Skip to main content

Minat Program Kejuruteraan pelajar pilih UMP

  1. PEKAN, 1 Ogos 2021 - Minat yang mendalam dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal menjadikan Aqil Danish Ady Azrul, 18, banyak bertanya, mendapatkan maklum balas tentang program dan mencari maklumat tentang universiti yang menawarkan program ini.

Bermula dari situlah beliau memasang impian agar suatu hari nanti dapat bergelar mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Beliau sama sekali tidak menyangka kini impiannya untuk menyambung pengajian di UMP menjadi kenyataan. 

Beliau amat bersyukur apabila ditawarkan dalam bidang yang amat diminatinya iaitu Diploma Kejuruteraan Mekanikal.

“Segala penat lelah saya selama ini membuahkan hasil selain usaha bersungguh-sungguh, doa dan restu ibu bapa turut mengiringi kejayaan ini,” ujarnya yang dihubungi setelah mengikuti program Hari Suai Kenal (HSK 21) sempena pendaftaran pelajar baharu yang dijalankan secara dalam talian baru-baru ini.

Menurut anak jati Pahang ini, beliau begitu teruja untuk menantikan saat menjejakkan kaki ke UMP kelak dan bertekad akan menggunakan peluang ini untuk belajar dengan tekun hingga berjaya.

Minat Program Kejuruteraan pelajar pilih UMP

Tambah anak kedua dari dua adik beradik ini, beliau ingin mengucapkan terima kasih kepada kedua ibu bapa yang banyak memberi dorongan serta tidak dilupakan kepada semua guru yang banyak mendidiknya ketika menuntut di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Muadzam Shah.

Beliau turut berkongsi pengalamannya sewaktu menyertai Program HSK 21 yang dijalankan dalam norma baharu menerusi platform Facebook UMPMalaysia dan UMPTV.

Beliau memastikan akan sentiasa bersiap sedia sebelum mengikuti program seperti jadual yang telah ditetapkan.

Beliau merupakan salah seorang daripada 600 orang pelajar baharu Diploma sesi akademik 2021/2022.

Minat Program Kejuruteraan pelajar pilih UMP

Sepanjang dua hari tersebut, para pelajar diberi penerangan mengenai Aplikasi ADAB yang dapat membantu pelajar dalam pelbagai urusan, taklimat akademik, e-Pembelajaran (KALAM), Pusat Kesihatan, kewangan dan sebagainya.

Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff yang hadir melancarkan Aplikasi ADAB turut mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang memilih UMP sebagai destinasi pengajian mereka.

“Walaupun kehadiran pelajar ke kampus tidak dapat dilakukan namun diharapkan agar pelajar sentiasa berwaspada dan mematuhi prosedur operasi standard (POS) yang telah ditetapkan,” ujarnya.

UMP menawarkan enam program diploma yang terdiri daripada Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Kimia, Kejuruteraan Awam, Sains Komputer, Sains Industri, Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

 

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris