Skip to main content

Parlimen Mahasiswa UMPSA bahas 4 teras usul

PEKAN, 3 Disember 2023 - Parlimen Mahasiswa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berjaya dilaksanakan buat kali ketiga selama dua hari yang diadakan di Dewan Senat UMPSA, Pekan.

Sidang dihadiri seramai 102 Ahli Dewan bagi Parlimen Mahasiswa UMPSA yang terdiri daripada Presiden/Pengerusi yang kelab berdaftar di Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) dan ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). 

Sebanyak empat teras usul yang dibahaskan iaitu usul Kebajikan, Akademik, Pemerkasaan dan Pembangunan Mahasiswa serta Pindaan Polisi dan Isu-isu semasa. 

Majlis perasmian Parlimen Mahasiswa Sidang 2/2023 Sesi 3 telah disempurnakan oleh Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negeri Pahang, Yang Berhormat Lee Chin Chen.  

Turut sama hadir Pengarah Akademi ADAB merangkap Timbalan Yang di-Pertua Dewan 2, Profesor Madya Dr. Mohd Nizam Mohmad Kahar, Pengurus Besar JHEPA, Haryani Abdullah dan Yang di-Pertua Executive Care Taker, MPP UMPSA, Agha Khilfi Suarno. 

Parlimen Mahasiswa UMPSA bahas 4 teras usul

Yang Berhormat Lee Chin Chen mengucapkan tahniah kepada semua ahli dewan yang begitu bersemangat semasa sesi perbentangan usul dengan menampilkan idea-idea yang cukup baik.

“Saya amat teruja dengan kehebatan semua ahli dewan yang mengambil bahagian apabila berjaya membuat perbentangan dan hujah yang bernas. 

“Parlimen Mahasiswa merupakan platform terbaik bagi semua mahasiswa yang terlibat untuk menimba pengalaman berbahas dan menjadi salah seorang ahli parlimen Mahasiswa UMPSA sekali gus dapat merasai pengalaman berada di dalam parlimen.

“Saya kagum melihat para mahasiswa memartabatkan institusi parlimen di institusi pengajian tinggi (IPT) terutamanya UMPSA kerana mahasiswa mendapat pengalaman dan situasi sebenar dalam arena perbahasan di dewan persidangan ala Parlimen Malaysia,” katanya. 

Beliau turut menyeru semua ahli perwakilan agar dapat memanfaatkan peluang yang ada untuk mengutarakan hujah-hujah yang bernas selaras dengan peraturan yang telah ditetapkan.

“Diharapkan lebih ramai mahasiswa yang dapat menyertai aktiviti ini dan usul-usul yang dibentangkan perlu dibentangkan kepada pihak pengurusan untuk berkongsi idea,” katanya. 

Manakala menurut Profesor Madya Dr. Mohd Nizam, pelaksanaan Parlimen Mahasiswa ini merupakan usaha dan hasil penggemblengan tenaga oleh mahasiswa UMPSA sendiri sebagai langkah persediaan ke arah menubuhkan Kesatuan Pelajar UMPSA yang akan memberi kuasa penuh kepada mahasiswa dalam mengurus sendiri aktiviti, pentadbiran dan pengurusan kewangan kesatuan.

“UMPSA amat komited dalam melahirkan mahasiswa yang berketerampilan melalui penerapan nilai-nilai MADANI dalam program-program kemahasiswaan di kampus. 

“Melalui pelaksanaan Parlimen Mahasiswa UMPSA ini juga turut membuktikan bahawa isu-isu kebajikan mahasiswa sentiasa diangkat dalam memberikan pengalaman kehidupan kampus yang baik kepada semua mahasiswa selaku pemegang taruh utama di universiti.

“Selain itu, ia juga merupakan peluang kepada para pemimpin pelajar UMPSA dalam melontarkan idea dan pandangan berkaitan isu-isu kebajikan pelajar di dalam kampus malahan medium untuk membincangkan isu-isu pembangunan negara dan global.

“Tahniah kepada semua ahli dewan, sekretariat dan jawatankuasa pelaksana yang telah bertungkus-lumus dalam menjayakan sidang dewan dan diharapkan parlimen mahasiswa ini menjadi pencetus kepada perubahan dan penambahbaikan di UMPSA,” katanya. 

Pada masa yang sama, beliau turut menyampaikan hadiah Pembahas Terbaik kepada Ibrahim Ismail Ahmad yang merupakan perwakilan dari Kelab Institute of Engineering Malaysia UMPSA (IEM-UMPSA). 

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris