bakal bersaing dalam Pilihan Raya Kampus Sesi 2023 2024

 
“Pilihan Raya Kampus merupakan platform yang penting untuk menyemai semangat demokrasi dalam kalangan mahasiswa di samping memberikan peluang kepada mereka untuk membangunkan kemahiran kepimpinan dan tadbir urus.
 
“Pilihan Raya Kampus ini adalah sesuatu aktiviti yang sihat dan dapat memberikan peluang pembelajaran kepada pelajar.
 
“Selain belajar menjadi pemimpin, pelajar juga berpeluang belajar mengenai prosedur pemilihan melalui pengundian, terdedah kepada amalan berkempen dan yang paling penting berpeluang memilih pemimpin masing-masing secara bebas dan rahsia,” katanya.
 
Tambah beliau, MPP bagi sesi 2023/2024 akan diberi tampuk kuasa yang lebih besar untuk bergerak secara sendiri dan memainkan peranan yang lebih aktif dalam memimpin mahasiswa ke arah yang lebih cemerlang seiring hasrat universiti dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam menyemarakkan agenda pemerkasaan mahasiswa.

51 mahasiswa UMPSA bakal bersaing dalam Pilihan Raya Kampus Sesi 2023 2024

“Insya-Allah, menjelang pelaksanaan pemilihan MPP pada tahun hadapan kita ingin melihat Jawatankuasa Pemilihan MPP bergerak sendiri sepenuhnya dengan bantuan dan bimbingan minima daripada para staf.
 
“Akauntabiliti dan kepercayaan akan kita berikan sepenuhnya kepada mahasiswa untuk mereka mengurus sendiri corak pentadbiran dan pengurusan organisasi yang mereka inginkan.
 
“Kepada semua calon mahasiswa, gunakanlah platform yang diberikan ini sebaiknya, dan pimpinlah semua mahasiswa yang ada mengikut acuan dan panduan selaras dengan saranan universiti,” ujarnya.
 
Daripada 27 kerusi yang dipertandingkan, tiga kerusi telah menang tanpa bertanding iaitu dua kerusi bagi Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) dan satu kerusi Pusat Sains Matematik (PSM).
 
Hari mengundi bagi Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar atau Pilihan Raya Kampus akan diadakan pada 21 Disember 2023 (Khamis) serentak di kedua-dua kampus.

Disediakan oleh: Nur Ainaa Adhreena Muhamad Shukri, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
ainaa adhreena